Salah tafsir perkataan terkhilaf dalam keputusan mahkamah

Salah tafsir perkataan terkhilaf dalam keputusan mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKEMBANGAN kes membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini sekali lagi membuka ruang perdebatan awam mengenai integriti sistem kehakiman negara. Keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu yang membebaskan beliau daripada sabitan Mahkamah Tinggi menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat, khususnya di media sosial. Ada yang menyambutnya sebagai kemenangan keadilan, namun tidak kurang juga yang mempersoalkan integriti mahkamah apabila timbul isu “terkhilaf” yang digunakan pihak pendakwaan dalam alasan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam konteks ini, MCW melihat wujudnya keperluan untuk menjelaskan semula asas-asas penting dalam sistem perundangan dan kehakiman negara. Kefahaman yang jelas bukan sahaja dapat mendidik masyarakat awam, tetapi juga mengelakkan salah tafsir yang boleh merosakkan keyakinan terhadap institusi keadilan.

Sistem Kehakiman: Ditadbir Manusia, Bukan Malaikat
Pertama sekali, harus difahami bahawa sistem kehakiman adalah satu proses manusiawi. Hakim, walaupun dilatih dengan kepakaran undang-undang yang tinggi, tetap seorang manusia yang menilai berdasarkan fakta, bukti dan hujahan di hadapannya. Sebarang kesilapan bukanlah tanda sistem runtuh, sebaliknya bukti bahawa undang-undang memberi ruang untuk pembetulan.

Dalam kes jenayah, prinsip asas ialah “tiada seorang pun bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya” (presumption of innocence). Tugas pendakwaan adalah membuktikan kes tanpa sebarang keraguan munasabah. Tugas hakim pula ialah menilai semua bukti dan membuat keputusan. Sekiranya terdapat keraguan atau kelemahan, mahkamah mempunyai tanggungjawab untuk membebaskan tertuduh.

Hak Untuk Merayu: Mekanisme Semak dan Imbang
Masyarakat perlu memahami bahawa setiap keputusan mahkamah boleh dirayu ke mahkamah yang lebih tinggi.

Keputusan Mahkamah Majistret dan Sesyen boleh dirayu ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan Mahkamah Tinggi boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan.

Keputusan Mahkamah Rayuan pula boleh dirayu ke Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi negara.

Mekanisme rayuan ini adalah sebahagian daripada integriti sistem kehakiman itu sendiri. Ia membolehkan sebarang keputusan yang mungkin silap, terkhilaf atau membawa kepada miscarriage of justice diperbetulkan. Inilah yang berlaku dalam kes Syed Saddiq. Pendakwaan menggunakan hak mereka untuk mengemukakan rayuan, dengan menyenaraikan 28 alasan mengapa mereka percaya keputusan Mahkamah Rayuan perlu disemak semula oleh Mahkamah Persekutuan.

“Terkhilaf” Tidak Bererti Rosak
Perkataan terkhilaf membawa maksud terdapat kesilapan dari segi undang-undang atau fakta. Dalam amalan undang-undang, ia adalah bahasa teknikal yang lumrah digunakan dalam dokumen rayuan. Namun malangnya, sebahagian netizen mentafsirnya sebagai tanda sistem kehakiman tidak berintegriti atau hakim bersikap cuai.

Ini adalah persepsi yang tidak tepat. Kesilapan dalam menilai bukti atau mentafsir undang-undang tidak semestinya bermakna seseorang hakim tidak berintegriti. Integriti berkait dengan kejujuran, kebebasan daripada rasuah, dan ketelusan dalam membuat keputusan. Hakim yang membuat keputusan berdasarkan bukti di mahkamah tetap berintegriti, walaupun kemudian keputusannya dibetulkan oleh mahkamah lebih tinggi.

Peranan Pendakwaan dan Pembelaan
MCW menegaskan bahawa dalam setiap kes jenayah, integriti bukan hanya tanggungjawab mahkamah. Pendakwa raya memikul tanggungjawab besar untuk membuktikan kes dengan bukti yang kukuh, sahih dan meyakinkan. Pembela pula berhak menggunakan segala ruang undang-undang untuk mempertahankan tertuduh. Proses perbicaraan yang telus ini adalah tanda sihatnya sebuah sistem keadilan.

Sekiranya Mahkamah Rayuan membebaskan Syed Saddiq, itu tidak bermakna mahkamah berpihak atau sistem gagal. Ia bermaksud, pada tahap itu, hakim-hakim berpendapat terdapat keraguan munasabah yang memerlukan pembebasan. Tugas Mahkamah Persekutuan kini adalah menilai sama ada pandangan itu tepat atau terkhilaf.

Integriti dan Kefahaman Rakyat
Masalah terbesar yang MCW perhatikan ialah sikap sebahagian netizen yang cepat membuat kesimpulan tanpa memahami keseluruhan proses undang-undang. Ramai yang tidak mengikuti perbicaraan, tidak mendengar keterangan saksi, malah tidak membaca penghakiman penuh. Namun, mereka pantas menuduh sistem “rosak” atau “tidak adil”.

Di sinilah pentingnya literasi undang-undang dalam masyarakat. Integriti kehakiman bukan diukur dengan pandangan media sosial, tetapi dengan ketelusan proses, peluang rayuan, dan keupayaan sistem membetulkan kesilapan.

Pengajaran Daripada Hadis Rasulullah SAW
Rasulullah SAW pernah mengingatkan bahawa akan datang suatu zaman apabila orang yang benar dianggap dusta, orang dusta dianggap benar, orang amanah dianggap khianat, dan orang khianat dianggap amanah. Baginda menyebut akan muncul ar-Ruwaibidhah — iaitu orang bodoh yang berbicara tentang urusan orang ramai.

Fenomena inilah yang sedang berlaku apabila ramai pihak yang tidak memahami undang-undang membuat kenyataan terburu-buru mengenai integriti mahkamah. Masyarakat perlu lebih berhati-hati agar tidak menjadi sebahagian daripada kelompok ar-Ruwaibidhah.

Penegasan MCW
Hakim bukan malaikat, tetapi sistem menyediakan ruang pembetulan.

Kesilapan teknikal atau tafsiran tidak bermaksud tiada integriti.

Rayuan adalah mekanisme integriti.

Ia wujud untuk memastikan keadilan terjamin dan tiada keputusan yang menzalimi mana-mana pihak.

Masyarakat perlu mendidik diri dengan literasi undang-undang.

Jangan membuat kesimpulan berdasarkan tajuk berita atau komen media sosial semata-mata.

Integriti kehakiman adalah teras keyakinan negara.

Menghormati proses perundangan adalah sebahagian daripada usaha membina negara bebas rasuah dan adil.

Kes Syed Saddiq bukan hanya ujian terhadap individu, tetapi juga terhadap kefahaman masyarakat tentang integriti sistem keadilan. MCW menyeru semua pihak agar melihat isu ini dengan tenang dan objektif. Jangan kerana salah tafsir terhadap perkataan terkhilaf, kita terus menjatuhkan hukuman terhadap mahkamah dan sistem perundangan.

Integriti kehakiman Malaysia mesti terus dipertahankan. Keadilan bukan hanya tentang siapa yang dibebaskan atau disabitkan, tetapi tentang keyakinan bahawa setiap proses dijalankan dengan telus, adil, dan boleh dipertanggungjawabkan.

Inilah semangat sebenar keadilan, dan inilah yang MCW akan terus perjuangkan. – UTUSAN

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN