PERUSAHAAN Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bukan sekadar kelompok perniagaan kecil, malah merupakan tunjang kepada ekonomi negara.
Mengikut Pelan Strategik PMKS 2030, PMKS mewakili 97.4 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia, menyumbang 38.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 48.2 peratus kepada guna tenaga dan 10.5 peratus kepada eksport negara pada 2022.
Justeru, tidak menghairankan apabila kerajaan terus memberikan perhatian besar kepada sektor ini melalui Belanjawan 2026. Hampir RM80 bilion diperuntukkan bagi memperkasa PMKS, termasuk pembiayaan tambahan sebanyak RM2.5 bilion, dengan tumpuan saluran dana kepada peminjam kali pertama.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggariskan hala tuju menerusi Pelan Strategik KUSKOP dan Pelan Strategik PMKS 2030.
Pelan ini bukan sekadar memfokuskan kepada pembiayaan, tetapi turut menekankan pembentukan minda keusahawanan, ekosistem inovasi dan persekitaran perniagaan yang kondusif.
Malah, pelan tersebut mengenal pasti tiga pemangkin utama iaitu minda dan kemahiran keusahawanan, ekosistem yang kondusif untuk berinovasi serta persekitaran perniagaan yang mesra PMKS, yang diterjemahkan melalui 13 strategi dan 56 inisiatif.
Persoalannya, adakah pertambahan pembiayaan dan bilangan program semata-mata sudah mencukupi untuk memastikan PMKS berkembang secara mampan?
KUSKOP sendiri telah melaksanakan 217 program dengan peruntukan sekitar RM754 juta.
Namun, dari perspektif dasar awam, isu yang lebih penting bukanlah berapa banyak program yang dilaksanakan, tetapi sejauh mana program tersebut benar-benar meningkatkan prestasi PMKS.
Adakah jualan mereka meningkat? Adakah produktiviti bertambah baik? Berapa ramai yang berjaya berkembang daripada perusahaan mikro kepada perusahaan kecil dan seterusnya menjadi perusahaan sederhana?
Lebih penting lagi, berapa ramai yang masih bertahan selepas lima tahun menerima bantuan kerajaan?
Hakikatnya, Pelan Strategik PMKS 2030 sendiri mengakui bahawa produktiviti yang rendah dan kekurangan daya saing merupakan antara cabaran utama PMKS di Malaysia.
Dokumen tersebut turut menjelaskan bahawa ramai usahawan masih kurang mengadaptasi teknologi dan belum terlibat dalam aktiviti bernilai tambah tinggi, sekali gus menyukarkan mereka mencapai pertumbuhan yang lebih pantas.
Ini menunjukkan bahawa cabaran utama PMKS hari ini bukan lagi semata-mata kekurangan modal, tetapi bagaimana modal tersebut diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, inovasi dan daya saing.
Sehubungan itu, Belanjawan 2027 perlu membawa anjakan daripada pendekatan “lebih banyak pembiayaan” kepada “pembiayaan yang menghasilkan impak”.
Antara pembaharuan yang boleh dipertimbangkan ialah memperkukuh pelaksanaan Outcome-Based Budgeting (OBB) dalam semua program pembangunan PMKS.
Ketika ini, kejayaan sesuatu program lazimnya diukur berdasarkan jumlah pinjaman yang diluluskan atau bilangan peserta yang menghadiri latihan. Walau bagaimanapun, indikator sedemikian hanya menggambarkan output, bukannya hasil.
Sebagai contoh, Business Survival Rate perlu dijadikan petunjuk prestasi utama. Kerajaan bukan sahaja perlu mengetahui berapa ramai usahawan menerima pembiayaan, tetapi juga berapa ramai yang masih beroperasi selepas tiga hingga lima tahun. Penunjuk ini lebih mencerminkan kemampanan sesuatu perniagaan.
Selain itu, kerajaan perlu menilai pertumbuhan hasil jualan selepas PMKS menerima pembiayaan atau menyertai program pembangunan.
Walau bagaimanapun, sasaran peningkatan jualan hendaklah disesuaikan mengikut sektor kerana setiap industri mempunyai struktur kos dan kadar pertumbuhan yang berbeza.
Selaras dengan teras Anjakan Produktiviti dalam Pelan Strategik PMKS 2030, indikator produktiviti juga perlu diberi penekanan.
Antaranya termasuk peningkatan hasil jualan bagi setiap pekerja, pengurangan kos operasi selepas penggunaan automasi, serta peningkatan kecekapan hasil penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Pelan Strategik PMKS 2030 sendiri menekankan bahawa PMKS perlu diperlengkap dengan akses kepada teknologi, bakat, kewangan dan pengetahuan bagi meningkatkan inovasi dan produktiviti.
Dalam era AI, geran pendigitalan juga perlu ditransformasikan. Bantuan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembelian komputer, laman sesawang atau platform e-dagang.
Sebaliknya, PMKS perlu digalakkan menggunakan AI untuk ramalan permintaan pelanggan, pengurusan inventori, pemasaran digital, analisis data, khidmat pelanggan dan automasi proses perniagaan.
Pendigitalan kini bukan lagi pilihan, tetapi prasyarat untuk meningkatkan daya saing.
Di samping itu, kejayaan program pembangunan PMKS juga perlu diukur berdasarkan penciptaan pekerjaan berkualiti, khususnya kepada belia dan graduan dalam bidang digital, teknologi dan automasi.
Ini akan memastikan pembangunan PMKS turut menyumbang kepada agenda pembangunan modal insan negara.
Satu lagi cadangan yang wajar dipertimbangkan ialah penggunaan pendekatan Social Return on Investment (SROI). Pendekatan ini menilai pulangan sosial dan ekonomi bagi setiap ringgit yang dibelanjakan kerajaan.
Penilaian bukan sahaja mengambil kira peningkatan hasil cukai, malah impak terhadap peningkatan pendapatan usahawan, peluang pekerjaan, kesejahteraan komuniti dan pertumbuhan ekonomi setempat.
Akhir sekali, kerajaan perlu membangunkan pangkalan data bersepadu PMKS yang menghubungkan semua agensi pembangunan usahawan seperti KUSKOP, SME Corp, TEKUN, SME Bank, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Bank Rakyat.
Integrasi data ini membolehkan prestasi setiap penerima bantuan dipantau secara berterusan, mengurangkan pertindihan program dan membolehkan dasar diperbaiki berdasarkan bukti serta data sebenar.
Belanjawan 2027 merupakan peluang terbaik untuk mengubah paradigma pembangunan PMKS.
Tumpuan tidak lagi seharusnya diberikan kepada berapa banyak dana disalurkan atau berapa banyak program dilaksanakan, tetapi sejauh mana setiap ringgit yang dibelanjakan mampu meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya tahan, mengembangkan eksport dan melahirkan PMKS yang benar-benar berdaya saing.
Hanya melalui pendekatan berasaskan impak inilah sektor PMKS mampu terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Rasidah Mohd. Rashid ialah Dekan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) dan Felo Penyelidik Economic & Financial Policy Institute (ECoFI), Universiti Utara Malaysia (UUM).










