APABILA seorang pegawai tertinggi sistem ketenteraan Israel sendiri, Mejar Jeneral Yifat Tomer-Yerushalmi meletakkan jawatan setelah beliau mendedahkan video bukti insiden rogol beramai-ramai terhadap seorang tahanan Palestin di kemudahan penahanan Sde Teiman, ia bukan sekadar berita geopolitik biasa. Ini bukan lagi isu ‘konflik dalaman Israel.’ Ini adalah isyarat universal kepada seluruh masyarakat dunia tentang apa yang sedang berlaku pada moral manusia hari ini. Ia membawa mesej besar, keadilan tidak boleh dipaksa diam, walaupun seluruh mesin kuasa negara cuba menutupnya.
Peletakan jawatannya bukan sekadar langkah administratif. Itu adalah satu bentuk perlawanan moral. Di tengah sistem yang cuba menutup jenayah, beliau memilih untuk mempertahankan prinsip. Dan di situlah pelajaran besar untuk masyarakat global. Bila kebenaran dijumpai di tempat paling kotor, paling zalim, paling menindas, manusia masih boleh memilih untuk berpihak kepada keadilan. Dia bukan Palestin. Dia bukan aktivis pro Palestin. Dia bukan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia antarabangsa.Tetapi dia bergerak kerana prinsip manusiawi!
Itu sendiri sudah cukup untuk memberi tamparan moral kepada seluruh dunia, Siapa yang sebenarnya masih ada hati dan siapa yang sudah hilang kemanusiaan?
Undang-undang alat kuasa politik
Selama ini dunia selalu bercakap tentang demokrasi, hak asasi, kebebasan, maruah, akauntabiliti tetapi realitinya, bila melibatkan Palestin, tiba-tiba semua nilai yang mereka bangga-banggakan itu boleh hilang begitu sahaja. Bila video rogol tahanan Palestin itu didedahkan, dia bukan sekadar membongkar satu insiden hitam. Ia membuka pintu bahawa sistem ketenteraan Israel itu sendiri sedang reput dari dalam, bukan kerana musuh luar, tetapi kerana kejahatan yang mereka sendiri cipta.
Ini bukan kes terpencil. Ini bukan kali pertama. Tetapi kali ini ia bocor terus dari tangan orang dalam. Jadi naratif propaganda ‘itu fitnah,’ ‘itu rekaan,’ ‘itu disensasikan untuk memburukkan Israel,’ runtuh sekelip mata. Zaman di mana kebenaran boleh dibunuh, ketika ada manusia yang berani melawan. Inilah isu global terbesar hari ini.
Kita hidup dalam era di mana bukan fakta menentukan realiti, tetapi siapa yang paling kuat mengawal naratif. Bila kerajaan, media besar, institut propaganda, pelobi Zionis cuba kawal persepsi dunia, mereka percaya mereka boleh ‘pilih kebenaran yang mana dunia patut lihat.’ Tapi tindakan seorang individu ini menunjukkan satu hal, kebenaran itu boleh datang dari mana sahaja, walaupun dari pihak yang dunia anggap pelaku kezaliman.
Inilah pendidikan masyarakat global yang kita kena sedar, jangan pernah normalisasikan kejahatan hanya kerana pelakunya itu negara kuasa besar. Kalau rogol, seksaan, pembunuhan, penindasan itu berlaku di Afrika, dunia cepat gelar itu zalim. Kalau berlaku di negara Islam tertentu, dunia cepat gelar itu ‘ekstremisme.’
Tetapi bila berlaku pada Palestin di tangan Israel, dunia menjadi bisu. Bisu yang disengajakan. Bisu yang selektif. Bisu yang diprogramkan oleh syaitan politik global. Pendidikan masyarakat bukan lagi teori moral, ia jadi survival moral manusia.
Hari ini manusia belajar sesuatu yang pedih: Pendidikan masyarakat global hari ini bukan sekadar beritahu ‘apa itu empati,’ ‘apa itu kemanusiaan,’ ‘apa itu adab bernegara.’
Hari ini dunia sedang belajar untuk membezakan antara:
• Keadilan yang tulen lawan keadilan yang dikawal oleh pelobi politik
• Bukti yang benar lawan bukti yang dipilih media mana boleh tayang, mana yang tidak
• Suara hati lawan suara yang dibeli
Masyarakat dunia kena mula sedar, kalau kita tidak ajar anak generasi baharu untuk mempertahankan kebenaran berdasarkan akal, nurani, prinsip, suatu hari kita akan hidup dalam dunia di mana kejahatan dianggap normal, penindasan dianggap logik dan jenayah dianggap strategi survival negara.
Tomer-Yerushalmi bukan hero Palestin. Tetapi tindakan dia adalah cerminan moral yang dunia perlu tengok. Dia tidak mampu hentikan perang. Tetapi dia tunjuk satu benda besar iaitu kebenaran tetap ada harga untuk dipertahankan!
Dunia mesti belajar, jangan sembunyikan penderitaan Palestin dalam ruang propaganda. Ketika video ini bocor dan menjadi bukti keras, dunia tidak boleh lagi pura-pura tidak nampak. Kita tidak boleh lagi kekalkan mentaliti ‘itu politik Timur Tengah.’ Itu bukan politik. Itu jenayah. Itu rogol. Itu penyalahgunaan kuasa. Itu kezaliman negara terhadap manusia yang tidak mampu mempertahankan diri.
Kalau dunia pilih untuk biarkan perkara ini berlaku tanpa tindakan, itu bukan lagi isu Israel semata-mata. Itu adalah tanda dunia sudah gagal mempertahankan nilai asas manusiawi.
Suara masyarakat global mesti bangkit
Pendidikan masyarakat hari ini bukan lagi membaca buku moral. Pendidikan masyarakat hari ini ialah keberanian untuk membentuk kesedaran kolektif, suara global yang tidak tunduk pada propaganda.
Masyarakat global, umat manusia, tidak boleh biarkan kejahatan menjadi ‘standard normal’ hanya kerana kuasa Zionis itu kuat dan besar.
Kes ini membuka mata dunia bahawa ada orang dalam sistem pun sudah mula muak dengan permainan politik, ada individu yang pilih integriti lebih besar dari jawatan, ada manusia yang melihat kebenaran lebih tinggi dari nasionalisme palsu. Dan itu satu kemenangan kecil, tetapi sangat besar maknanya kepada masa depan moral dunia.
Dunia mesti bangkit, bukan dengan benci semata, tetapi dengan ilmu, kesedaran dan keberanian mengkritik penguasa. Masyarakat dunia perlu marah. Manusia perlu kecam dan kita semua perlu dedahkan kejahatan Israel tanpa filter! Tetapi kemarahan tanpa ilmu hanya melahirkan noise, bukan kesan.
Inilah masa masyarakat dunia belajar menjadi lebih matang, lebih berfikir, lebih celik propaganda dan tidak mudah dijinakkan dengan naratif media yang dikawal. Kita mesti bangkit sebagai masyarakat global yang berani bersuara, berani melindungi pemberi maklumat, berani mempertahankan mangsa walaupun bukan bangsa kita dan berani lawan naratif. Kerana keadilan bukan milik bangsa tertentu. Keadilan bukan milik agama tertentu. Keadilan bukan milik negara tertentu. Keadilan adalah hak asasi universal seluruh manusia.
Bila seorang peguam tentera Israel sendiri sanggup meletakkan jawatan demi mempertahankan kebenaran yang dia lihat sendiri itu sudah cukup untuk seluruh dunia mula bertanya;
“Kalau musuh pun berani pertahankan kejujuran, apa alasan kita untuk diam?” – UTUSAN
ATRIZA Umar ialah calon Ijazah Kedoktoran Kepimpinan Wanita.










