fbpx

8 Disember 2021, 11:36 am

  TERKINI

Orang Asli tidak miskin, semua ada

MASYARAKAT Orang Asli perlu diberi kebebasan untuk menentukan pembangunan dan hala tuju diri sendiri. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TERDAPAT beberapa isu dihadapi oleh masyarakat Orang Asli yang perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.

Ini termasuk masalah persempadanan tanah rizab Orang Asli yang ditentukan kerajaan tanpa perundingan dengan masyarakat berkenaan.

Isu lain adalah proses pengambilan tanah adat Orang Asli untuk pembangunan yang tidak telus dan kegagalan kerajaan dalam menghormati keputusan mahkamah berkaitan hak tanah masyarakat itu.

Berlaku juga pembangunan yang tidak berfaedah kepada Orang Asli seperti pembalakan dan perlombongan yang merosakkan kawasan penempatan mereka.

Sebenarnya Orang Asli tidak miskin. Tetapi kenapa mereka sekarang jadi miskin? Jika tanah adat Orang Asli tidak diceroboh, kami cukup makan kerana sumber di sekeliling kami sudah mencukupi.

Kami tidak miskin kerana semuanya ada. Tetapi masalahnya di sini ialah Orang Asli menjadi miskin apabila kehilangan tanah adat.

Masyarakat Orang Asli yang mempunyai tanah adat yang cukup dapat mengharungi pandemik Covid-19 dengan lebih baik kerana mereka dapat mengakses sumber makanan.

Malangnya, masyarakat Orang Asli yang tinggal di pinggir hutan dan kehilangan sebahagian besar tanah adat mereka mengalami hidup paling susah sehingga perlukan bantuan luar sementara menunggu tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Oleh itu, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri perlu menyelaraskan usaha mereka dengan penglibatan Orang Asli dalam mengiktiraf hak tanah adat masyarakat itu.

Semua pembangunan melibatkan tanah adat Orang Asli harus dibincang bersama dan mendapat persetujuan daripada masyarakat berkenaan.

Orang Asli perlukan kebebasan untuk menentukan pembangunan dan hala tuju diri sendiri. Kami tidak mahu dikongkong dan ditentukan nasib kami oleh orang lain.

Kerajaan hanya patut berperanan untuk menyokong apa yang dikehendaki Orang Asli, bukannya menentukan apa yang wajar diterima oleh masyarakat itu.

TIJAH YOK CHOPIL, Kuala Lumpur.

POPULAR

KOSMO! TERKINI