FIQH al-Watan merujuk kepada pemikiran watan yang terbentuk daripada metodologi analisis Jurisprudens Watan, merangkumi aspek kenegaraan, amalan beragama, keperluan duniawi, dan hubungan sosial masyarakat. Ia lahir daripada epistemologi serta falsafah kedaulatan watan yang mempengaruhi sistem perundangan, kehakiman, adat, adab, dan tertib keutamaan dalam pemerintahan serta kehidupan individu dan masyarakat.
Fiqh al-Watan tidak memisahkan prinsip kedaulatan yang dipikul oleh pemerintah dengan pertimbangan ‘uruf, adat, keutamaan, dan objektif perundangan (maqāṣid); sebaliknya menyepadukan semua unsur ini secara harmoni agar prinsip Syariah berfungsi secara kontekstual dalam realiti tempatan yang majmuk dan dinamik. Fiqh al-Watan juga tidak terhad kepada aspek kerohanian dan spiritual, bahkan melangkaui aspek sekular atau duniawi, yang sekaligus membezakan sekular daripada sekularisme.
Dalam kerangka falsafah Kontinum, watan manusia bermula sejak Nabi Adam a.s. diturunkan ke bumi. Fitrah kewatanan ini dipelihara melalui risalah para nabi dan rasul sehingga disempurnakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Maka pembinaan negara, masyarakat, dan institusi bukan sekadar projek politik atau ekonomi, tetapi amanah peradaban yang berpaksikan tauhid, keadilan, dan syura. Di sinilah letaknya keperluan suatu kerangka metodologi yang beretika, strategik, dan berdaya tahan bagi mengurus realiti moden tanpa mengorbankan prinsip.
Dalam konteks ini, PoCFAM diperkenalkan sebagai alat metodologi analisis untuk menyokong Jurisprudens Watan dalam membina Fiqh al-Watan berlandaskan Etika Tadbir Urus Bertaraf Dunia. Etika Tadbir Urus Bertaraf Dunia dibina oleh kerangka konseptual seorang khalifah yang sejajar dengan akhlak Nabi Muhammad (SAW), berasaskan misi keadilan dan amalan syura. Kesemua istilah yang digunakan di sini boleh dilayari dan merupakan hasil kajian pengarang.
PoCFAM mengandung lima elemen utama: Potensi (Po), Cabaran (C), Kemudahan (F), Aulawiyyāt (A), dan Maqāṣid (M). Ia bukan sahaja relevan dalam pembuatan keputusan kenegaraan, tetapi juga dapat diterapkan dalam pengurusan organisasi, perniagaan, pengeluaran hukum fiqh, serta sektor-sektor sekular agar disaring dan dipandu agar sesuai dengan Syariah.
Potensi (Po): Menilai Kapasiti dan Peluang
Potensi bukan sekadar menilai keupayaan individu, institusi dan bidangkuasa undang-undang, tetapi juga meramalkan peluang dan risiko yang mungkin muncul dalam dimensi politik, ekonomi, sosial, budaya, dan teknologi. Potensi menekankan pengenalpastian kekuatan dan kelemahan yang ada, serta kapasiti tersembunyi yang dapat dimanfaatkan untuk kebaikan individu, masyarakat dan negara. Perspektif Watan mencakupi autoriti pemerintah, sistem perlembagaan dan institusi yang menegakkan undang-undang dan keadilan, ketahanan masyarakat termasuk nilai moral dan tanggung jawab sivik, serta sumber intelektual seperti cendikiawan, teknokrat, dan keperluan yang timbul dalam ekosistem masyarakat.
Dalam dunia pengurusan dan perniagaan, Po membantu menilai kekuatan modal insan, daya saing pasaran, inovasi teknologi dan kelestarian kewangan. Dalam bidang pengeluaran hukum, Po mengenal pasti kapasiti ilmu, konteks masyarakat dan realiti lapangan. Penilaian ini juga perlu jujur mengesan kelemahan seperti kepincangan institusi, jurang ekonomi, pencairan budaya dan krisis kepercayaan. Dengan itu, Fiqh al-Watan bergerak daripada idealisme semata-mata kepada norma realistik yang boleh dilaksana secara strategik dan mampan.
Cabaran (C): Menangani Tekanan Dalaman dan Luaran
Cabaran mencakup tekanan dalaman seperti pertembungan politik, fragmentasi institusi, ketidaksamaan ekonomi, biaya hidup, pengangguran, kemerosotan institusi keluarga, serta risiko informasi palsu dan ancaman siber. Tekanan luar pun termasuk globalisasi, perjanjian perdagangan, undang-undang antarabangsa, dominasi media sosial, dan ketidakpastian pasaran.
Dalam pentadbiran, perniagaan dan pengeluaran hukum, Cabaran memaksa keputusan dibuat secara beretika dan berpandangan jauh. Fiqh al-Watan memastikan tindak balas terhadap tekanan ini tidak meminggirkan kedaulatan watan, tidak menjejaskan keadilan sosial, dan tidak mengorbankan nilai Syariah demi keuntungan jangka pendek atau kepentingan sempit.
Kemudahan (F): Menggerakkan Semua Sumber
Kemudahan menekankan pengoptimuman semua sumber fizikal dan spiritual bagi memastikan pelaksanaan berjalan berkesan. Ini merangkumi sokongan institusi, sistem pendidikan, kewangan, teknologi digital, AI dan tadbir urus data. Ia juga meliputi kepimpinan masyarakat, budaya dialog, serta pengukuhan nilai amanah dan adab.
Dalam pengurusan dan perniagaan, F memastikan sumber manusia, teknologi dan kewangan digerakkan secara berintegriti. Dalam pengeluaran hukum, F merangkumi akses kepada ilmu, data, pakar dan konteks sosial. Dengan ini, Fiqh al-Watan bukan sekadar teori, tetapi praksis yang membina kepercayaan awam dan kredibiliti institusi.
Aulawiyyāt (A): Menentukan Keutamaan Strategik
Aulawiyyāt menyusun hierarki keutamaan dalam mengurus interaksi antara Potensi, Cabaran dan Kemudahan. Ia menentukan perkara yang mesti didahulukan, boleh ditangguhkan atau tidak boleh dikompromi. Dalam konteks Malaysia, Aulawiyyāt menghormati elemen watan yang dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri, membolehkan reformasi dilakukan secara berperingkat tanpa menggugat keharmonian antara agama, kaum dan institusi.
Maqāṣid (M): Memastikan Kepatuhan dan Identiti Watan
Maqāṣid menjadi kompas normatif utama PoCFAM. Ia memastikan dasar, perniagaan, fatwa dan tindakan institusi selaras dengan Sharīʿah sambil memelihara identiti watan. Selain melindungi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, Maqāṣid dalam kerangka Watan turut menjaga warisan budaya, kesinambungan institusi berdaulat dan keharmonian masyarakat majmuk.
PoCFAM menyediakan kerangka metodologi yang sistematik, integratif dan berperlembagaan untuk membina Fiqh al-Watan. Ia bukan sahaja memandu negara, tetapi juga pengurusan, perniagaan dan pengeluaran hukum agar patuh Syariah. Dalam konteks Malaysia, PoCFAM menjadikan Fiqh al-Watan suatu disiplin fiqh kebangsaan yang beretika, strategik dan berbudaya serta mampu membimbing negara berdaulat dalam era moden yang kompleks.
DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN ialah Pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan
ISTAC-UIAM / Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah










