Kepercayaan rakyat bermula dengan kejujuran politik

Kepercayaan rakyat bermula dengan kejujuran politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor kali ini memaparkan pemandangan yang kian biasa. Kali ini Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) duduk semeja dalam Kerajaan Perpaduan di Putrajaya tetapi di negeri selatan tanah air bertarung di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Betul, ini bukan kali pertama. Pola sama berlaku pada PRN Melaka 2021 dan PRN Johor 2022, ketika BN dan Perikatan Nasional (PN) bertarung sesama sendiri walaupun berada dalam satu kerajaan di Putrajaya.

Ramai yang pantas menuding inilah hipokrasi. Namun tudingan itu, walaupun tidak salah tetapi sudah menjadi terlalu mangli.

Persoalannya bukan lagi siapa yang hipokrit tetapi sistem politik apakah yang menjadikan konsistensi suatu yang mustahil secara struktur?

Apabila rakan sekerajaan bermusuhan di peringkat negeri, memperlihatkan percanggahan bukan lagi kelemahan peribadi seorang pemimpin tetapi menjadi sistem operasi politik kita. Ahli politik kini berkempen secara kekal menentang pihak yang pada masa sama diperlukannya untuk memerintah.

Inilah maksud sebenar normalisasi. Bukan satu pembohongan besar tetapi seribu percanggahan kecil yang masing-masing ada alasannya, sehingga rakyat berhenti mengambil kisah.

KATA TIDAK LAGI MENYAMPAIKAN ILMU

Pengetahuan rakyat tentang politik hampir keseluruhannya bersifat pengetahuan melalui perkhabaran. Rakyat tidak duduk dalam mesyuarat Kabinet. Mereka mengetahui melalui kata, ucapan, kenyataan, janji atau manifesto.

Justeru bahasa politik bukan sekadar alat komunikasi tetapi menajdi saluran ilmu antara pemerintah dan yang diperintah. Apabila saluran itu rosak, maka rakyat bukan sahaja dibohongi tetapi terlepas daripada kemungkinan untuk mengetahui.

Kerosakan itu berlaku dalam tiga peringkat. Mula-mula, perkataan yang terhakis, diulang tanpa isi sehingga menjadi bunyi kosong. Kemudian, perkataan itu mati dan tidak lagi memberi sebarang maklumat tentang penuturnya. Peringkat ketiga paling berbahaya apabila perkataan itu hidup semula dengan makna yang terbalik.

Ambil perkataan ‘reformasi’, pada 1998, ia bermaksud perlawanan terhadap kuasa yang bersekongkol, institusi yang dijinakkan serta budaya politik lapuk.

Hari ini, perkataan sama dilaungkan untuk mempertahankan susunan kuasa yang dahulunya ditentang.

‘Reformasi’ kini boleh bermaksud memelihara status quo. ‘Perpaduan’ bermaksud persaingan yang diinstitusikan sementara ‘integriti’ wujud selesa bersama pelepasan kes-kes besar.

Dalam kerangka epistemologi Islam, gejala ini lebih mudah difahami. Naquib al-Attas menghujahkan kekeliruan ilmu dalam sesebuah umat bermula dengan kerosakan bahasa apabila istilah-istilah kunci kehilangan takrif asalnya, sehingga akal masyarakat turut kacau dan itulah membuka pintu kepada kemunculan pemimpin palsu.

Ahli politik tidak terlepas dari hakikat ilmu tidak pernah terpisah daripada hakikat dan nilai. Kata yang benar berpaut pada kenyataan dan menuntut tanggungjawab.

Justeru apabila janji pilihan raya diucapkan sebagai strategi dan bukan ikrar, akhirnya bukan sahaja akhlak penuturnya rosak tetapi ilmu masyarakat itu sendiri.

Rakyat kehilangan asas untuk membezakan yang benar daripada yang palsu dan menuntut keselarasan antara aql yang mengetahui, qalb yang meyakini dan amal yang melaksanakan.

Dari kaca mata ini, hipokrasi politik bukan sekadar cacat akhlak tetapi juga kegagalan epistemik iaitu keruntuhan triad ilmu itu sendiri, di mana lisan terputus daripada qalb, dan qalb terputus daripada amal.

Al-Quran menamakan keruntuhan ini dengan tepat. Munafik ditakrifkan bukan dengan satu perbuatan jahat tetapi dengan satu jurang antara lisan dan kalbu. Dan amarannya bukan tentang seorang munafik tetapi masyarakat yang berhenti menyedari kemunafikan.

Dari lensa ini juga, adalah satu keanehan apabila sebuah kerajaan masih melaungkan ‘reformasi’.

Reformasi, dari segi tatabahasa politiknya adalah tuntutan yang dihalakan kepada kuasa, bukan dilaungkan oleh kuasa.

Gerakan sosial menuntut sementara kerajaan melaksana. Maka, apabila pihak yang memegang jentera negara masih berdiri di pentas melaungkan slogan pembangkang, hanya dua tafsiran yang mungkin iaitu sama ada pengakuan reformasi belum berlaku walaupun kuasa sudah di tangan atau perkataan itu sudah lama berpisah daripada maknanya dan kini sekadar jenama.

Kedua-dua tafsiran membenarkan tesis yang sama iaitu makna telah mati, yang tinggal hanyalah nostalgia yang dikomersialkan.

Kelesuan politik yang melanda rakyat hari ini, bukan tanda mereka tidak peduli tetapi tindak balas yang rasional terhadap saluran ilmu yang tidak lagi boleh dipercayai.

Rakyat yang berhenti mendengar adalah rakyat yang mudah diperintah tetapi mustahil dipimpin.

 

RAKYAT perlu menilai rekod serta integriti setiap calon agar politik terus berasaskan kepercayaan.

 

DIAGNOSIS IBN KHALDUN

Ibn Khaldun mengajar kelompok yang menakluki sesebuah kekuasaan jarang mengubah budaya istana yang ditaklukinya.

Yang lebih kerap berlaku ialah penakluk itu pula diserap oleh budaya yang ditewaskannya.

Asabiyyah yang segar, apabila memasuki istana, perlahan-lahan mewarisi epistemologi dinasti yang digantikannya sehingga tiada beza antara yang baharu dengan yang lama, kecuali nama.

Inilah antara kaca mata yang membaca perjalanan reformasi Malaysia. Reformasi tidak menewaskan budaya politik lama. Ia diasimilasikan olehnya. Ini bukan tuduhan terhadap seorang individu tetapi diagnosis peradaban.

Malik Bennabi, dalam Shurut al-Nahdah, menamakan keadaan dalaman seumpama al-qabiliyyah li al-isti’mar (kesediaan dalaman untuk dijajah), yang menjadikan penjajahan gejala dan bukan punca.

Meminjam kerangka itu secara analogi, laungan reformasi ketika ini boleh dilihat sebagai sejenis qabiliyyah tersendiri iaitu kesediaan dalaman untuk dijinakkan oleh budaya politik yang sepatutnya diubahnya. Gerakan yang masuk untuk membersihkan istana, akhirnya selesa dengan permaidaninya.

MENJAGA MAKNA DENGAN SEMANGAT FARDHU KIFAYAH

Maka apakah peranan rakyat, khususnya pengundi Johor pada 11 Julai ini? Bukan sekadar memilih antara logo. Jika krisis epistemologi, maka pemulihannya juga mesti bersifat epistemologi iaitu mengembalikan sidq yang merupakan kebenaran yang selari antara kata, hati dan perbuatan sebagai syarat asas politik.

Tanggungjawab menjaga makna ini, saya kira, wajar dipikul dengan semangat fardhu kifayah bahawa ada tanggungjawab yang bersifat kolektif, yang tidak terlaksana oleh niat baik perseorangan dan tidak gugur selagi tiada sebahagian masyarakat yang bangkit menunaikannya.

Ilmuwan perlu menegur apabila istilah diseleweng, wartawan mesti bertanya apa yang sebenarnya dimaksudkan sementara pengundi wajib menuntut agar rekod menepati nama yang dipakai.

Negara boleh bertahan dengan ekonomi yang perlahan. Negara tidak boleh bertahan dengan bahasa yang mati. Kerana pada akhirnya, politik yang matang bukan tanpa percanggahan tetapi masih malu apabila bercanggah.

Hari ketika kita hilang rasa malu, hari itulah hipokrasi selesai dinormalkan. Dan itu bukan kekalahan sesebuah parti. Itu kekalahan ilmu dan kekalahan kita semua.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Penyelidik Pelawat, Pusat Kajian Malaysia Universiti Soka, Tokyo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN