Kenapa masih cabar bahasa kebangsaan? - Utusan Malaysia

Kenapa masih cabar bahasa kebangsaan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah hampir enam dasawarsa bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara. Dalam tempoh itu, bahasa Melayu sudah melalui zaman demi zamannya dan bercambah serta berakar umbi di setiap kementerian, jabatan dan merentas pelbagai agensi awam dan swasta.

Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini meskipun sudah dipancang talinya oleh badan paling berwibawa – Parlimen Malaysia, namun kerap kali juga bahasa Melayu ini disinggung-singgung. Dari zaman prakemerdekaan; pascakemerdekaan; dan hingga ke titik ini, bahasa Melayu ada liku dan cabarannya.

Namun, hal itu tidaklah melemahkan bahasa Melayu kerana diakui bahawa bahasa Melayu sentiasa beradaptasi seiring dengan zamannya tanpa ada prejudis kerana asasnya tidak sesekali akan

berubah, bahasa Melayu bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Penetapan ini seharusnya mudah untuk difahami bahawa bahasa Melayu hendaklah digunakan dalam urusan rasmi. Surat edaran terbaharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, iaitu Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam menegaskan keperluan untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi perkhidmatan awam.

Selaras dengan keperluan tersebut, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam turut diperkenalkan.

Surat edaran tersebut juga menegaskan bahawa bahasa Melayu hendaklah diberi keutamaan dan digunakan secara menyeluruh dari aspek nama, tema, tajuk, latar belakang, isi kandungan dan apa-apa maklumat yang berkaitan dengan urusan rasmi perkhidmatan awam.

Selain itu, penamaan bangunan dan jalan dalam bahasa Melayu juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk identiti tempat awam.

Nama seperti “Menara Ilmu”, “Kompleks Warisan”, “Jalan Tun Abdul Razak” dan “Dataran Merdeka” bukan sahaja memberikan makna kepada lokasi tersebut, tetapi juga mengabadikan tokoh, nilai dan peristiwa penting dalam sejarah negara.

Penggunaan istilah Melayu seperti “Medan”, “Laman”, “Lorong”, “Kompleks” dan “Balai” boleh sahaja menggantikan istilah asing seperti “Square”, “Boulevard” atau “Hall”,

Dalam hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memainkan peranan penting dalam memberikan panduan dan kelulusan terhadap penamaan bangunan, jalan dan taman. DBP turut melaksanakan kerjasama strategik dengan Jabatan Kerajaan Tempatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengesahan bahasa dalam iklan, penamaan dan paparan awam melalui sistem DBP Sah Bahasa diwajibkan kepada penggiat iklan dan agensi yang berkaitan. Dari 1 Januari 2025 hingga 4 November 2025, sebanyak 2,229 penamaan telah diproses melalui sistem DBP Sah Bahasa.

DBP tidak sembrono dalam menentukan nama tempat dan jalan. Entiti geografi merupakan khazanah warisan dan sebahagian daripada kedaulatan negara yang menjadi rujukan utama.
Lantaran itu, Garis Panduan Penentuan Nama Geografi Malaysia Edisi Ketiga (2025) yang diterbitkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dijadikan sebagai panduan kepada semua pihak yang terlibat bagi tujuan penambahbaikan dan penyeragaman nama-nama geografi di Malaysia seperti gunung, sungai, pulau, beting, bandar dan jalan raya. Prinsip Keempat dalam Garis Panduan ini menekankan peri pentingnya penggunaan bahasa kebangsaan dalam menamai tempat dan menggunakan bahasa standard yang ditentukan oleh DBP.

Sementara itu, paparan awam seperti papan tanda, iklan, maklumat perkhidmatan dan arahan keselamatan juga perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Hal ini termasuklah papan tanda jalan, papan maklumat di hospital, sekolah, stesen pengangkutan awam, serta premis perniagaan dan bangunan kerajaan.

Merekayasa penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran bukan sahaja memudahkan rakyat untuk memahami dasar dan perkhidmatan kerajaan, tetapi juga memperkukuh kedudukan bahasa ini sebagai wahana komunikasi supaya sistem penyampaian kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Maka itu, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan dalam usaha memastikan penggunaan bahasa yang baik dan betul dalam pentadbiran kerajaan. Program Audit Bahasa Melayu di kementerian, kerajaan negeri, jabatan Persekutuan/badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan telah dilaksanakan sejak 2013.

Sehingga kini sebanyak 159 kementerian dan pelbagai agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan telah diaudit bagi meneliti tahap penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

Oleh itu, apabila bahasa Melayu masih dicabar atas alasan bahasa kebangsaan ini kurang nilai ekonomi dan populariti, hal itu perlu segera difahami semula pada asas dan akarnya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang sudah kita semai dan jaga sejak sekian lama agar kita akur ke mana condong, ke mana rebah.

Hakikatnya, dalam kita mengejar kemajuan dan memastikan pemerkasaan agenda nasional tercapai, bahasa Melayu tidak seharusnya menjadi tembok penghalang sehingga menggugat keharmonian dan perpaduan.

Hal ini demikian kerana, hingga kini belum ada bukti ampuh yang menyatakan bahawa penamaan bangunan atau jalan dalam bahasa kebangsaan mengakibatkan kerugian dan tidak ada juga kajian yang menunjukkan bahawa bahasa asing menjadi satu-satunya tarikan utama untuk pelancong memilih negara ini.

Lihatlah kebanyakan negara maju, hatta negara jiran sekalipun, mereka tidak pernah menjadikan bahasa mereka sebagai halangan untuk menguasai ekonomi, malah mereka berjaya menjadi gergasi dunia.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Bahasa jiwa bangsa!

PENULIS ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN