Kaji mekanisme import sayur, perluas subsidi diesel demi sokong sektor pertanian

Kaji mekanisme import sayur, perluas subsidi diesel demi sokong sektor pertanian

dapsy
Ho Chi Yang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memandangkan harga sayur-sayuran di peringkat kebun kekal rendah dalam setahun ini, manakala kos input yang ditanggung oleh para pekebun semakin meningkat, saya menyeru kerajaan agar memberi perhatian serius terhadap keadaan sebenar sektor pertanian serta  memperkukuh sokongan bagi membina sektor pertanian yang lebih stabil dan mampan.

Susulan daripada ketegangan Timur Tengah yang menyebabkan harga minyak dunia melonjak secara mendadak, PMX baru-baru ini mengumumkan langkah menangani keadaan tersebut, termasuk meningkatkan bantuan subsidi diesel BUDI Madani daripada RM200 kepada RM300 sebulan. Peningkatan subsidi ini dilihat sebagai langkah yang wajar bagi mengurangkan beban tambahan pekebun kecil akibat kenaikan harga diesel.

Ketidaktentuan global turut memberi kesan kepada harga input pertanian seperti bahan api dan baja, maka pengenalan dasar di peringkat negara amat penting bagi menjamin kestabilan pengeluaran pertanian serta keterjaminan makanan negara.

Pengumuman Kerajaan Perpaduan sebelum ini untuk menggubal Akta Keterjaminan Makanan Negara telah mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sektor pengeluaran dan keselamatan makanan. Konflik di Timur Tengah, khususnya sekatan di Selat Hormuz, bukan sahaja menyebabkan kenaikan harga minyak, malah dijangka meningkatkan harga baja dan keseluruhan kos pertanian. Ini sekali lagi membuktikan bahawa keterjaminan makanan perlu dijadikan bidang strategik negara bagi mengurangkan impak ketidaktentuan dunia.

Selain kos input yang tinggi, pekebun tempatan turut berdepan cabaran harga sayur di peringkat pengeluar yang kekal rendah untuk tempoh yang panjang. Keadaan ini menyebabkan ramai pekebun mengalami tekanan kewangan, malah pekebun kecil dan sederhana turut mengalami kerugian dan sukar meneruskan operasi.

Baru-baru ini, terdapat laporan bahawa harga sayur di peringkat pengeluar sangat rendah sepanjang setahun lalu. Bagi sesetengah jenis sayur seperti kubis, harga hanya sekitar RM0.50 sekilogram atau lebih rendah. Apabila harga rendah berlarutan ditambah lagi dengan kos pertanian yang tinggi, ramai pekebun tidak mampu bertahan, manakala ada juga yang mempertimbangkan untuk berhenti mencucuk tanam. Oleh itu, keadaan ini amat membimbangkan dan wajar diberi perhatian segera.

Walaupun kadar sara diri (SSR) sayur-sayuran negara masih belum mencapai kadar sara diri sepenuhnya, data daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menunjukkan bahawa bagi tempoh 2018 hingga 2022, terdapat sesetengah jenis sayur sebenarnya telah mencapai atau melebihi 100%. Antaranya timun (110.6%), bayam (109.6%), tomato (118%), terung (106.6%) dan kacang panjang (106.6%).

Berdasarkan data daripada Trading Economics, nilai import sayur Malaysia pada tahun 2025 mencecah USD1.21 bilion, menurun sedikit daripada USD1.34 bilion pada 2024, namun masih jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, 60.8% (USD736 juta) adalah import dari China, menunjukkan peningkatan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dengan mengambil kira bahawa sesetengah jenis sayur telah mencapai kadar sara diri yang tinggi, saya menggesa pihak kerajaan dan jabatan berkenaan untuk mengkaji semula mekanisme import sedia ada bagi memastikan bekalan pasaran kekal stabil tanpa berlakunya lambakan import yang menjejaskan harga tempatan dan pendapatan pekebun.

Walaupun import sayur dalam jumlah besar mampu menurunkan harga dalam jangka pendek dan memberi manfaat kepada pengguna, kesannya dalam jangka panjang boleh menyebabkan pekebun tempatan semakin tertekan dan terpaksa meninggalkan sektor pertanian. Situasi ini akhirnya akan menjejaskan kapasiti pengeluaran negara secara serius.

Dari segi hala tuju strategik negara, kebergantungan kepada sayur import bukan sahaja menyebabkan aliran keluar mata wang asing, malah menjadikan negara terdedah kepada risiko ketidaktentuan dunia. Krisis seperti pandemik Covid-19, perang Rusia-Ukraine, krisis Laut Merah dan konflik terkini di Timur Tengah menunjukkan keperluan yang semakin mendesak untuk mengutamakan keterjaminan makanan dan kestabilan bekalan negara.

Selain itu, diesel merupakan sumber penting dalam aktiviti pertanian seperti pam pengairan, operasi jentera dan pengangkutan dalam kebun. Oleh itu, saya mencadangkan agar kerajaan mengkaji kebolehlaksanaan untuk memperluas liputan subsidi diesel dan melonggarkan syarat kelayakan, termasuk had jualan, supaya lebih ramai pekebun dapat menikmati bantuan tersebut.

Pada masa ini, subsidi diesel BUDI Madani hanya diberikan kepada pekebun yang merekodkan nilai jualan di bawah RM300,000, dengan bantuan RM200 (kini RM300) sebulan disalurkan. Berdasarkan maklum balas pekebun dan pertubuhan pertanian, had ini terlalu rendah dan menyebabkan ramai tidak layak memohon. Maka, saya mencadangkan agar jumlah subsidi ditingkatkan bagi membantu mengurangkan kos pertanian yang semakin meningkat.

Sektor pertanian bukan sahaja merupakan sumber rezeki pekebun, malah berkait rapat dengan keterjaminan makanan negara. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan dan Negeri, agensi berkaitan dan pertubuhan pertanian perlu memperkukuh komunikasi dan sinergi. Pada masa yang sama, dasar yang lebih strategik dan tepat perlu dirangka bagi mewujudkan persekitaran pertanian yang stabil dan mampan agar pekebun dapat terus menghasilkan bekalan makanan untuk rakyat serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Ho Chi Yang, ADUN Tanah Rata

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN