SKM jangan lambatkan bayaran dividen kepada ahli-ahli CBP - Utusan Malaysia

SKM jangan lambatkan bayaran dividen kepada ahli-ahli CBP

SEBANYAK 90 peratus ahli CBP merupakan mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA merupakan salah seorang ahli Coop Bank Pertama (CBP) yang berhadapan masalah pembayaran dividen bagi tahun 2020.

Sudah hampir enam bulan bayaran tersebut tertangguh ekoran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tidak meluluskannya atas alasan Laporan Audit Kewangan Tahun 2020 tidak lengkap.

Laporan audit biasanya dibentangkan dalam mesyuarat agung perwakilan tahunan, namun banyak kali tertangguh disebabkan penularan Covid-19.

Saya menghubungi CBP berhubung perkara itu dan difahamkan oleh sumber dalaman bank bahawa laporan pengurusan kewangan telah siap dan sepatutnya boleh digunakan seperti tahun lalu serta boleh diterima oleh SKM.

Dengan ini, saya berharap SKM menjalankan tanggungjawab dengan telus serta tidak sengaja melambatkan permohonan CBP.

Sekiranya SKM tidak dapat meluluskan sepenuhnya, sekurang-kurangnya boleh dibuat bayaran interim seperti tahun lalu.

CBP difahamkan tiada masalah kewangan untuk membayar dividen interim kepada ahli kerana mencatatkan keuntungan pada tahun lalu melebihi keuntungan pada 2019.

Saya mewakili ahli CBP berharap SKM mengambil perhatian serius terhadap perkara ini. Tolong fikirkan mengenai ahli CBP yang bergantung harap kepada bayaran tersebut demi meneruskan kelangsungan hidup. Ia diibaratkan seperti menunggu buah yang tidak gugur.

Untuk makluman SKM, tidak semua ahli CBP terdiri daripada golongan jutawan ataupun hartawan.

Sebanyak 90 peratus ahli merupakan mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) yang mengharapkan pembayaran dividen dapat dibuat dengan kadar segera.

Banyak bank koperasi telah menerima pembayaran dan saya berasa hairan dengan tindakan SKM melambat-lambatkan kelulusan bayaran ini dan dilihat wujudnya banyak birokrasi.

Saya harap pihak pengurusan SKM bersikap prihatin dan mengambil tindakan segera.

Diharapkan juga menteri yang telah dipertanggungjawab campur tangan, sekali gus menyelesaikan perkara ini.

AHLI CBP B40
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.