MUKADIMAH
SEPERTI diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada Mac lalu, Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) akan diperkenalkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 sebagai mata pelajaran elektif atau tambahan untuk murid di sekolah arus perdana.
Objektifnya bagi memupuk pendidikan inklusif dan meningkatkan kesedaran terhadap golongan kurang upaya.
Tidak sampai enam bulan lagi kurikulum persekolahan tahun depan akan bermula, Penasihat yang juga Pengarah Eksekutif Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), MOHAMAD SAZALI SHA’ARI berharap inisiatif itu dapat diteruskan seperti dirancang.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN, beliau menyatakan pandangannya tentang pelaksanaan BIM di sekolah-sekolah menerusi jurubahasa isyarat, WAN ZURAIDAH ABU di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
UTUSAN: Adakah MFD terlibat dalam pembentukan mata pelajaran BIM bagi Kurikulum Persekolahan 2027?
MOHAMAD SAZALI: Kami ada juga dijemput untuk bersama-sama semasa di peringkat pembangunan kurikulum pengenalan untuk BIM kepada kanak-kanak.
Bagaimanapun, (ketika itu) kami sendiri pun tidak pasti sama ada untuk kanak-kanak pekak atau bukan pekak. Seperti dimaklumkan dalam media, ia dikhususkan kepada kanak-kanak bukan pekak sebagai subjek elektif mereka.
Tapi perkara ini (difahamkan) masih lagi berterusan, masih lagi dalam perbincangan.
Ada juga universiti yang sudah membangunkan kurikulum mereka secara sendiri. KPM memang laksanakan kurikulum sendiri juga. Mungkin dari aspek sistem, ia milik KPM. Kita pun tidak pasti sangat.
Apa perbezaan BIM dengan Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM) yang diajar kepada murid khususnya di sekolah pendidikan khas pada masa kini untuk mereka yang bermasalah pendengaran?
Kalau kegunaan di sekolah bagi tujuan akademik, mereka gunakan KTBM. KTBM itu bukan bahasa isyarat. Ia merupakan kaedah untuk mempelajari bahasa Melayu.
KTBM lebih bertumpu pada kosa kata dan penggunaan imbuhan untuk tujuan penulisan bagi pelajar pekak. Itu sebab ia berbeza sikit dengan BIM.
Tidak tahulah dari segi polisi dan dasar itu tidak dimaklumkan. Jadi, kita tidak pasti. Kita memang ternanti-nanti, nak tengok (kandungan mata pelajaran BIM).
Justeru, kita mohon menteri beri penjelasan kepada umum khususnya ibu bapa agar mereka tahu sama ada platform itu boleh digunakan atau tidak (pada 2027).
Ini supaya jika benar-benar mahu dilaksanakan tahun depan, disebar luas mengenai kandungannya, jadi implikasinya (kajian) itu kita boleh lihat, apa perbezaannya.
Pentingkah BIM dilaksanakan dalam kurikulum sekolah?
Kalau kita lihat sekarang di sekolah-sekolah melibatkan pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan sebagainya.
Perubahan dalam kurikulum sedia ada memang banyak yang perlu diberikan perhatian.
Bagi MFD, kami kena lihat juga pembentukan bahasa isyarat dari aspek tanggungjawab kami sendiri. Banyak (penambahbaikan) lagi yang diperlukan, banyak perbezaan.
Harapan MFD terhadap pelaksanaan BIM dalam Kurikulum Persekolahan 2027?
Ya, kalau ikutkan apa yang menteri nyatakan sebelum ini, kita harapkan beliau dapat uar-uarkan kepada umum supaya masyarakat lebih memahami apa itu BIM.
Kita dahulu pun sudah ada program peringkat diploma jurubahasa isyarat yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan diterima oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk perjawatan dalam kerajaan.
Namun, sekarang untuk kegunaan di peringkat sekolah bagi tujuan pendidikan masih lagi samar-samar situasinya. Kita harapkan positif.
Lebih-lebih lagi kerajaan sering tekankan penerapan unsur-unsur inklusiviti, integrasi dalam kalangan murid-murid sekolah. Kita harapkan ia jadi realiti kepada pelajar-pelajar (pekak) ini.
Jika dilihat pada perkembangan semasa di sekolah-sekolah, sempatkah agaknya mata pelajaran BIM ini mahu dilaksanakan dalam kurikulum 2027?
Kalau ikutkan kenyataan menteri yang disiarkan media, ia akan dilaksanakan pada 2027. Jadi, kita berharaplah sangat (ada dalam Kurikulum Persekolahan 2027).
Insya-Allah, sebab perancangan daripada kementerian. Kementerian memanglah kena patuhi janji. Apa yang diperkatakan oleh menteri seharusnya kita hormati (dan berikan sokongan).
Cuma kita tidak tahu cara penyampaiannya nanti. Itu yang kita tidak dapat akses sehingga hari ini. – UTUSAN







