INTEGRITI bukan sekadar perkataan besar yang disebut dalam berita politik, ceramah motivasi atau kempen antirasuah. Bagi anak-anak, integriti boleh dijelaskan secara amat mudah iaitu melakukan perkara yang betul walaupun tiada orang melihat.
Seorang kanak-kanak yang memulangkan duit baki terlebih di kantin sekolah, mengaku kesalahan sendiri, tidak menipu dalam kerja sekolah dan tidak mengambil barang milik orang lain tanpa izin, mereka sebenarnya sedang mempraktikkan integriti.
Nilai itu tidak lahir secara tiba-tiba apabila seseorang memasuki universiti atau alam pekerjaan. Integriti bermula di rumah, sejak usia kecil dan melalui contoh yang dilihat setiap hari daripada ibu bapa.
Pada Februari 2004, tiga wakil Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) turut diundang menyertai sesi perbincangan dan libat urus Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Institut Etika Awam Malaysia (IEAW) yang kemudian didaftar sebagai Institut Integriti Malaysia (IIM) pada Mac 2004.
Pada masa itu, perbincangan tentang integriti masih baharu. Malah, ada peserta sesi libat urus yang menyangka ia sama makna dengan integrasi.
Dalam masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan budaya, pendidikan integriti amat penting kerana anak-anak membesar dalam dunia yang penuh cabaran moral.
Mereka terdedah kepada media sosial, budaya menunjuk-nunjuk, penipuan digital, buli siber dan pelbagai bentuk pengaruh negatif.
Maka, ibu bapa tidak boleh hanya berharap sekolah akan mendidik anak menjadi manusia berintegriti. Pelbagai kajian pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia menunjukkan penglibatan ibu bapa memainkan peranan besar dalam pembentukan sikap, tingkah laku dan nilai moral anak-anak.
Ramai ibu bapa melakukan kesilapan apabila menerangkan integriti dalam bentuk terlalu abstrak. Anak kecil tidak memahami istilah seperti ‘akauntabiliti’, ‘amanah’ atau ‘etika’. Mereka lebih mudah memahami nilai integriti melalui cerita dan contoh harian.
Misalnya, apabila ibu berkata, “Kita tidak boleh potong barisan kerana orang lain juga menunggu.” Si anak belajar tentang kejujuran dan hormat.
Apabila ayah memulangkan dompet yang dijumpai di tempat letak kereta pasar raya, si anak memahami integriti bermaksud tidak mengambil hak orang lain.
Kanak-kanak belajar dengan memerhati. Jika ibu bapa meminta anak bercakap benar tetapi mereka sendiri menipu usia anak untuk mendapatkan diskaun kanak-kanak, mesej yang diterima anak amat jelas. Si anak berfikir, menipu dibenarkan apabila menguntungkan diri sendiri.
Jika ibu bapa meminta anak rajin belajar tetapi mereka sendiri sentiasa leka dengan telefon bimbit, anak juga akan meniru tabiat itu. Integriti tidak boleh diajar secara teori semata-mata. Ia mesti ditunjukkan menerusi tindakan.
Kadangkala, tanpa sedar, ibu bapa sendiri merosakkan asas integriti anak. Ada ibu bapa yang terlalu obses dengan pencapaian akademik sehingga sanggup membantu anak menipu kerja sekolah, menyiapkan projek sekolah sepenuhnya, malah memberi alasan palsu kepada guru jika kerja tidak siap.
Anak yang dibesarkan dalam suasana begitu mungkin memperoleh markah tinggi tetapi gagal memahami nilai kejujuran. Integriti bukan tentang kelihatan berjaya di mata orang lain. Integriti ialah keberanian untuk berlaku jujur walaupun keputusan tidak sempurna.
Dalam budaya masyarakat Asia, termasuk Malaysia, terdapat kecenderungan ibu bapa mahu ‘menyelamatkan’ anak daripada kegagalan. Namun, anak perlu belajar bahawa setiap tindakan mempunyai akibat. Jika anak memecahkan barang semasa berkunjung ke rumah orang, ajar dia meminta maaf. Jika dia melakukan kesalahan, ajar dia mengaku.
Apabila ibu bapa terlalu cepat mempertahankan anak walaupun anak jelas bersalah, mereka sebenarnya sedang mengajar kesalahan boleh dielakkan melalui alasan dan kuasa orang dewasa. Sikap beginilah yang akhirnya melahirkan generasi yang sukar menerima tanggungjawab.
Integriti juga boleh dipupuk melalui rutin komunikasi dalam keluarga. Kajian menunjukkan, rutin perbualan harian antara ibu bapa dan anak sangat membantu perkembangan emosi, pemikiran dan tingkah laku positif kanak-kanak.

Anak-anak perlu diberi ruang untuk bercakap tentang apa yang berlaku di sekolah, apa yang mereka lihat di internet dan apa yang mereka rasa.
Dalam perbualan santai itu, ibu bapa boleh bertanya, “Kalau kawan ambil barang orang lain, apa patut kita buat?” Soalan mudah seperti itu membantu anak berfikir tentang nilai integriti secara praktikal.
Selain itu, ibu bapa perlu mengelakkan budaya malu yang keterlaluan. Ada anak takut bercakap benar kerana bimbang dimarahi. Akibatnya, mereka belajar menyembunyikan kesalahan.
Jika anak mengaku melakukan kesilapan, ibu bapa wajar menghargai keberanian itu walaupun tetap memberi teguran atau hukuman yang sesuai. Anak perlu faham berkata benar lebih penting daripada kelihatan sempurna.
Dalam dunia digital hari ini, integriti juga berkait rapat dengan penggunaan teknologi. Anak-anak perlu diajar bahawa menyalin tugasan daripada internet tanpa kredit ialah satu bentuk penipuan.
Menyebarkan berita palsu, membuka akaun palsu atau menghina orang lain secara anonim juga bertentangan dengan integriti. Malangnya, ramai orang dewasa sendiri gagal menunjukkan contoh baik di media sosial.
Anak-anak melihat segala-galanya. Mereka memerhati cara ibu bapa bercakap tentang orang lain, cara ibu bapa memandu di jalan raya, cara ibu bapa melayan pekerja restoran dan cara ibu bapa mematuhi undang-undang kecil. Semua itu menjadi ‘buku teks’ sebenar dalam pendidikan integriti.
Hakikatnya, anak-anak tidak memerlukan ibu bapa yang sempurna. Mereka memerlukan ibu bapa yang jujur, konsisten dan berani mengaku kesalahan sendiri.
Apabila ibu bapa mampu berkata, “Ayah silap,” atau “Ibu minta maaf,” anak belajar integriti juga bermaksud rendah hati dan bertanggungjawab.
Wajarlah diingatkan, masyarakat tidak akan berubah hanya melalui slogan atau kempen besar. Perubahan sebenar bermula di rumah iaitu apabila ibu bapa memilih untuk menjadi manusia yang mereka harap anak-anak mereka akan jadi suatu hari nanti. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










