DAPSY mengambil maklum kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Dr. Zambry Abdul Kadir yang menyeru agar isu kemasukan pelajar ke IPTA tidak dipolitikkan, serta penegasan bahawa sebarang persoalan boleh dirujuk kepada pihak UPU.
Namun DAPSY menegaskan bahawa seruan “usah dipolitikkan” tidak menyentuh punca utama. Pertikaian kemasukan IPTA bukan timbul tanpa sebab, dan tidak wajar disapu dengan label “dipolitikkan” semata-mata. Apabila wujud kekeliruan atau rasa tidak adil, terutamanya melibatkan pelajar berkeputusan baik yang tidak mendapat tempat, KPT sepatutnya menjawab dengan fakta dan ketelusan. 
DAPSY berpandangan isu ini berlarutan kerana data dan statistik serta mekanisme penilaian tidak didedahkan secara menyeluruh dan telus. Selama ini, masyarakat masih tertanya-tanya mengapa diterima, mengapa ditolak? Namun data kritikal seperti jumlah diterima/ditolak mengikut program, pecahan saluran (STPM, Matrikulasi, Asasi dan lain-lain), serta komponen penilaian dan pemberatan sebenar jarang dijelaskan secara terperinci kepada umum.
DAPSY juga mengambil perhatian bahawa penjelasan rasmi daripada KPT, termasuk dalam sesi soal jawab Parlimen sering bersifat umum dan agregat, menyebabkan ruang tafsiran berbeza serta spekulasi berpanjangan. Dalam keadaan maklumat tidak jelas, isu mudah diseret menjadi sentimen, sedangkan puncanya ialah ketidaktelusan sistem.
Penyelesaian yang paling praktikal adalah KPT dan UPU perlu mendedahkan maklumat yang boleh diteliti oleh orang ramai termasuk pecahan saluran pelajar yang diterima, standard pemilihan, kaedah pengiraan markah serta mekanisme merit yang digunakan. Ini akan mengurangkan salah faham dan memulihkan keyakinan pelajar serta ibu bapa. 
Dari sudut reformasi dan pembaharuan, DAPSY mengulangi pendirian bahawa kerajaan perlu meneliti secara serius hala tuju ke arah menyatukan sistem kemasukan universiti supaya ia lebih seragam dan konsisten, bagi menangani ketidakseimbangan lama antara saluran, khususnya jurang Matrikulasi–STPM dari segi struktur kursus, penilaian, akses sumber dan pemarkahan kokurikulum. Isu ini bukan soal kaum, tapi soal keadilan prosedural dan keberkesanan pemadanan bakat negara.
Akhir sekali, DAPSY menegaskan isu kemasukan IPTA menentukan tahap kepercayaan generasi muda terhadap masa depan negara. Jika sistem asas seperti peluang melanjutkan pengajian pun gagal diterangkan dengan meyakinkan, keyakinan anak muda akan terhakis dan akhirnya mendorong bakat memilih laluan di luar negara. Kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan melalui ketelusan, pembaikan sistem dan komunikasi dasar yang lebih jelas, bukan sekadar menyeru agar isu “tidak dipolitikkan”. 
Koh Ling Xian
Pengarah Biro Hal Ehwal Varsiti
DAPSY Kebangsaan
27 April 2026










