1 MUHARRAM adalah tarikh yang amat sinonim dengan umat Islam. Umat Islam di seluruh dunia meraikan kedatangan tahun baru Hijri pada 1 Muharram Tahun Hijri setiap tahun.
Kedatangan tahun baharu Hijri bukan sekadar menandakan pertukaran angka pada kalendar Islam, bahkan mengingatkan umat Islam kepada satu peristiwa agung yang mengubah perjalanan sejarah manusia.
Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah bukan hanya perpindahan lokasi, tetapi suatu transformasi menyeluruh yang melibatkan akidah, pemikiran, budaya dan pembinaan sebuah tamadun yang akhirnya menjadi model kepada dunia.
Peristiwa hijrah membuktikan bahawa perubahan besar tidak berlaku secara kebetulan. Ia memerlukan perancangan, pengorbanan, dan keberanian.
Atas sebab itu, hijrah tidak seharusnya dilihat sebagai peristiwa sejarah yang hanya dikenang setiap kali tibanya Awal Muharam, sebaliknya perlu difahami sebagai satu prinsip perubahan yang sentiasa relevan sepanjang zaman.
Dalam konteks semasa, semangat hijrah perlu diterjemahkan ke dalam realiti kehidupan yang semakin dipengaruhi oleh teknologi digital. Dunia hari ini menyaksikan manusia hidup dalam dua alam serentak, iaitu alam fizikal dan alam maya.
Telefon pintar berada di tangan hampir setiap individu, media sosial menjadi medium komunikasi utama, manakala kecerdasan buatan (AI) semakin mempengaruhi cara manusia belajar, bekerja dan membuat keputusan.
Persoalannya, adakah kita telah bersedian menghadapi cabaran era digital dan berhijrah ke arah penggunaan teknologi yang lebih baik, atau kita hanya sekadar menjadi pengguna yang hanyut dalam arus digital tanpa arah dan tujuan.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’d, 13:11)
Ayat ini menjelaskan bahawa perubahan masyarakat bermula daripada perubahan individu. Kemajuan teknologi tidak akan membawa manfaat sekiranya tidak disertai dengan perubahan sikap, nilai dan akhlak.
Cabaran Teknologi Digital Dalam Kehidupan
Tidak dapat dinafikan bahawa teknologi digital telah mengubah hampir setiap aspek kehidupan manusia.
Daripada urusan kewangan, pendidikan, pekerjaan hinggalah kepada hubungan sosial, semuanya kini bergantung kepada internet dan teknologi pintar.
Menurut laporan Digital 2025 Malaysia yang diterbitkan oleh DataReportal, Malaysia mempunyai lebih 30 juta pengguna internet, dengan kira kira melebihi 97 peratus daripada populasi negara.
Rakyat Malaysia juga antara pengguna internet yang aktif di rantau Asia Tenggara dengan purata penggunaan internet melebihi lapan jam sehari menurut data Ipsos Digital 2025.
Sebahagian besar masa tersebut digunakan untuk media sosial, penstriman video dan aplikasi komunikasi.
Perkembangan ini membawa banyak manfaat terutamanya dari sudut masyarakat celik digital, namun dalam masa yang sama melahirkan pelbagai cabaran baharu.
Ketagihan media sosial, budaya mengejar populariti, penyebaran berita palsu, buli siber dan kemerosotan komunikasi bersemuka semakin menjadi kebimbangan masyarakat.
Lebih membimbangkan, pelbagai kajian antarabangsa termasuk oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahawa penggunaan media sosial secara berlebihan boleh memberi kesan kepada kesihatan mental, terutama dalam kalangan remaja dan belia.
Fenomena perbandingan sosial yang berlaku secara berterusan menyebabkan ramai individu berasa rendah diri, tertekan dan tidak puas dengan kehidupan sendiri.
Selain itu, salah satu cabaran terbesar era digital ialah budaya tular (viral). Hari ini, sesuatu perkara sering diukur berdasarkan jumlah tontonan, perkongsian atau tanda suka yang diperoleh.
Tidak sedikit yang sanggup melakukan apa sahaja demi meraih perhatian masyarakat maya. Sedangkan Islam mengajar bahawa nilai sesuatu amalan bukan terletak pada popularitinya, tetapi pada manfaat dan keberkatannya.
Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semuan anggotaanggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah al-Isra’, 17:36)
Ayat ini sangat relevan dalam era media sosial apabila setiap individu berpotensi menjadi penerbit maklumat. Satu klik sahaja mampu menyebarkan sesuatu berita kepada ribuan orang dalam masa yang singkat.
Justeru, menghayati hijrah pada era digital menuntut umat Islam supaya berhijrah daripada budaya menyebarkan segala perkara, kepada budaya menyebarkan hanya perkara yang bermanfaat.
Maklumat perlu disemak sebelum dikongsi, fitnah perlu dielakkan, manakala media sosial perlu dimanfaatkan sebagai medium pendidikan, dakwah digital dan pembangunan masyarakat.
Terdapat satu hadis yang boleh menjadi panduan dalam percakapan, malah turut menjadi prinsip utama dalam setiap hantaran (posting), komen dan perkongsian di media sosial.
Sabda Rasulullah SAW:
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Di sinilah pentingnya semangat hijrah diterapkan dalam kehidupan di era digital. Teknologi perlu dilihat sebagai alat untuk mencapai matlamat yang baik, bukannya menjadi matlamat itu sendiri.
Hijrah Digital Bermula dengan Diri Sendiri
Antara pengajaran terbesar daripada peristiwa hijrah ialah pembinaan tamadun.
Setibanya di Madinah, Rasulullah SAW tidak sekadar menyesuaikan diri dengan keadaan baharu, bahkan membangunkan masyarakat yang berilmu, produktif dan berdaya maju.
Semangat yang sama perlu diterjemahkan dalam era digital hari ini. Umat Islam tidak seharusnya hanya menjadi pengguna teknologi yang pasif, tetapi perlu produktif dengan berusaha menjadi pencipta nilai dan penyumbang kepada masyarakat.
Jika dilihat, kecerdasan buatan, teknologi digital dan internet membuka peluang yang luas untuk menghasilkan inovasi, membangunkan platform pendidikan, memperkukuhkan ekonomi digital serta menyebarkan ilmu kepada masyarakat global.
Malangnya, sebahagian besar umat Islam masih lebih banyak menggunakan teknologi untuk hiburan berbanding pembangunan ilmu dan kemahiran. Sedangkan Rasulullah SAW mengingatkan:
“Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.” (Riwayat al-Tabarani)
Hadis ini memberi petunjuk bahawa kejayaan seorang muslim tidak diukur berdasarkan jumlah pengikut atau tahap populariti, tetapi sejauh mana manfaat yang mampu diberikan kepada orang lain.
Akhirnya, dalam menghayati hijrah pada era digital bukan bermaksud menolak kemajuan teknologi atau menjauhkan diri daripada dunia moden.
Sebaliknya, konsep hijrah digital ini ialah untuk mengajak umat Islam menggunakan teknologi secara lebih beretika, bermanfaat dan bertanggungjawab.
Semangat hijrah mengajar kita untuk berpindah daripada kelalaian kepada kesedaran, dan daripada menjadi pengguna pasif kepada pencipta manfaat untuk masyarakat.
Jika Rasulullah SAW berjaya mengubah masyarakat jahiliah menjadi sebuah tamadun yang memimpin dunia melalui semangat hijrah, maka umat Islam hari ini juga mampu membina masa depan yang lebih baik dengan menjadikan teknologi sebagai medium ibadah, dakwah dan pembangunan insan.
Persoalan yang lebih penting bukanlah sejauh mana teknologi telah berkembang, tetapi sejauh mana kita telah berkembang bersama nilai dan prinsip yang dibawa oleh Islam.
Sesungguhnya hijrah yang paling besar bukanlah perubahan tempat, tetapi perubahan diri menuju keredaan Allah SWT. – UTUSAN
Penulis ialah Eksekutif, Pusat Islam dan Kebudayaan Management and Science University (MSU), Ustaz Mohamad Omar Mansu.









