Maklumat perlu sampai lebih pantas ketika dilanda banjir

Maklumat perlu sampai lebih pantas ketika dilanda banjir

PIHAK berkuasa perlu memastikan maklumat disampaikan dengan tepat, pantas dan menyeluruh, manakala rakyat perlu peka, bertanggungjawab dan tidak mengambil mudah setiap mesej yang diterima.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA dijangka berdepan beberapa lagi gelombang hujan lebat sehingga menyebabkan banjir dan pelbagai bencana yang berkaitan berlaku pada bulan-bulan akan datang.

Tempoh kemuncak Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 dijangka antara pertengahan Disember hingga Januari 2026, sekali gus membawa ancaman risiko banjir besar lebih tinggi.

Dalam keadaan genting seperti ini aspek komunikasi strategik dilihat antara faktor penting yang mampu melindungi keselamatan nyawa anggota masyarakat dan mengurangkan pelbagai kerugian dan kemusnahan harta benda.

Dalam konteks ini, amalan komunikasi strategik ketika berlakunya bencana alam seperti banjir perlu melibatkan kerjasama erat antara pihak berkuasa dan seluruh lapisan masyarakat.

Ringkasnya, proses penyampaian serta penyebaran maklumat oleh pihak berkuasa dan proses penerimaan serta pemahaman dalam kalangan rakyat, mestilah berlangsung melalui pendekatan dan teknik yang lancar, jelas dan berkesan.

Ironinya, elemen komunikasi ketika banjir sangat kritikal kerana ada hubungan langsung dengan kehidupan seharian anggota masyarakat. Justeru, semua pihak perlu beri perhatian serius terhadap keperluan dan kepentingan amalan komunikasi yang strategik ketika musim banjir.

Komunikasi strategik bermaksud proses penyampaian maklumat kepada kumpulan sasaran dirancang dengan teliti, menggunakan saluran yang tepat, serta disampaikan pada masa yang sesuai secara cekap dan efisien.

Hal ini penting kerana ketika banjir, setiap minit boleh memberikan impak yang besar terhadap aspek keselamatan diri anggota masyarakat.

Justeru, mesej yang disampaikan pihak berkuasa perlu bukan sahaja benar dan terkini, tetapi juga mudah difahami oleh masyarakat di semua peringkat.

Musim tengkujuh yang sedang melanda beberapa negeri ketika ini mengingatkan kita bahawa pengurusan bencana bukan hanya bergantung pada kekuatan logistik dan kecekapan operasi di lapangan.

Sebaliknya, keberkesanan komunikasi strategik antara pihak berkuasa dan rakyat menjadi penentu utama sejauh mana sesebuah komuniti mampu bertindak balas dengan cepat, tepat dan selamat.

Dalam era maklumat bergerak pantas, komunikasi bukan lagi pelengkap kepada operasi bencana sebaliknya sudah menjadi nadi yang memastikan setiap tindakan dapat diselaraskan dengan teratur.

Pihak berkuasa perlu memastikan komunikasi mereka bergerak seiring dengan situasi sebenar di lapangan.

Maklumat keadaan ramalan cuaca, paras air sungai, status jalan raya dan arahan pemindahan perlu disampaikan dengan segera agar masyarakat tidak terperangkap dengan maklumat bercanggah atau tidak kesampaian.

Dalam konteks ini, platform dan medium hebahan maklumat sangat kritikal. Misalnya, penggunaan media sosial seperti Facebook, X, TikTok dan Instagram perlu digunakan secara optimum kerana sudah menjadi saluran yang paling pantas dan mudah menjangkau rakyat.

Selain itu, platform konvensional lain seperti surat khabar, radio dan televisyen, di samping papan tanda elektronik di lebuh raya boleh dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medium komunikasi alternatif.

Pada masa sama, hebahan maklumat perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah dan tidak terlalu teknikal agar boleh difahami oleh segenap lapisan masyarakat.

Penggunaan bahasa sebegini memudahkan proses penerimaan dan pemahaman mesej oleh rakyat tanpa perlu mentafsir data yang kompleks atau sukar difahami.

Selain itu, pihak berkuasa juga perlu pantas mengawal penularan berita palsu yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan penduduk di sesuatu kawasan.

Harus diingat dalam situasi bencana, rakyat mudah panik atau terpengaruh dengan maklumat palsu. Justeru, pihak berkuasa perlu menyediakan penjelasan segera, mengesahkan fakta dan menafikan khabar angin secara terbuka.

Tindakan pantas menangkis maklumat palsu bukan sahaja mengelakkan kekeliruan, tetapi juga mengawal tindakan rakyat yang boleh membahayakan diri sendiri.

Di samping itu, penyelarasan hebahan maklumat antara agensi juga perlu teratur agar anggota masyarakat tidak menerima arahan yang berbeza atau mengelirukan dari pelbagai agensi yang terlibat.

Kita faham, semua pihak ingin membantu namun penyelarasan komunikasi sangat penting dan perlu dititikberatkan.

Misalnya, apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat Tahap Bahaya, agensi lain perlu segera menyesuaikan pesanan dan memastikan semua saluran komunikasi menggunakan naratif yang sama.

Komunikasi yang selaras mencerminkan kecekapan sistem pengurusan bencana negara.

Dalam hal ini, kita wajar memuji langkah proaktif pihak MetMalaysia yang segera menghebahkan perkembangan terkini keadaan cuaca melalui pelbagai platform komunikasi sekali gus membolehkan rakyat dan agensi berkaitan mengambil tindakan pencegahan yang sewajarnya.

Selain tanggungjawab pihak berkuasa melaksanakan komunikasi yang strategik, anggota masyarakat pula wajar memikul tanggungjawab untuk menerima, menilai dan bertindak secara bijak dan pantas.

Hal ini penting kerana setiap musim banjir, masih terdapat segelintir masyarakat yang mengabaikan arahan berpindah, menunggu sehingga air mencecah paras pinggang sebelum bertindak, atau bertindak merentas jalan yang sudah diberi amaran bahaya.

Ironinya, rakyat perlu lebih peka dan tidak boleh memandang remeh semua maklumat bencana yang dihebahkan oleh pihak berkuasa.

Sedarlah bahawa setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mempunyai asas dan pertimbangan keselamatan. Semakin cepat rakyat bertindak, semakin mudah pasukan penyelamat menjalankan kerja mereka.

Tindakan melengah-lengahkan pemindahan bukan sahaja membahayakan diri dan keluarga, tetapi turut memberi tekanan kepada petugas penyelamat yang terpaksa bekerja dalam keadaan risiko yang tinggi.

Anggota masyarakat juga perlu membudayakan komunikasi dua hala yang strategik. Jika menerima maklumat yang tidak jelas, rakyat wajar bertanya dan mendapatkan respon melalui saluran sah seperti talian hotline bencana atau media sosial rasmi agensi yang berkaitan.

Pada masa yang sama, pemimpin komuniti seperti ketua kampung dan persatuan penduduk perlu memainkan peranan penting menyampaikan maklumat kepada golongan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga berpendapatan rendah yang mungkin tidak aktif di media sosial.

Tuntasnya, ketika bencana alam seperti musim tengkujuh ini, komunikasi strategik bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan yang sangat signifikan.

Pihak berkuasa perlu memastikan maklumat disampaikan dengan tepat, pantas dan menyeluruh, manakala rakyat perlu peka, bertanggungjawab dan tidak mengambil mudah setiap mesej yang diterima.

Bencana alam mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi kesannya boleh diminimumkan apabila komunikasi bergerak secara dua hala dan berkesan. – UTUSAN

NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN