fbpx

12 April 2021, 12:53 am

  TERKINI

Lesen niaga dalam talian bantu ekosistem jual beli

PERKHIDMATAN pembelian secara dalam talian menjadi pilihan utama rakyat seluruh dunia pada ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

INISIATIF Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memperkenalkan lesen khas bagi perniagaan dalam talian dilihat tepat pada masanya.

Ini kerana kementerian itu dalam laporannya pada tahun lalu mendedahkan menerima 11,510 aduan mengenai pelbagai masalah berkaitan urus niaga dalam talian. Sebanyak 7,797 melibatkan aduan pengguna tidak menerima barangan dibeli.

Statistik turut menunjukkan berlaku peningkatan jumlah aduan yang diterima sebanyak 5,767 kes dalam tempoh Januari hingga Mac lalu berbanding 5,415 sepanjang tempoh sama pada 2020.

Aduan paling banyak melibatkan kes tidak menerima barang atau perkhidmatan yang ditawarkan sebanyak 3,870 aduan dalam tempoh tiga bulan tahun ini berbanding 3,589 aduan pada tempoh sama 2019.

Semenjak aktiviti jual beli dalam talian menjadi pilihan kebanyakan pengguna terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelbagai isu kurang enak mula menular dalam media sosial.

Antaranya, tidak menerima barangan dibeli, kualiti dan sifat barangan tidak seperti dipamerkan dan harga barang dijual tidak sama bagi setiap pembeli, selain menjadi mangsa scammer.

Sifat kurang beretika sesetengah peniaga menyebabkan tempiasnya terkena kepada masyarakat peniaga dalam talian lain.

Sebanyak 9,686 kes membabitkan nilai lebih RM400 juta direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Januari hingga 31 Oktober tahun lalu berkaitan penipuan siber dan multimedia.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM24.7 juta melibatkan kes pembelian dalam talian manakala RM203 juta kes penipuan telekomunikasi.

Tribunal Tuntutan Pengguna di bawah kementerian itu berfungsi menyediakan forum alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna membuat tuntutan tebus rugi secara murah, mudah dan cepat.

Namun, tidak semua aduan dapat diterima memandangkan tribunal ini mempunyai ruang lingkup tugas yang terhad.

Siasatan juga memakan masa. Misalnya, jika melibatkan urusan jual beli rentas negara dan tidak disediakan jaminan keselamatan terhadap urus niaga tersebut.

Malah, tribunal juga tidak boleh menerima aduan melibatkan barangan bernilai lebih RM50,000.

Penipuan peniaga boleh disifatkan sebagai satu bentuk penganiayaan terhadap hak diri seseorang itu sebagai pengguna, pembeli mahu pun rakyat Malaysia.

Langkah memperkenalkan lesen khas kepada peniagaan dalam talian merupakan tindakan wajar bagi tujuan melindungi pengguna daripada terus menjadi mangsa penipuan.

Selain membantu mempertahan dan melindungi hak pengguna, lesen ini juga dapat menjadi peringatan kepada peniaga untuk lebih beretika dan jujur semasa melaksanakan perniagaan.

Jika tujuan peniaga menjana pendapatan, pembeli pula menggunakan pendapatannya untuk mendapatkan barang keperluan.

Ekosistem antara pengguna dan penjual ini harus dijaga dan dipelihara agar wujud kesejahteraan dalam memenuhi tuntutan keperluan kehidupan antara peniaga dan pembeli.

Sekurang-kurangnya dengan peruntukan baharu itu, Akta Perlindungan Pengguna dapat diperkasa.

PROF. MADYA DR. KHAIRUNESA ISA
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Umum & Komunikasi
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN