Kesihatan tidak sepatutnya bergantung pada dompet

Kesihatan tidak sepatutnya bergantung pada dompet

kesihatan
KEMENTERIAN KESIHATAN MAIALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAK ironis bahawa skim Rakan KKM Kementerian Kesihatan akan dilancarkan di Hospital Cyberjaya pada Disember — bulan yang sama dunia memperingati Hari Liputan Kesihatan Sejagat (Universal Health Coverage Day).

Rakan KKM melemahkan prinsip akses sejagat, bukannya mempromosikan kesaksamaan. Ia menawarkan semacam “ekonomi premium” dalam perkhidmatan kesihatan bagi mereka yang mampu. Ini bercanggah dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) yang menjadi ikrar Malaysia sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Menurut PBB, sistem kesihatan mesti berfungsi untuk semua, tanpa menghirau pendapatan.

Namun Rakan KKM kelihatan mewujudkan laluan yang lebih baik bagi pesakit berkemampuan dengan menggunakan pakar dan fasiliti awam yang mana pesakit lain perlu menunggu berbulan-bulan untuk mengaksesnya.

Pelanggan Rakan KKM dijanjikan penjagaan peribadi, pilihan pakar, privasi lebih baik dan temujanji lebih cepat. Tetapi bagi mereka yang tidak mampu membayar, adakah masa menunggu akan menjadi lebih panjang?

Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa Rakan KKM hanya melibatkan prosedur elektif dan tidak akan menjejaskan kes kecemasan. Ia digambarkan sebagai situasi “menang-menang” untuk mengekalkan pakar di hospital awam dan memperluaskan pilihan pesakit dengan yuran yang lebih rendah berbanding hospital swasta. Namun “pilihan” ini jelas sekali bukan untuk semua.

Tambahan pula, pihak kementerian masih belum menangani kebimbangan utama: potensi konflik kepentingan.

Sesetengah pakar yang mungkin mendapat manfaat daripada Rakan KKM juga mengetuai unit kritikal di hospital awam. Jika mereka turut menyertai skim ini, mampukah mereka mengutamakan pesakit awam?

Dan walaupun skim ini dikatakan beroperasi selepas waktu pejabat, mampukah pakar yang sudah terbeban di hospital awam yang kekurangan kakitangan mengekalkan mutu perkhidmatan di situ?

Rakan KKM juga mewujudkan insentif terbalik. Jika unit-unit ini berfungsi dengan baik, pesakit tidak akan mencari jalan pintas.

Sebaliknya, skim ini berisiko memperdalamkan kelemahan yang sedia ada sambil membiasakan akses berdasarkan kekayaan.

Terdapat banyak lagi aspek mengelirukan tentang skim ini, meskipun maklumat yang dilaporkan media amat terhad, seperti yang dibangkitkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia.

Bak kata pepatah Inggeris, “the devil is in the details” (secara kasarnya, masalahnya tersembunyi dalam butiran)—butiran maklumat yang merupakan hak rakyat untuk disemak.

Rakyat Malaysia berhak mendapat ketelusan penuh. Menjelang Hari Liputan Kesihatan Sejagat pada 12 Disember, kami menggesa orang ramai untuk memastikan pihak kementerian bertanggungjawab dan menuntut sebuah sistem yang melayani semua orang secara sama rata.

Sertailah Parti Sosialis Malaysia dalam menyeru untuk pembatalan Rakan KKM, pembekuan hospital swasta baharu selama 5 tahun, peruntukan 5% Keluaran Dalam Negara Kasar untuk kesihatan, serta pengawalseliaan lebih kukuh terhadap caj hospital swasta.

Jawatankuasa Kempen Selamatkan Kesihatan Negara
Parti Sosialis Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN