Felda perlu nafas baharu

Felda perlu nafas baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN tujuh inisiatif khas bernilai hampir RM2 bilion kepada warga Felda oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Peneroka 2026 dan 70 Tahun Felda telah menarik perhatian pelbagai pihak.

Seperti lazimnya, setiap pengumuman berskala besar yang melibatkan peruntukan kerajaan akan mengundang pelbagai tafsiran, termasuk dakwaan bahawa ia sekadar pendekatan populis atau retorik politik menjelang pilihan raya.

Namun, jika diteliti secara objektif dan menyeluruh, tujuh inisiatif yang diumumkan itu sebenarnya mencerminkan satu bentuk intervensi dasar yang komprehensif bagi menangani cabaran semasa dan masa hadapan masyarakat Felda.

Ia bukan sekadar bantuan bersifat one-off, sebaliknya merupakan pakej pembangunan yang merangkumi aspek ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan, perumahan dan pendigitalan yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Felda yang diasaskan pada 1956 telah menjadi antara instrumen pembangunan luar bandar paling berjaya.

DASAR pembangunan Felda tidak boleh hanya tertumpu kepada generasi peneroka asal, tetapi turut memberi perhatian kepada pembangunan generasi baharu.

Dalam tempoh tujuh dekad, Felda bukan sahaja berjaya mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar, malah melahirkan generasi baharu yang lebih berpendidikan dan berkemahiran.

Namun, landskap pembangunan hari ini jauh berbeza berbanding era awal penubuhannya.

Ketidaktentuan ekonomi global, peningkatan kos sara hidup, turun naik harga komoditi, perkembangan teknologi digital dan perubahan struktur pekerjaan memerlukan pendekatan pembangunan yang lebih dinamik.

Dalam konteks inilah pengumuman tujuh inisiatif tersebut perlu dilihat.

Pemberian geran RM990 juta bagi pembayaran balik pinjaman sukuk termasuk penghapusan hutang peneroka merupakan langkah yang sangat signifikan.

Bagi ramai peneroka, beban hutang yang berlarutan bukan sahaja menjejaskan kedudukan kewangan keluarga, malah mengehadkan keupayaan mereka untuk meningkatkan produktiviti dan membuat pelaburan baharu.

Apabila tekanan hutang dapat dikurangkan, pendapatan boleh guna isi rumah akan meningkat. Ini secara langsung membantu peneroka menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dalam erti kata lain, inisiatif ini bertindak sebagai mekanisme perlindungan sosial yang penting bagi meningkatkan daya tahan ekonomi warga Felda dalam suasana ekonomi yang tidak menentu.

Begitu juga dengan peruntukan RM150 juta bagi menyiapkan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dan usaha menyelesaikan isu legasi perumahan generasi kedua peneroka.

Isu perumahan merupakan antara cabaran utama yang dihadapi oleh generasi muda Felda sejak sekian lama.

Ketiadaan akses kepada rumah mampu milik menyebabkan ramai anak peneroka memilih untuk berhijrah ke bandar bagi mencari peluang kehidupan yang lebih baik.

Akibatnya, berlaku penghijrahan modal insan yang boleh menjejaskan kesinambungan pembangunan komuniti Felda.

Justeru, usaha kerajaan menyelesaikan isu ini memperlihatkan komitmen yang jelas dalam memastikan dasar pembangunan Felda tidak hanya tertumpu kepada generasi peneroka asal, tetapi turut memberi perhatian kepada pembangunan generasi baharu. Pendekatan ini penting bagi menjamin kelangsungan komuniti Felda dalam jangka panjang.

Langkah mengembalikan model asal penjualan minyak sawit mentah yang dijangka memberi manfaat tambahan sehingga RM42 juta kepada Koperasi Permodalan Felda (KPF) menunjukkan kesungguhan kerajaan memperkukuhkan asas ekonomi peneroka.

Ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi pembaharuan struktur yang mampu meningkatkan pulangan ekonomi kepada warga Felda secara berterusan.

Apa yang lebih menarik ialah perhatian serius kerajaan terhadap agenda pendigitalan masyarakat Felda.

Peruntukan RM15.85 juta bagi memperkasa literasi digital di 317 rancangan Felda bukan sekadar program latihan teknologi biasa, tetapi satu pelaburan strategik untuk masa depan.

Hari ini, ekonomi digital menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi dunia.

Pelbagai peluang pekerjaan baharu muncul menerusi platform digital seperti e-dagang, pemasaran digital, pembangunan kandungan kreatif, analisis data dan ekonomi gig.

Generasi muda Felda perlu dipersiapkan dengan kemahiran yang membolehkan mereka bersaing dalam ekosistem ekonomi baharu ini.

Melalui sokongan infrastruktur Jalinan Digital Negara (Jendela), kerajaan sedang menyediakan platform yang mampu melahirkan bakat-bakat muda Felda yang lebih kompetitif dan inovatif.

Mereka bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, malah berpotensi menjadi pencipta pekerjaan serta usahawan digital yang mampu menjana pendapatan baharu.

Pendekatan ini amat penting kerana pembangunan masyarakat luar bandar pada masa hadapan tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada sektor tradisional.

Sebaliknya, transformasi digital perlu dijadikan pemangkin kepada penciptaan peluang ekonomi yang lebih luas dan inklusif.

Dalam masa yang sama, kerajaan turut memberikan perhatian kepada aspek pendidikan melalui peruntukan RM10 juta bagi membaik pulih sekolah-sekolah di kawasan Felda.

Pendidikan merupakan kunci utama dalam membentuk modal insan yang berkualiti dan berdaya saing.

Kemudahan pembelajaran yang kondusif akan membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar serta membuka lebih banyak peluang mobiliti sosial kepada generasi baharu Felda.

Pelaburan dalam pendidikan sebenarnya merupakan pelaburan jangka panjang yang memberi pulangan besar kepada negara.

Tidak kurang pentingnya ialah aspek kesihatan. Tambahan dana RM3 juta kepada Pasukan Kesihatan Skuad Maya Felda menunjukkan kerajaan mengiktiraf bahawa kesejahteraan masyarakat tidak hanya diukur melalui peningkatan pendapatan semata-mata.

Kesihatan yang baik merupakan prasyarat kepada produktiviti dan kualiti hidup yang tinggi. Oleh itu, penyediaan infrastruktur dan kemudahan kesihatan yang lebih komprehensif perlu terus diperkasakan.

Dalam jangka pendek, program saringan kesihatan, telekesihatan dan pendidikan kesihatan komuniti perlu diperluaskan.

Manakala dalam jangka panjang pula, pembangunan pusat kesihatan komuniti yang moden serta penggunaan teknologi kesihatan digital perlu menjadi agenda utama pembangunan Felda.

Hakikatnya, kekuatan sebenar tujuh inisiatif ini terletak pada sifatnya yang saling melengkapi. Penghapusan hutang meningkatkan kestabilan kewangan keluarga. Perumahan menjamin kesejahteraan sosial.

Reformasi ekonomi memperkukuhkan sumber pendapatan. Pendidikan melahirkan modal insan berkualiti. Literasi digital membuka peluang pekerjaan baharu. Kesihatan pula memastikan kesejahteraan hidup dapat dinikmati secara berterusan.

Gabungan ketujuh-tujuh inisiatif ini ibarat satu rantaian pembangunan yang diperlukan oleh masyarakat Felda berwajah baharu.

Setiap komponen mempunyai fungsi tersendiri, namun saling berkait dalam membentuk komuniti yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan keterhadapan.

Apa yang lebih penting selepas ini adalah untuk memastikan setiap inisiatif yang diumumkan benar-benar dilaksanakan secara cekap, telus dan berkesan.

Kejayaan sesuatu dasar bukan diukur melalui jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi melalui impak yang dirasai oleh rakyat.

Sekiranya pelaksanaan berjalan seperti dirancang, tujuh inisiatif ini berpotensi menjadi titik tolak kepada transformasi baharu Felda yang lebih progresif, mampan dan relevan untuk generasi masa hadapan. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Ahmad Zubir Ibrahim ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN