Selesaikan segera segala isu PSM - Utusan Malaysia

Selesaikan segera segala isu PSM

ARENA sukan sepak takraw memerlukan pemimpin berwibawa yang mampu mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail secara rasmi mengumumkan keputusan meletak jawatan berkuat kuasa 4 Jun lalu.

Dengan nada sedih sambil mengharapkan peletakan jawatannya mampu meredakan ketegangan yang berlaku, Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat merayu ahli gabungan yang bertindak keluar daripada PSM supaya kembali ke meja rundingan dengan ‘jiwa besar’.

Malah, beliau turut yakin timbalannya yang kini memangku jawatan presiden sementara, Datuk Akramudin Abdul Aziz bersedia melepaskan kerusi panas itu kepada pemimpin yang layak serta mendapat suara majoriti ahli majlis selepas mesyuarat luar biasa (EGM) diadakan.

Apa yang ditagih beliau, PSM yang ditubuhkan sejak 1963 tidak terkubur begitu sahaja.

Ini mengenangkan begitu banyak jasa PSM dalam memayungi sukan tradisi Melayu sehingga ke peringkat antarabangsa.

Mungkin penyokong anti-Tok Mat di luar sana tersenyum lebar apabila gerakan menyingkir tokoh berpengaruh ini berjaya dilakukan.

Namun, persoalan lebih besar, bagaimana mahu memulihkan persatuan ini supaya lebih dihormati di peringkat dunia?

Secara peribadi, sebagai penyokong tegar sepak takraw negara, saya merayu semua ahli gabungan yang keluar daripada PSM baru-baru ini diketuai Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) menerima pelawaan Akramudin untuk kembali ke meja rundingan.

Baiki segala kekurangan yang ada dalam perlembagaan persatuan (jika itu masalah yang dirasakan cukup besar) dan adakan EGM bagi memilih pemimpin baharu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican perlu bertindak pantas memanggil semua pihak berkepentingan dalam PSM untuk merangka pelan pemulihan demi nama baik negara di mata dunia.

Sebagai pihak yang mengendalikan aspek pembangunan sukan di negara ini, kementerian itu juga perlu mengarahkan Pesuruhjaya Sukan diketuai Ibrahim Mohd. Yusof supaya bertindak segera menangani kemelut ini agar perkembangan sepak takraw negara tidak terganggu.

Secara peribadi, saya ingin mengucapkan selamat berjaya kepada Tok Mat yang memilih mahkamah untuk membuktikan segala tuduhan yang dikenakan kepadanya adalah palsu semata-mata.

Untuk rekod, Tok Mat mengambil alih kepimpinan daripada Allahyarham Datuk Saidin Tamby pada 27 Disember 2002.

Jelas sekali beliau dikenang sebagai tokoh berpengaruh yang berjaya memartabatkan sukan sepak takraw di mata dunia dengan lahirnya Liga Sepak Takraw yang berjaya menarik enam juta penonton selain tajaan cukup lumayan.

FARIZAL YUSOFF
Kubang Kerian, Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya