Kenyataan veteran DAP mengenai 'Tanah Melayu berakhir' memperlihatkan kejahilan sejarah

Kenyataan veteran DAP mengenai ‘Tanah Melayu berakhir’ memperlihatkan kejahilan sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Parti Wawasan Negara (Wawasan) mengecam sekeras-kerasnya kenyataan seorang veteran DAP yang mendakwa bahawa “Nama Tanah Melayu telah berakhir.”

Kenyataan tersebut bukan sahaja bersifat provokatif, malah memperlihatkan kegagalan memahami sejarah pembentukan negara serta semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara pertama yang perlu difahami ialah Malaysia ialah nama negara, manakala Tanah Melayu ialah nama sejarah, nama geografi dan nama peradaban yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia.

Tidak ada satu peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa istilah “Tanah Melayu” dihapuskan daripada sejarah, identiti atau dokumen rasmi negara.

Malah, Perkara 1(2)(a) Perlembagaan Persekutuan sendiri masih menggunakan istilah “Negeri-Negeri Tanah Melayu” bagi merujuk sebelas negeri di Semenanjung Malaysia.

Ini membuktikan bahawa dakwaan kononnya nama Tanah Melayu “telah berakhir” adalah tidak tepat apabila dilihat dalam konteks keseluruhan Perlembagaan.

Perlu juga diingat bahawa perjalanan negara adalah jelas:

1948 – Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

1957 – Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

1963 – Malaysia dibentuk melalui penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura (ketika itu).

Malaysia dibina di atas asas Persekutuan Tanah Melayu, bukannya menggantikan atau memadam sejarah kewujudan Tanah Melayu.

Menghormati sejarah Tanah Melayu tidak bermaksud menafikan hak mana-mana rakyat Malaysia.

Sebaliknya, ia adalah pengiktirafan terhadap fakta sejarah pembentukan negara yang turut diterima ketika pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Ironinya, golongan yang sering bercakap mengenai kepelbagaian, toleransi dan menghormati sejarah sepatutnya menjadi kelompok pertama yang mempertahankan fakta sejarah, bukannya cuba memadam atau memperlekehkan identiti yang telah wujud beratus-ratus tahun.

Kenyataan seperti ini hanya mengundang keresahan masyarakat kerana ia menyentuh perkara yang amat sensitif berkaitan sejarah, identiti negara dan asas pembentukan Persekutuan.

Parti Wawasan Negara (Wawasan) menggesa semua pemimpin politik supaya lebih bertanggungjawab dalam membuat kenyataan awam.

Kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan masyarakat atau menimbulkan ketegangan terhadap perkara yang telah termaktub dalam sejarah dan Perlembagaan.

Malaysia akan kekal sebagai Malaysia.

Namun sejarah akan tetap mencatat bahawa negara ini lahir daripada Persekutuan Tanah Melayu, dan istilah Negeri-Negeri Tanah Melayu sendiri masih wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sejarah tidak boleh dipadam hanya kerana ada pihak yang tidak selesa dengannya.

Hjh Bibi Sunita turut menyokong cadangan oleh Prof Dr Murad Merican supaya Akta khusus digubal bagi melindungi keberadaan asal usul orang melayu dan hak pribumi

Parti Wawasan Negara yang juga merupakan sebuah parti politik mewakili ahli berbilang kaum akan terus mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan, Institusi Raja-Raja Melayu, agama Islam sebagai Agama Persekutuan serta sejarah sebenar pembentukan negara demi memastikan identiti Malaysia tidak diputarbelitkan oleh mana-mana pihak.

BIBI SUNITA SAKANDAR KHAN
Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Wawasan Negara (Wawasan)

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN