Perairan laut di Gaza milik siapa?

Perairan laut di Gaza milik siapa?

KONVENSYEN Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) mengiktiraf prinsip kebebasan pelayaran di laut lepas. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA penulisan ini digarap, Palestin dan rejim Israel telah memasuki persetujuan bagi gencatan senjata. Ini seterusnya untuk menamatkan penderitaan dan pembantaian rakyat Palestin yang telah dijarah dan dibunuh tanpa perikemanusiaan oleh tentera rejim itu.

Orang awam, kanak-kanak dan wartawan terus menerus dibunuh tanpa sekelumit belas ihsan. Walaupun dunia bersolidariti untuk membebaskan Palestin dan menghentikan sebarang serangan atau halangan membawa bekalan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, rejim Israel hanya memekakkan telinga dan terus menindas rakyat Palestin.

Pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat tidak mampu untuk membuat apa-apa terhadap kebobrokan rejim Israel. Rakyat di Gaza hakikatnya tidak terkorban kerana peperangan tetapi dibunuh dan dibiarkan kebuluran. Pintu-pintu sempadan ditutup tanpa belas kasihan.

Sehubungan dengan itu, kehadiran masyarakat dari 44 buah negara berlayar membawa bantuan kemanusiaan dan perubatan memberikan mesej besar kepada dunia. Bukan sahaja berfungsi sebagai harapan rakyat Gaza tetapi peringatan kepada dunia bahawa masyarakat sivil masih ada untuk membela nasib golongan yang ditindas tanpa pembelaan.

Sekiranya kerajaan tidak mampu untuk bertindak, masyarakat sivil sedia untuk menjadi barisan hadapan. Global Sumud Flotilla ini bukanlah misi flotilla yang pertama tetapi inilah antara misi flotilla yang terbesar dan melibatkan sukarelawan dari banyak negara.

Ia juga mendapat liputan meluas dan tersusun. Sebagaimana misi flotilla sebelum ini, sukarelawan-sukarelawan ini nekad untuk meneruskan pelayaran walaupun mengetahui risiko akan dipintas dan ditahan oleh kerajaan rejim zionis.

Terdapat suara-suara sumbang yang seolah-olah membenarkan perbuatan askar rejim zalim Israel yang menyerang dan menahan kapal-kapal ini.

Oleh yang demikian, timbul persoalan adakah kapal-kapal flotilla ini boleh berlayar ke perairan Gaza tanpa sebarang gangguan? Apakah hak yang ada pada rejim Israel untuk menahan pelayar yang memberikan bantuan kemanusiaan ini.

Untuk menjawab isu ini, undang-undang utama yang perlu dirujuk adalah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) yang merupakan perundangan antarabangsa yang mengatur hak dan tanggungjawab negara-negara di lautan dunia.

UNCLOS ini bukanlah perundangan yang baharu tetapi ia satu perundangan yang telah digubal pada 1982 dan mula berkuat kuasa pada 1994.

Melalui UNCLOS, ia menggariskan zon maritim seperti perairan dalaman, laut wilayah, zon eksklusif ekonomi dan laut lepas. Setiap zon ini mempunyai hak dan tanggungjawab negara pantai dan negara lain.

UNCLOS secara tidak langsung mengiktiraf prinsip kebebasan pelayaran di laut lepas sebagaimana di Perkara 87 UNCLOS, perlindungan sumber semula jadi laut serta kerjasama antarabangsa dalam menangani ancaman terhadap keamanan dan keselamatan maritim.

Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334 (2016) yang memutuskan bahawa wilayah Palestin yang diduduki oleh Israel sejak 1967 termasuk Jerusalem Timur adalah haram. Resolusi ini yang diluluskan pada 23 Disember 2016 menuntut Israel menghentikan serta-merta aktiviti penempatan haram di wilayah Palestin.

Lantaran perairan Gaza selayaknya dimiliki oleh Palestin. Israel dengan sesuka hati mengisytiharkan sekatan maritim terhadap Gaza walaupun tidak mempunyai asas.

Walau apapun hujah rejim Zionis dalam menghalang Flotilla berlayar ke dalam perairan Gaza menggunakan alasan perairan ‘negara’ atau ‘kedaulatan negara’ tetapi di Perkara 17 UNCLOS memperuntukkan bahawa kapal dari mana-mana negara melalui laut wilayah sebuah negara dalam keadaan lintas damai yang tidak mengancam keamanan, ketenteraman atau keselamatan negara. Hak ini jelas boleh dinyatakan dalam UNCLOS.

Perkara 19 UNCLOS seterusnya telah menakrifkan lintas damai atau innocent passage sebagai laluan yang tidak memprejudiskan keamanan atau keselamatan negara pantai.

Manakala di Perkara 19(2) UNCLOS menyatakan bahawa laluan kapal asing ditakrifkan sebagai memprejudis kepada keamanan sekiranya ia melakukan mana-mana aktiviti di keadaan (a) hingga (i).

Lantaran itu, dalam insiden berkenaan pembekalan barang bantuan kemanusiaan oleh masyarakat sivil bukanlah kegiatan yang mengancam keselamatan mana-mana pihak. Ini juga bermakna mana-mana kapal asing yang tidak mempunyai niat jahat boleh melalui laut wilayah sesebuah negara.

Insiden penculikan sukarelawan flotilla oleh rejim zionis turut membuka mata dunia. Ini kerana tidak terdapat mana-mana hak yang membolehkan sukarelawan yang membawa barang-barang kemanusiaan ditahan dalam keadaan mereka tidak bersenjata dan dimaklumkan bahawa tiada apa-apa senjata yang dibawa. Masyarakat dunia telah bangkit merekodkan ketidaksetujuan mereka dalam insiden yang luar batas manusia ini.

Ini juga sebagai jawapan kepada kedangkalan beberapa pihak yang menyatakan usaha yang dilakukan oleh sukarelawan sebagai misi bunuh diri atau sia-sia.

Sebaliknya, misi flotilla ini wajar dilihat sebagai kemandulan pertubuhan antarabangsa dalam mengekang kebiadapan rejim zionis dan juga dalam ketegasan memperjuangkan hak asasi manusia. Kita tidak perlu menganuti mana-mana agama untuk faham perihal Palestin sebaliknya kita harus menjadi manusia dahulu sebelum segalanya.

Tuntasnya, perundangan antarabangsa telah menetapkan prinsip asas berkenaan dengan pelayaran, hak negara pantai dan hak kemanusiaan. Cuma yang menjadi isu adalah bagaimana hak tersebut dilaksanakan dan tidak hanya tinggal sekadar dokumen mereput dijamah anai-anai. – UTUSAN

PENULIS merupakan pengamal undang-undang dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN