Perkara yang tidak boleh kita sangkal, hospital kerajaan tetap menjadi pilihan utama sebahagian besar rakyat di negara ini. Bayi, kanak-kanak, orang muda dan warga emas terutamanya pesara menjadikan hospital kerajaan sebagai ‘rumah sakit wajib’ untuk golongan ini mendapatkan rawatan tidak kira penyakit biasa atau kronik.
Biarpun sering dikata ‘lembab’, disidainya lama-lama pesakit dan kakitangannya tidak mesra pesakit, dalam keadaan ‘serabut perut’ ini meminjam kata orang Utara, hospital kerajaan tetap penuh sepanjang masa.
Apa pilihan yang rakyat ada? Apabila hospital swasta yang dikatakan lebih efisien pula, menawarkan perkhidmatan dengan caj yang tinggi. Harga cekik darah. Insurans perubatan pun kian meningkat. J
adi, rakyat marhaen ini, mahu atau tidak terpaksa pergi ke hospital kerajaan. Pun begitu, tidak dapat disangkal juga hospital kerajaan mempunyai doktor-doktor pakar yang ‘handal’ belaka. Kalau ada rawatan yang tidak boleh ditangani oleh hospital swasta, selalunya pesakit akhirnya pergi ke hospital kerajaan.
Tetapi itu tidak bermakna, hospital kerajaan perlu bertahun-tahun ‘statik’ begitu. Membiarkan pesakit disidai lama, menunggu berminggu-minggu hanya untuk mengetahui keputusan darah, menunggu berbulan-bulan malah bertahun untuk melakukan pembedahan penting dengan alasan doktor tidak ramai dan begitu juga kakitangan yang lain.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, seramai 259 pegawai perubatan dan 95 jururawat meletak jawatan semasa berkhidmat di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) di Sarawak dalam tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024.
Katanya, KKM menyedari kadar kekosongan di Sarawak khususnya pegawai perubatan lebih tinggi berbanding negeri lain disebabkan cabaran penempatan di luar bandar.
Selain pegawai perubatan, kekurangan jururawat turut dihadapi di hampir semua hospital KKM di seluruh negara berikutan jumlah keluaran pelatih yang masih rendah daripada Institut Latihan KKM dan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara, kata Dzulkefly dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Sebelum itu, pada Ogos lalu, beliau berkata, seramai 705 pegawai perubatan dan 1,394 jururawat berpengalaman meletak jawatan dalam tempoh tiga tahun lalu. Jumlah itu, membabitkan yang berkhidmat lebih lima tahun di hospital dan fasiliti kesihatan awam dari 2022 hingga 2024.
“Antara alasan utama peletakan jawatan adalah keinginan berkhidmat di sektor swasta selain faktor peribadi dan masalah kesihatan,” terangnya.
Seorang doktor pakar kanak-kanak, Dr. Zaidi Zakaria dari Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang memberitahu saya, pada 2016 berlaku lambakan doktor berbanding jumlah perjawatan sedia ada di hospital kerajaan.
“Kerana tepunya perjawatan itu, pada tahun itu juga doktor kontrak diperkenalkan. Amalan sebelum itu, tamat saja HO (housemanship), doktor ini secara automatik diserap ke perjawatan tetap sebagai pegawai perubatan (MO),” jelasnya.
Doktor kontrak, katanya, tidak sama dengan doktor tetap di mana gred gaji hakiki tidak sama, banyak kemudahan MO tidak dapat dinikmati oleh doktor kontrak, antaranya mereka tidak boleh sambung belajar kepakaran sarjana perubatan.
Pada 2020, kerajaan mengumumkan untuk menghapuskan elaun kritikal bagi perjawatan baru termasuk doktor kontrak.
“Ketika pandemik Covid-19, 2021 hingga 2022, protes doktor-doktor muda semakin kuat dan meluas kerana kebajikan mereka tidak dijaga. Beban tugas meningkat berkali ganda. Ramai mula meletak jawatan. Bagi yang komited untuk belajar, rasa terhalang dan rasa tiada masa depan untuk terus bersama KKM.
“Pada masa sama, ramai doktor tetap dan kontrak diarahkan ke Sabah dan Sarawak tetapi mereka berpandangan dengan masalah kronik begini amat tidak berbaloi ke sana dan memilih meletakkan jawatan,” katanya.
Ekoran itu, doktor yang masih di KKM terpaksa bekerja lebih masa berkali ganda walaupun asalnya tidak terlintas untuk meletakkan jawatan tetapi disebabkan bebanan tugas yang teruk mereka terpaksa letak jawatan dan kitaran itu berterusan sehingga kini.
“Sebab itu, saya cadangkan semua MO yang baru tamat HO, automatik diserap ke jawatan tetap seperti sebelum 2016. Yang sekarang ini, boleh membunuh semangat anak muda meneruskan kerjaya sebagai doktor,” katanya.
Tambah Dr. Zaidi, analogi doktor KKM adalah seperti satu pasukan bola bertaraf Manchester United, bermain 10 orang yang diharap menang 3-0 melawan Arsenal!
Saya diberitahu, doktor KKM ramai yang tidak tidur beberapa hari untuk merawat pesakit. Mereka tiada masa untuk diri sendiri apatah lagi keluarga. Doktor juga manusia.
Sementara itu, bercakap pasal kekurangan jururawat pula, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Kejururawatan, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Nordianna Seman berkata, isu kekurangan individu yang mendaftar kursus kejururawatan tidak sepenuhnya tepat.
Katanya, ramai lepasan sekolah kini berminat dengan bidang kejururawatan kerana profesion jururawat menjanjikan peluang pekerjaan stabil di dalam dan luar negara. Bahkan sebahagian mereka sanggup mengikuti kursus atau program kejururawatan di institusi swasta apabila tidak diterima masuk ke institusi latihan KKM mahupun universiti awam yang menawarkan program ini.
“Tapi tidak lama dulu, KKM sendiri mengehadkan pengambilan pelatih jururawat dan lantikan jururawat ke dalam perkhidmatan. Keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan unjuran bilangan jururawat pada masa kini dan akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, gaji jururawat di hospital kerajaan yang rendah tidak setimpal dengan beban kerja tinggi, terutama apabila terpaksa menguruskan jumlah pesakit yang banyak dengan kakitangan terhad.
Waktu kerja panjang dengan jadual padat dan lebih masa memberi kesan kepada kesejahteraan fizikal dan mental dengan kurangnya masa rehat dan kehidupan keluarga. Isu terkini berkaitan jumlah jam bekerja, 48 jam seminggu menambah kekecewaan sedia ada.
“Kerajaan perlu mempertimbangkan gaji lebih kompetitif untuk jururawat dengan menetapkan gaji permulaan dan kenaikan gaji yang lebih menarik, selaras dengan tanggungjawab dan risiko pekerjaan. Insentif tambahan juga wajar diberikan kepada jururawat di pedalaman. Selain itu, elaun khusus seperti elaun kepakaran perlu ditingkatkan bagi menghargai kepakaran jururawat,” katanya.
Menurutnya, laluan kerjaya jururawat di hospital kerajaan masih kurang jelas dan terhad terutamanya di lapangan klinikal. Jururawat yang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana atau profesional sering tidak ditawarkan kenaikan pangkat secara automatik, walaupun ada kelayakan akademik.
“Selain itu, jawatan di peringkat pengurusan dan profesional juga sangat terhad, menyebabkan jururawat yang berkelayakan sukar melihat hala tuju kerjaya mereka,” jelas Nordianna.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 4,500 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada tahun hadapan. Bagi jururawat pula, 833 jururawat kontrak ditawarkan lantikan tetap tahun ini, manakala 935 graduan Institut Latihan KKM akan turut diserap ke jawatan tetap pada 2026.
Adakah ini akan mengakhiri kemelut kekurangan doktor dan jururawat di hospital kerajaan? Dan kita semua akan tidak disidai lama lagi, melekat di kerusi tempat menunggu?
Sepatutnya, hospital kerajaan memberikan perkhidmatan lebih baik daripada swasta kerana ia adalah ‘hospital harapan’ hampir semua rakyat di negara ini.
Jangan kerana sistem yang ‘serabut perut’ ini, mengakibatkan kita hilang doktor-doktor pakar yang muda kerana berhijrah ke negara lain, manakala yang memenuhi perjawatan doktor atau jururawat di sini nanti datangnya dari India, Pakistan atau Myanmar!
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia









