MASALAH disiplin dan keganasan dalam kalangan pelajar bukanlah perkara baharu. Namun, kejadian-kejadian tragik yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah sejak kebelakangan ini telah menyedarkan banyak pihak akan betapa seriusnya masalah ini.
Negara berhadapan dengan satu demi satu insiden keganasan dalam kawasan sekolah yang berlaku secara bertimpa-timpa. Ketika sesebuah kes masih hangat diperkatakan, berlaku pula kes tragik lainnya yang tambah memilukan hati kita semua.
Kalau dahulu kita melihat kejadian sebegini berlaku di negara Barat, namun kini ia sudah menular ke negara kita. Malah, keadaan ini akan bertambah buruk sekiranya tiada tindakan tuntas diambil bagi menanganinya.
Mengulas tentang masalah ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas bagi menangani isu masalah disiplin dan keselamatan di sekolah termasuk yang dikaitkan dengan penggunaan serta pengaruh media sosial.
Di media sosial masih riuh suara warga maya meluahkan kerisauan, kemarahan dan kekecewaan atas apa yang berlaku sambil mendesak kerajaan mengambil langkah segera bagi menoktahkan masalah ini.
Tidak kurang pula yang menghalakan kemarahan mereka ke arah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), khasnya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek termasuk dengan menggunakan kata-kata kesat dan bersifat hinaan.
Persoalannya, setakat manakah benarnya semua tuduhan yang dilemparkan itu dan adakah kita telah mengambil kira akan natijahnya sebelum bertindak mengikut kata hati?
Sedarkah kita bahawa tindak-tanduk seperti ini secara tidak langsung boleh lagi mengeruhkan keadaan? Perhatian kita dialihkan daripada menyelesaikan masalah kepada melayan naratif berpandukan kepentingan politik.
Semua pihak harus bersikap jujur dan bertanggungjawab dalam mencari punca dan penyelesaian kepada masalah serius ini dan bukannya mencari kambing hitam untuk dijadikan karung tinju.
Tanggungjawab membesarkan sahsiah anak-anak terletak kepada ibu bapa. Mereka yang patut mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni serta membina peribadi diri mereka supaya kelak menjadi insan yang berakhlak baik lagi berguna kepada masyarakat.
Oleh itu, biarpun anak-anak sudah bersekolah, ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab yang sepatutnya mereka tunaikan ke bahu guru-guru. Lebih-lebih lagi, ibu bapa tidak boleh mengharapkan Menteri Pendidikan untuk menjamin peribadi anak yang mulia.
Dalam semua keadaan, ibu bapa mesti berperanan aktif dalam membentuk keperibadian anak-anak, membimbing mereka ke jalan yang lurus dan berusaha menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak mereka.
Banyak masalah di sekolah berpunca daripada pengaruh rakan-rakan sebaya yang sememangnya sudah bermasalah. Malah, banyak masalah ini juga sebenarnya berlaku di luar pagar sekolah dan di luar kawalan guru.
Oleh itu, ibu bapa mesti memainkan peranan dalam memesan anak-anak agar tidak mudah terpengaruh dengan unsur jahat. Mereka wajib pantau dan kawal ketika anak-anak berkeliaran entah ke mana pada hari cuti. Takkanlah itu pun juga harus dijaga oleh jemaah menteri kita?
Hal ini bertambah parah apabila ada ibu bapa yang membantah jika disiplin ketat dikuatkuasakan di sekolah.
Di sudut yang lain pula, terdapat kes-kes di mana guru atau pihak pentadbiran yang mengambil mudah akan aduan pelajar yang diganggu oleh pelajar bermasalah di sekolah.
Maka, dalam hal ini, semua pihak mesti bekerja keras melaksanakan tanggungjawab mereka dan bukannya sekadar mendesak pihak lain melakukan perubahan.
Sistem pendidikan mestilah bersifat holistik dan bukannya hanya berpaksikan peperiksaan dan gred semata-mata tanpa diimbangi dengan kemahiran insani dan kerohanian.
Penekanan berlebihan terhadap pencapaian akademik sehingga mengabaikan aspek emosi, insani dan kemasyarakatan juga menjadi faktor penyumbang kepada gejala sosial.
Saya kirakan peristiwa-peristiwa ini sebagai seruan semboyan agar kita semua memperbaiki diri sendiri. Kekeluargaan harus diberi keutamaan. Peranan ibu bapa sangatlah penting bagi memastikan anak-anak tidak terjebak dalam aktiviti tidak sihat, terutamanya di alam maya.
Hubungan kekeluargaan yang kuat membuka ruang kepada ibu bapa untuk menjadi tempat anak-anak meminta nasihat serta boleh mengelakkan mereka terperangkap pengaruh jahat.
Ada pula yang kini lebih selesa bersahabat dengan kecerdasan buatan (AI) dan bergantung kepada bot sembang untuk mendapatkan nasihat termasuklah bagi masalah nyata yang sangat serius. Hal ini boleh mengakibatkan mereka melakukan perkara yang tidak wajar kerana terpengaruh dengan arahan AI.
Kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil tentang usaha kerajaan untuk memastikan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial harus disokong.
Kerajaan juga harus mengembalikan tujuan murni pendidikan ke arah membentuk masyarakat yang berilmu dan berakhlak tinggi dan bukannya dibelenggu kedudukan penarafan semata-mata yang hanya mengambil kira nilai material.
Jika tujuan pendidikan hanyalah untuk mendapat gred yang tinggi, maka masyarakat akan bertambah rosak. Justeru, kita akan hanyut dalam arus kehidupan moden yang hanya mementingkan kejayaan material sehingga membelakangkan nilai ihsan dan insani.
Generasi muda harus diberi peluang menerokai pelbagai aktiviti berfaedah yang mereka minati dan bukannya terus-menerus didesak menghafal teks bagi memperoleh bilangan A semata-mata.
Ada yang menyalahkan ketiadaan UPSR dan PT3, seolah-olah kanak-kanak bosan tanpa peperiksaan hingga melakukan aktiviti seperti membuli dan membunuh untuk meluangkan masa lapang.
Jika begitu teruklah keadaan sehingga hanya peperiksaan boleh mengelakkan anak-anak kita daripada melakukan jenayah, mungkin kita perlu lihat semula kepada masalah puncanya iaitu anak-anak kita tidak dibesarkan secara baik. Sendiri membakar kelambu, nyamuk juga yang disalahkan.
Sepanjang umur saya sebelum mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya tidak pernah mengambil mana-mana peperiksaan sama ada UPSR atau PT3, malah langsung tidak pernah belajar di sekolah sekali pun. Sebaliknya, ibu bapa saya telah mengajar saya untuk meminati hobi bermanfaat seperti menulis dan saya sendiri juga menerokai hobi lain seperti penterjemahan dan pengekodan komputer.
Sekiranya ibu bapa melibatkan diri dalam peranan dan tanggungjawab mereka, masalah-masalah sebegini boleh dielakkan. Apabila ibu bapa hanya ingin melepas tangan dan menyalahkan menteri-menteri sahaja bagi masalah dalam keluarga mereka, sampai ke kiamatlah takkan selesai masalah kita. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










