ASEAN sebagai blok kesatuan geo-ekonomi dan geo-politik kuasa global - Utusan Malaysia

ASEAN sebagai blok kesatuan geo-ekonomi dan geo-politik kuasa global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DULU Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pernah dilabel sebagai potential threat. Pernah satu ketika dulu, ramalan berkait Teori Kestabilan Hegemoni akan memperlihatkan penubuhan ASEAN akan berpecah-belah, rapuh dan porak-peranda.

Lebih memburukkan keadaan, pemerhati geo-politik dan geo-ekonomi pada 1960-an sehingga 1980-an membayangkan ASEAN yang dilihat ingin bangkit sebagai kuasa dunia dominan atau hegemoni untuk menguasai peraturan dan urusan secara mutlak dari arah Timur dan Barat, telah jauh meleset sama sekali.

Terbukti sudah keberadaan hampir 60 tahun ini, ASEAN telah mengungguli masa kini dan masa depan mengikut acuan tersendiri!

Kekuatan roh Deklarasi Bangkok pada Ogos 1967 yang menzahirkan keadaan dunia semakin saling bergantung, ideal bagi keamanan, kebebasan, keadilan sosial dan kesejahteraan ekonomi yang begitu diidam-idamkan, akan hanya dapat dicapai melalui persefahaman lebih erat, kejiranan yang baik dan kerjasama secara bermakna dalam kalangan negara di rantau ASEAN, diterjemahkan secara terpuji menerusi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 Kuala Lumpur baru-baru ini.

Soalnya, sekarang sejauh manakah Sidang Kemuncak ASEAN 2025 akan memberi impak besar kepada masyarakat ASEAN itu sendiri, serantau serta dunia?

Pakar dan pemerhati geo-ekonomi dan geo-politik pada era teknologi siber dan kecerdasan buatan (AI) sekali lagi meramalkan adakah ASEAN kali ini benar-benar mampu berfikir sebagai blok kesatuan berjiwa besar, berani berubah, sanggup berisiko dan mengungguli sebagai serantau ekonomi utuh, keselamatan stabil dan blok perdagangan utama global yang meletakkan satu visi yang bercita-cita tinggi dan merangkumi pelbagai dimensi integrasi serantau?

Soalnya sekarang ASEAN harus perlu dilihat bergerak sebagai “Blok Kesatuan Berjiwa Besar” – Ini bermaksud ASEAN perlu bergerak melangkaui kepentingan nasional sempit dan bertindak dengan suara yang bersatu dan koheren di arena global.

Dalam hal ini, integrasi politik dan keselamatan hendaklah menuntut penyelarasan strategi politik dan keselamatan lebih erat, seperti yang ditekankan oleh pemimpin ASEAN. Ini termasuk mencapai konsensus mengenai isu-isu serantau yang sensitif dan bertindak secara kolektif. Kejayaan pemeteraian perjanjian damai Kuala Lumpur (KL Accord) antara Kemboja dan Thailand adalah pemulanya.

Dan sudah tentu mengekalkan keneutralan strategik menuntut “Jiwa Besar” membolehkan ASEAN mengekalkan pendirian berkecuali (strategic neutrality atau hedging) dalam persaingan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China. Walaupun berdagang dengan semua pihak, ASEAN perlu memastikan dasarnya adil dan melindungi kepentingan ekonomi dan geopolitik blok itu sendiri.

Sebab itu, keberanian berubah dan sanggup berisiko menjadikan paksi kepengerusian Malaysia yang hebat dipertanggungjawabkan, di mana cabaran global yang dinamik, seperti ketegangan geopolitik, pemecahan ekonomi dan kepesatan teknologi, memerlukan ASEAN untuk mengambil langkah-langkah transformatif.

Pembaharuan struktur ekonomi sebagai contohnya, kepengerusian Malaysia telah menunjukkan keberanian melakukan perubahan ke arah integrasi ekonomi lebih mendalam, seperti melalui pelaksanaan penuh Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan pemudahan perdagangan rentas sempadan secara menyeluruh (contohnya, memuktamadkan perjanjian seperti Protokol Kedua Pindaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN – ATIGA).

Penerokaan Sektor Baharu, satu lagi elemen yang memberi impak besar ASEAN masa kini dan masa depan di mana soal melabur dan berisiko dalam sektor pertumbuhan baharu seperti ekonomi digital, kewangan digital, tenaga hijau (ESG) dan rantaian bekalan berdaya tahan.

Sudah tiba masanya ASEAN mengungguli sebagai serantau ekonomi yang utuh. ASEAN kini merupakan blok ekonomi kelima terbesar dunia dan berada di landasan untuk menjadi yang keempat terbesar menjelang 2030. Untuk mengungguli, integrasi perlu dipergiatkan.

Pasaran tunggal dan peningkatan perdagangan Intra-ASEAN harus lebih ke arah matlamat pasaran tunggal lebih cekap melalui pengukuhan integrasi ekonomi dan penghapusan halangan bukan tarif, di samping pencapaian ekonomi ASEAN terus diperkasakan termasuk penambahbaikan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Setidak-tidaknya meletakkan ASEAN di tengah-tengah blok perdagangan terbesar dunia, menjadikannya ‘pintu masuk’ strategik untuk pelabur global.

Dalam pada itu, keamanan dan ketelusan yang stabil, ini adalah pillar utama dalam konteks penubuhan ASEAN. Mengekalkan keamanan di Asia Tenggara adalah penting. Dunia perniagaan dan pelabur menuntut kestabilan dan ketelusan. Tanpa keamanan, perdagangan dan pelaburan tidak dapat berkembang secara mampan.

Untuk mencapai status ini, ASEAN perlu meningkatkan pengaruhnya dalam membentuk norma dan aturan perdagangan antarabangsa. Suara yang kuat dalam forum global, menerusi pendekatan pragmatik serta memperkukuh kerjasama luar dengan rakan kongsi utama seperti China (melalui ACFTA 3.0 yang dipertingkatkan), AS, Kesatuan Eropah dan lain-lain, sambil memastikan syarat kerjasama menguntungkan ASEAN secara kolektif seperti mana yang dicapai menerusi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur.

Soalnya sekarang, ASEAN harus bersedia menampakkan diri sebagai ekonomi kuasa global sederhana berwibawa, walaupun bukan kuasa besar (superpower), tetapi mempunyai kekuatan ekonomi stabil, berdaya tahan dan berupaya memberi pengaruh positif serta dihormati di arena antarabangsa.

Kewibawaan dalam konteks ekonomi menunjukkan keupayaan negara menguruskan sumbernya secara cekap, mencapai kestabilan dan memainkan peranan penting dalam perdagangan dan diplomasi global. Soalnya sekarang, adakah Dasar ASEAN mempunyai empati dan mengambil kira ‘kisah sebenar’ rakyat?

Penulis ialah Ketua Perunding di Pusat Penyelidikan Strategik dan berpengalaman dalam hal ehwal sosio-ekonomi, komunikasi strategik dan keparlimenan selama 30 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN