Ke arah membentuk dinamik dua parti di Sabah

Ke arah membentuk dinamik dua parti di Sabah

PILIHAN Raya Negeri Sabah (PRN) ke-17 membuktikan parti tempatan masih menjadi pilihan rakyat negeri itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November lalu berlangsung dengan aman dan lancar.

Keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada sebuah parti pun berjaya mendapat jumlah sebanyak 37 kerusi iaitu bilangan kerusi bagi membentuk majoriti mudah daripada jumlah keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak 73 kerusi.

Dua parti politik yang mendapat bilangan besar iaitu Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) masing-masing 29 dan 25 kerusi.

Daripada keputusan PRN ini, dapat dilihat parti politik dari Semenanjung ditolak pengundi. DAP kalah dalam semua kerusi yang ditandingi. Penolakan parti bukan tempatan mungkin memberikan kesan pada masa hadapan.

Gabungan parti-parti politik mesti dilakukan bagi membentuk majoriti mudah dan memimpin Kerajaan Negeri Sabah. Kedudukan 29:25 lebih mudah dalam pengurusan menuju pembentukan kerajaan negeri berbanding situasi yang berlaku selepas keputusan DUN Sabah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, 2018.

Ketika itu, dua buah parti politik dan parti politik gabungan kerjasama masing-masing mendapat 29:29 iaitu Barisan Nasional (BN) dengan gabungannya dan Warisan serta gabungannya (daripada 60 kerusi keseluruhan pada masa itu). Pun begitu, tidak dapat membentuk kerajaan negeri.

Kerajaan negeri hanya dapat dibentuk apabila Parti Solidariti Tanah Airku (Star) yang mendapat dua kerusi memberi sokongan kepada BN melalui pimpinan Datuk Seri Musa Aman sekali gus mengangkat beliau sebagai Ketua Menteri manakala Presiden Star, Datuk Seri Dr. Jeffery Kitingan sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Ketidakpuasan parti-parti dalaman gabungan BN terhadap keputusan itu menyebabkan berlaku perubahan sokongan parti-parti yang menyokong termasuk Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan beberapa wakil rakyat BN/UMNO sendiri.

Musa hilang majoriti dengan berlakunya peralihan sokongan yang menyebabkan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dilantik Ketua Menteri baharu.

Pengurusan politik dan pentadbiran Sabah selepas PRN ke-17, lebih mudah berbanding PRU ke-14, kerana GRS pimpinan Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor mendapat 29 kerusi (4 kerusi lebih besar daripada Warisan).

Hajiji mendapat sokongan daripada UPKO sebanyak 3 kerusi DUN, anggota wakil rakyat Bebas (5) dan Pakatan harapan (PH) (1).

Jumlah itu sudah cukup melepasi majoriti mudah. Hajiji mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada pukul 3 pagi, 30 November, lalu. Majlis angkat sumpah ini dilakukan dengan kadar yang sangat segera bagi menjamin kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran negeri.

Dalam keadaan Warisan mendapat 25 kerusi, sukar untuk mencabar kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri. Dengan kesediaan pihak BN (sebanyak 6 kerusi DUN) memberi sokongan kepada GRS, maka lebih mudah bagi Hajiji mengukuhkan kedudukan (dengan andaian tidak berlaku perubahan sokongan wakil-wakil rakyat GRS).

Keputusan ini boleh dilihat daripada pelbagai aspek yang mungkin berbeza antara seorang penganalisis dengan seorang penganalisis yang lain. Ada yang melihat meriahnya dan kebebasan memilih pengundi dalam amalan demokrasi apabila terdapat DUN bertanding dengan 14 penjuru.

Saya tidak melihat daripada sudut ini, tetapi lebih fokus kepada keputusan pengundi terhadap GRS dan Warisan. Ini adalah keputusan secara bandingannya bijak dalam keadaan bilangan calon yang begitu ramai (iaitu 596 calon bertanding).

Saya melihat ini adalah proses awal kepada pembentukan sistem dua parti dalam politik negeri Sabah. Sistem dua parti adalah lambang kemajuan dalam politik demokrasi.

SISTEM DUA PARTI

Kita berharap GRS dan Warisan sebagai parti utama dalam sistem dua parti akan terbentuk dalam pilihan raya akan datang.

Dua parti sistem ini adalah model percaturan politik negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

AS hanya mempunyai dua parti iaitu Parti Demokrat dan Republikan. Begitu juga dengan UK yang mempunyai Parti Buruh dan Parti Konservatif.

Para pengundi hanya memilih dua parti utama sahaja dalam pilihan raya.

Kedua-dua pihak akan melalui proses pemilihan serta semak dan imbang yang jelas. Kedua-dua belah pihak akan menguruskan pencapaian perjalanan parti dengan lebih baik bagi menarik sokongan pengundi.

Jadi dalam konteks Sabah, boleh menuju sistem dua parti iaitu hanya GRS dan Warisan menjadi pilihan pengundi. Sementara parti-parti kecil akan memberi sokongan, bergabung dan diserap dalam dua buah parti utama ini.

Konsep ini ditentukan oleh falsafah parti politik, matlamat perjuangan dan keputusan pimpinan masing-masing. Jika ini berlaku, ia akan memberi banyak kesan positif kepada pengurusan politik, kecekapan dan negeri secara amnya.

Bahkan, kecelaruan politik dapat diminimumkan dan membuka ruang lebih baik kepada kecekapan dalam membuat keputusan sama ada kepada pemimpin politik dan pengundi.

Kedua-dua buah parti politik dalam sistem dua parti ini akan menyemak dan memperbaiki kelemahan bagi mendapat sokongan para pengundi.

Bagi pihak pengundi pula, konsep ini lebih jelas dan senang bagi mereka untuk membuat keputusan.

Jika parti tidak melakukan sesuatu yang baik seperti yang dijanjikan dalam manifesto atau logik umum yang rasional, mereka tidak akan ditolak dalam pilihan raya manakala persaingan sihat berlaku antara dua buah parti politik itu. Persaingan ini akan menambah baik kedua-dua belah pihak.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felo Penyelidik Kanan, Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN