Bilakah tarikh PRU-15? - Utusan Malaysia

Bilakah tarikh PRU-15?

PEMAKAIAN pelitup muka dan penjarakan fizikal tidak boleh diabaikan semasa berkempen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjanji untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) setelah pandemik Covid-19 berakhir.

Sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun lalu hendak dijadikan contoh, ia bererti angka jangkitan harian harus turun ke angka satu dan dua digit untuk membolehkan kerajaan mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menentukan tarikh PRN Sabah berdasarkan jangkitan satu hingga dua digit ternyata betul walaupun selepas itu berlaku peningkatan kes. Pada 1 Oktober – lima hari selepas PRN Sabah – kes baharu mencapai rekod tiga digit iaitu 280 kes, diikuti dua hari kemudian 317 lagi. Menjelang 24 Oktober, kes baharu mencapai empat digit (1,228).

Kesalahan terletak pada ahli politik semua parti dan para penyokong mereka yang tidak mempedulikan prosedur operasi standard (SOP) semasa berkempen.

Buktinya dapat dilihat dalam media sosial mereka yang memaparkan gambar yang menunjukkan pengabaian sepenuhnya pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan melanggar syarat jumlah maksimum hadirin yang dibenarkan bagi setiap aktiviti semasa berkempen.

Oleh kerana kes jangkitan masih berada pada empat angka sekarang, maka kita memerlukan beberapa bulan lagi untuk kes baharu mencapai tahap dua atau satu digit secara konsisten. Oleh itu, sesiapa yang menyatakan PRU-15 mesti diadakan sekarang ketika jangkitan harian masih berada pada empat dan tiga digit ialah orang tidak bertanggungjawab.

Oleh kerana sesi pertama Parlimen Ke-14 sekarang bermula pada 16 Julai 2018, Parlimen secara automatik akan dibubarkan pada 16 Julai 2023 untuk memberi laluan kepada PRU-15.

Ini adalah amalan demokrasi berparlimen khususnya di negara Komanwel. Tetapi persoalannya, bolehkah PRU diadakan kurang dari lima tahun selepas sesi pertama Parlimen? Sekiranya ya, berapa awal?

Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan apa-apa dalam hal ini yang bermaksud tiada larangan eksplisit untuk mengadakan PRU lebih awal. Tetapi satu perkara jelas ialah PRU tidak boleh diadakan sekiranya Parlimen tidak dibubarkan.

Yang memegang kunci pembubaran Parlimen ialah Perdana Menteri – kelebihan yang diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada penyandang jawatan dalam demokrasi berparlimen.

Berdasarkan sejarah PRU di Malaysia, rata-rata PRU diadakan setelah Parlimen memasuki tahun keempat. Apa yang tersirat dalam Perlembagaan berhubung PRU diadakan sekali dalam lima tahun adalah jelas untuk mengelakkan pembaziran sumber kerana menganjurkan PRU menelan belanja yang banyak.

Di Malaysia, PRU-14 telah menelan belanja RM500 juta dan dianggarkan kos PRU-15 boleh mencecah sehingga RM1.2 bilion.

Bayangkan jika Malaysia mengadakan empat PRU dalam tempoh dua tahun ekoran wujud kerajaan dengan majoriti tipis, kosnya akan melambung kepada RM4.8 bilion.

Oleh itu, selain isu jangkitan Covid-19, soal kos perlu diambil kira sebelum menentukan tarikh PRU-15.

Walaupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mendapat mandat melalui PRU, ia tetap kerajaan sah dilantik menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Maka, ia bukan kerajaan pintu belakang, jauh sekali kerajaan tidak sah.

JAMARI MOHTAR
Pengarah Media & Komunikasi di EMIR Research

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya