fbpx

Jangan abai pesakit mental

MEMANG sukar bagi mana-mana pihak untuk menerima hakikat kehilangan orang tersayang akibat Covid-19. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEADAAN kesihatan mental yang buruk boleh mempengaruhi penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, jantung dan kanser sehingga menyebabkan keadaan kesihatan seseorang itu semakin merosot.

Oleh itu, untuk kekal sihat kita harus menjaga kedua-duanya iaitu kesihatan mental dan kesihatan ­fizikal. Sebenarnya, masalah kesihatan mental sudah lama wujud.

Bagaimanapun, meningkatkan pendidikan, kesedaran dan advokasi kesihatan mental amat penting semasa pandemik Covid-19. Pandemik Covid-19 telah memberi kesan besar dalam aspek ekonomi.

Ramai individu yang kehilangan pekerjaan, tiada tempat tinggal, kesukaran untuk mendapat makanan dan sukar mendapat sokongan kewangan.

Hal ini telah mempengaruhi kesihatan mental dalam kalangan masyarakat apabila berlaku peningkatan tekanan, kegelisahan dan kemurungan sehingga meningkatkan masalah bunuh diri.

Covid-19 juga telah menyebabkan berlaku pengasingan sosial kerana sekatan dan setiap individu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ramai telah terpisah dengan orang tersayang yang tinggal di jarak jauh. Bagi mereka yang tinggal bersama dalam rumah, perlu juga berpisah dalam bilik berasingan kerana diwajibkan menjalani kuarantin kendiri.

Ketakutan dijangkiti Covid-19 turut menimbulkan tekanan. Pesakit yang telah dijangkiti Covid-19 juga berasa cemas dengan perkembangan penyakit dan takut menempuh kematian.

Ia menjadi lebih sukar bagi mereka yang kehilangan orang kesayangan akibat pandemik itu, lebih-lebih lagi yang meninggal dunia ialah ketua keluarga.

Tidak dilupakan, pekerja barisan hadapan yang mungkin telah mengalami tekanan berlebihan kerana terpaksa berperang siang dan malam dengan beban kerja merawat pesakit Covid-19.

Situasi ini memerlukan kita memberi tumpuan untuk meningkatkan pendidikan, kesedaran dan advokasi bagi mengekalkan daya tahan masyarakat dalam aspek kesihatan mental.

Menurut Persatuan Psikologi Amerika, ahli psikologi mendefinisikan daya tahan sebagai proses penyesuaian yang baik dalam menghadapi perubahan, trauma, bencana, ancaman atau pelbagai sumber tekanan utama.

Berikut adalah beberapa cara untuk mengekalkan ketahanan masyarakat: Pertama, membina hubungan sama ada secara peribadi atau dengan kumpulan.

Adalah amat penting untuk setiap individu bercakap dengan orang yang boleh dipercayai, memahami dan benar-benar menyayangi supaya mereka mengetahui tidak bersendirian dalam masa mencabar.

Kedua, jagalah kesihatan ­fizikal dan mental dengan memilih gaya hidup lebih sihat dan belajar mengurus emosi secara lebih baik.

Ketiga, jika menghadapi tekanan, kita hendaklah mengakuinya dan bukan menganggap masalah itu tidak wujud.

Apabila mengakui kita ada masalah, ia akan memudahkan seseorang mencari jalan keluar dari kesulitan yang dihadapi.

Keempat, amalkan pemikiran sihat. Ini bermaksud kita melihat setiap masalah yang wujud dari sudut positif. Ini akan membolehkan kita menjadi lebih kuat dalam menghadapi cabaran tersebut.

Kelima, sentiasa mendapatkan pertolongan. Sekiranya ada masalah timbul, hubungi agensi berkaitan untuk mendapatkan sokongan.

Bersatu teguh, bercerai roboh, perpaduan adalah amat penting pada saat kita menghadapi pandemik ini.

Sokongan sosial adalah sangat penting. Kita semua hendaklah saling menjaga dan saling menyayangi antara satu sama lain.

Pilih untuk menyayangi antara satu sama lain dan jangan tinggal sesiapa pun sewaktu kita menempuh saat kegelapan ini. Di mana ada kesatuan, di situ ada kemenangan.

DR. YOONG LEE YEEN & PROFESOR DR. MOY FOONG MING, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM).

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN