Sejauh mana kurikulum sedia ada benar-benar mempersiapkan pelajar menghadapi dunia sebenar?
Universiti sepatutnya melahirkan graduan yang mampu berfikir secara sistemik, membuat pertimbangan matang dan bertindak dengan akauntabiliti.
Dari ‘belajar untuk tahu’ kepada ‘belajar untuk buat, menjadi diri dan hidup bersama seperti saranan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Tetapi yang berlaku sering terbalik apabila banyak kursus memberi kefahaman melalui ringkasan, definisi dan slaid. Pelajar lulus dengan ‘jawapan betul’ tetapi tidak terlatih menanggung kompleksiti, menilai risiko dan membuktikan keputusan melalui tindakan.
Benar universiti kita semakin kerap mengulang ‘sedia masa hadapan’ dan ‘kebolehpasaran graduan’. Namun di lapangan, hakikat dan realitinya jauh lebih keras. Masih banyak program bergerak dengan logik lama dengan kandungan padat tetapi tidak mendarat, pedagogi satu hala dengan pensyarah
bicara sendiri dan penilaian yang menguji memori, bukan analisa.
Pada masa sama, pelajar hidup dalam ekonomi perhatian yang membentuk aspirasi, identiti dan definisi kejayaan melalui Instagram, TikTok serta budaya pempengaruh.
Dunia bergerak pantas tetapi universiti terlalu lambat membuat perubahan. Yang dibina hanyalah keupayaan lulus, bukan keupayaan memimpin, yang dikejar ialah kredit, bukan kompetensi, yang dinilai ialah jawapan, bukan pertimbangan. Pedagoginya masih dalam dunia lama dan amat ketinggalan.
KECERDASAN BUATAN
Dalam zaman ini, kecerdasan buatan (AI) lebih berkesan mengumpulkan teori, meringkaskan kerangka, menyusun konsep, mencadangkan bacaan, membandingkan model, bahkan menghasilkan contoh dengan pantas daripada pensyarah.
Maka persoalan penting bukan lagi berapa banyak pensyarah tahu tetapi apa yang hanya pensyarah boleh lakukan dan bina berbanding AI.
Di sinilah peranan pensyarah perlu berubah secara radikal bukan hanya penyampai maklumat tetapi pembina kerangka fikir, pemegang disiplin intelektual dan penjaga etika keputusan.
Mereka perlu melatih pelajar bertanya soalan yang betul, menilai hujah, membezakan bukti daripada pendapat, mengesan berat sebelah dan memahami implikasi moral sesuatu pilihan.
Kebimbangan AI akan mematikan fikiran sebenarnya terlalu simplistik. Sama ada AI boleh melumpuhkan atau menajamkan pemikiran bergantung reka bentuk pedagogi dan cara pensyarah menggunakannya bersama pelajar.
Jika AI dijadikan mesin jawapan untuk memendekkan usaha, memang ia melatih kemalasan kognitif.
Tetapi jika AI dijadikan sparring partner intelektual untuk mencabar andaian, menguji hujah, membandingkan perspektif, dan memaksa pelajar memperbaiki penaakulan, AI menjadi alat penajaman minda pelajar.
Secara akademik, universiti perlu beralih daripada keterangkuman kandungan kepada pembelajaran berasaskan kompetensi bermaksud kurang kandungan, lebih penguasaan.
Teori yang diajar mesti menjadi asas agar pelajar tidak menjadi pengguna AI yang naif. Selebihnya pelajar boleh meneroka sendiri tetapi universiti mesti memastikan mereka mampu menapis, memilih dan mensintesis pengetahuan dengan pertimbangan matang.
Apa pun subjek baharu yang diperkenalkan tidak akan bermakna jika penilaian kekal lama. Struktur penilaian perlu berubah daripada hafalan kepada pembuktian dengan portfolio, kajian kes, prototaip, viva ringkas, serta tugasan berasaskan data dan masalah sebenar.

REALITI KOKURIKULUM
Kita juga perlu berani menegur satu isu yang sudah lama memerlukan perhatian lebih serius iaitu kokurikulum berkredit yang mengulang aktiviti harian. Ramai pelajar mengambil kursus tertentu bukan kerana ia membina kompetensi tetapi untuk mencukupkan kredit dan senang lulus.
Kokurikulum sepatutnya membina kompetensi dewasa seperti disiplin, kepimpinan, penyampaian, pengurusan risiko, ketahanan diri dan tanggungjawab sosial yang boleh diukur tetapi apabila kredit diberi kepada aktiviti rutin tanpa akauntabiliti, tanpa bukti kompetensi dan tanpa tuntutan prestasi, maka universiti menghantar mesej tidak betul iaitu yang penting bukan belajar tetapi lepas.
Kredit bukan hadiah tetapi pengiktirafan pembelajaran.
Bila membenarkan budaya ‘ambil yang mudah’, bermakna universiti merendahkan nilai ijazahnya sendiri. Maka, konsep dan falsafah kokurikulum perlu segera dilihat semula.
PEMBELAJARAN BERASASKAN KOMUNITI
Jika universiti benar-benar mahu membina karakter, bermakna tidak boleh bergantung teori semata-mata. Karakter lahir daripada latihan menanggung amanah, mengurus konflik, menahan godaan jalan pintas dan berdepan realiti manusia sebenar.
Di sinilah pembelajaran berasaskan komuniti (CBL) perlu menjadi komponen kurikulum teras, bukan aktiviti hujung minggu.
CBL bukan sukarelawan bermusim dan bukan aktiviti sampingan. CBL ialah mod pembelajaran akademik yang menggunakan komuniti sebagai ruang sebenar untuk membina kompetensi melalui pembelajaran melalui pengalaman, pembelajaran berasaskan projek dan penilaian berfokus impak yang wajar diberi kredit kerana menuntut kerja, keputusan dan tanggungjawab sebenar.
Untuk benar-benar berkesan, CBL minimum satu semester perlu bergerak dalam empat fasa:
• Diagnosa komuniti dengan membaca konteks, punca, kekangan, aset dan keperluan sebenar.
• Reka bentuk intervensi seperti objektif, strategi, pihak berkepentingan, sumber, risiko dan indikator.
• Pelaksanaan dengan akauntabiliti melalui komunikasi, dokumentasi, pengurusan risiko dan penyampaian.
• Bukti perubahan dan ketahanan melalui laporan impak, bukti indikator asas, serta pembentangan di hadapan panel akademik dan wakil komuniti.
Kursus seperti subjek Usrah in Action di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) boleh dijadikan model apabila difahami sebagai CBL yang bukan sekadar aktiviti moral atau sukarelawan tetapi struktur pembelajaran yang menggabungkan pembinaan karakter, disiplin, kepimpinan dan penyelesaian masalah komuniti secara sistematik.
Perubahan kurikulum yang diperlukan bukan kosmetik sebaliknya menuntut keberanian untuk mengembalikan semula fungsi universiti bukan sekadar menyampai maklumat, tetapi membina karakter dengan menyedari hakikat teori tidak membentuk karakter pelajar.
Teori boleh menyusun pengetahuan tetapi karakter lahir daripada hati dan minda, daripada latihan menanggung amanah, berdisiplin, membuat keputusan dalam keadaan sukar dan berdepan realiti manusia sebenar.
Dalam dunia yang semakin kompleks, yang perlu berubah bukan sekadar kurikulum tetapi keberanian universiti untuk kembali menuntut pembelajaran yang serius, berakar pada realiti dan bertanggungjawab kepada masyarakat. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ahli Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan Dan Dasar Pendidikan Tinggi (PenDaPaT).










