TIRAI penghujung 2025 yang lalu kita telah kehilangan tokoh penganalisis ekonomi, mendiang Dr. Madeline Berma. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bekerjasama dengan mendiang dalam menjayakan pelbagai wacana khususnya menghubungkan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi.
Daripada mendiang, kita memahami nyalaan obor semangat untuk membangkitkan kebijaksanaan generasi demi untuk negara tercinta Malaysia bersama-sama akan dapat kita perkasakan.
Menjelang 2026, Malaysia mencatatkan 97.7 peratus kadar penembusan internet dan sekitar 70.2 peratus rakyat aktif di media sosial serta menjadikan ruang digital sebagai medium utama komunikasi harian.
Dalam kalangan platform, TikTok sahaja mempunyai hampir 28.7 juta pengguna di Malaysia, lebih 80 peratus penduduk dewasa mengukuhkan dominasi media sosial sebagai sumber maklumat dan hiburan.
Selain itu, lebih separuh kanak-kanak masa kini meluangkan antara satu hingga empat jam setiap hari dalam talian, dan hampir 61 peratus kanak-kanak kini memiliki peranti sendiri untuk capaian Internet, satu trend yang memberi cabaran besar kepada pemantauan kandungan dan pembelajaran mereka.
Fenomena ini dikenali sebagai information overload atau keletihan maklumat, iaitu keadaan apabila kapasiti kognitif manusia tidak lagi mampu memproses maklumat secara bermakna.
Dalam situasi ini, persoalan penting yang jarang dibincangkan ialah, apakah peranan bahasa Melayu dalam membantu masyarakat menapis, memahami dan bertindak secara beretika terhadap maklumat digital?
Keletihan maklumat sering disalahkan kepada teknologi dan algoritma. Namun menurut teori komunikasi klasik seperti the medium is not the message yang dikemukakan oleh Marshall McLuhan, masalah sebenar bukan sekadar medium, tetapi cara mesej dibentuk dan disampaikan.
Dalam konteks Malaysia, bahasa Melayu merupakan medium utama wacana awam. Apabila bahasa ini digunakan secara tergesa-gesa, emosional dan tanpa struktur makna yang jelas, ia mempercepatkan kekeliruan serta keletihan mental khalayak.
Fenomena ini jelas kelihatan dalam budaya tular. Tajuk sensasi, ayat separuh lengkap, singkatan melampau dan penggunaan bahasa rojak tanpa konteks semakin menjadi norma.
Dari sudut teori cognitive load, maklumat yang tidak tersusun membebankan memori kerja manusia, sekali gus menjadikan pembaca lebih mudah terpengaruh oleh emosi berbanding fakta.
Akibatnya, bahasa Melayu tidak lagi berfungsi sebagai alat penjelasan dan pemahaman, sebaliknya menjadi pencetus reaksi segera marah, takut atau teruja tanpa analisis yang mendalam.
Dalam menghadapi realiti ini, memasuki tahun 2026 menuntut masyarakat memiliki keupayaan penapisan maklumat melalui bahasa.
Penapisan di sini tidak harus difahami sebagai penapisan negara yang mengekang kebebasan bersuara, tetapi sebagai keupayaan individu dan masyarakat untuk memilih, menilai dan memberi makna secara sedar.
Teori literasi media menegaskan bahawa bahasa merupakan instrumen utama dalam proses penilaian maklumat iaitu tanpa bahasa yang jelas dan tepat, kritikan menjadi longgar dan manipulasi menjadi mudah.
Penapisan maklumat melalui bahasa boleh difahami dalam tiga kerangka utama. Pertama, kerangka kebudayaan dan sejarah, yang menuntut kefahaman konteks tempatan agar sesuatu mesej tidak ditafsir secara terpisah daripada nilai masyarakat.
Bahasa Melayu, sebagai bahasa yang lahir daripada tradisi kesantunan dan musyawarah, memiliki keupayaan ini sekiranya digunakan secara sedar dan bertanggungjawab.
Kedua, kerangka psikologi, iaitu kesedaran bahawa bahasa boleh dimanipulasi untuk mengeksploitasi emosi seperti ketakutan, kemarahan dan rasa terancam, sebagaimana dijelaskan dalam teori emotional framing. Ketiga, kerangka pengguna, di mana individu tidak lagi boleh bersikap pasif, sebaliknya perlu bertanggungjawab terhadap kandungan yang dihasilkan dan disebarkan.
Cabaran bahasa ini menjadi lebih serius apabila kandungan digital tersebar tanpa pencipta yang jelas atau tanpa akauntabiliti. Data menunjukkan bahawa sebahagian besar kandungan tular datang daripada akaun tanpa identiti yang telus.
Dalam keadaan ini, bahasa Melayu mudah dieksploitasi untuk menyebarkan maklumat palsu, fitnah dan stereotaip. Bahasa kehilangan fungsi epistemologinya sebagai alat pembinaan pengetahuan, lalu berubah menjadi alat pengaruh dan tekanan sosial.
Kesedaran terhadap risiko inilah yang mendorong kerajaan Malaysia memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866), termasuk larangan pemilikan akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun yang akan berkuat kuasa mulai 2026.
Dari sudut teori pembangunan kanak-kanak, pendedahan awal kepada persekitaran bahasa yang toksik boleh menjejaskan pembentukan empati, kawalan emosi dan kemahiran komunikasi.
Oleh itu, dasar ini wajar dilihat sebagai usaha melindungi bukan sahaja keselamatan digital, tetapi juga pembentukan bahasa dan pemikiran generasi muda.
Kanak-kanak dan remaja mempelajari bahasa bukan sekadar melalui pendidikan formal, tetapi juga melalui peniruan. Apabila bahasa yang dominan dalam ruang digital sarat dengan ejekan, sindiran dan penghinaan, pola ini akan dinormalisasikan.
Fenomena ini membawa kepada apa yang dikenali sebagai cold violence atau keganasan senyap satu konsep dalam sosiologi komunikasi yang merujuk kepada keganasan simbolik.
Ia tidak melibatkan kekerasan fizikal, tetapi berlaku melalui bahasa yang merendahkan, melabel dan meminggirkan secara berulang. Apabila bahasa Melayu digunakan untuk tujuan ini, bahasa tersebut sedang kehilangan nilai moral dan sosialnya sebagai alat penyatuan masyarakat.
Menyambut Tahun Baharu 2026 seharusnya menjadi titik muhasabah nasional terhadap cara kita berbahasa dalam ruang digital. Memartabatkan bahasa Melayu hari ini bukan sekadar soal tatabahasa atau penggunaan istilah baku, tetapi soal integriti, adab dan tanggungjawab sosial.
Seperti yang ditekankan dalam teori etika komunikasi, bahasa yang beradab melahirkan wacana yang adil dan wacana yang adil membina masyarakat yang stabil.
Dalam ekosistem digital yang sarat maklumat dan emosi, bahasa Melayu boleh menjadi sama ada punca kekeliruan atau alat penjernihan.
Cabaran sebenar bukanlah teknologi itu sendiri, tetapi pilihan kita dalam menggunakan bahasa sama ada terus mengejar ketularan, atau kembali kepada tanggungjawab berbahasa demi masa depan masyarakat dan negara.
Pada separuh dasawarsa seterusnya (2026-2030), Malaysia mempunyai ruang yang luas untuk mendinamikkan landskap komunikasi digital melalui bidang teknologi kreatif merangkumi animasi, permainan digital, teknologi imersif dan pembangunan kandungan asli berasaskan harta intelek tempatan.
Hal ini akan dapat menjulang Malaysia sebagai peneraju teknologi digital dengan wajah Malaysiana. Sayangi Bahasa Sayangi Negara! – UTUSAN
PROFESOR Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Felow Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.










