Mampu bercuti ke luar negara, tapi tidak boleh bayar hutang PTPTN - Utusan Malaysia

Mampu bercuti ke luar negara, tapi tidak boleh bayar hutang PTPTN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kekal menjadi tunjang utama pembiayaan pengajian tinggi, khususnya bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah. Namun, tunggakan melebihi RM11 bilion membebankan dana sedia ada dan menjejaskan keupayaan membantu generasi baharu.

Menurut Pengerusi PTPTN, DATUK SERI NORLIZA ABDUL RAHIM, Belanjawan 2026 memperkenalkan langkah proaktif termasuk pengecualian bayaran balik kepada pelajar B40 dan graduan kelas pertama, yang kini diberikan dalam bentuk biasiswa.

Tindakan tegas turut dirancang terhadap peminjam culas, termasuk sekatan perjalanan bagi yang bekerja di luar negara tetapi enggan membayar hutang.

Visi jangka panjang PTPTN adalah memastikan akses pendidikan tinggi yang inklusif tanpa halangan kewangan, dengan gabungan dasar tegas dan pendekatan berempati, sekali gus menuju ke arah merealisasikan impian pendidikan percuma untuk semua. Ikuti perkongsian itu bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL serta dibantu jurufoto M. FIRDAUS M. JOHARI dan juruvideo MOHD. FIKRI FADZIL.

SEKATAN PERJALANAN
MINGGUAN MALAYSIA: Beberapa perkara berkait PTPTN diumum dalam Belanjawan 2026, jadi apa komen Datuk Seri?
Bajet 2026 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi banyak manfaat kepada graduan-graduan yang mengambil PTPTN. Kita sambut baik belanjawan kali ini, sebenarnya yang diusulkan untuk tahun depan, kepada pelajar yang akan melanjutkan pelajaran dan mereka termasuk dalam kategori B40 maka mereka diberi pengecualian bayaran balik pinjaman, maknanya mereka diberi bantuan dalam bentuk biasiswa, ia membabitkan 5,800 pelajar dan dengan peruntukan RM120 juta.

Jadi, ini sangat bagus, kerana kita faham dengan kos pendidikan yang saban tahun meningkat tinggi, kerajaan sangat prihatin kepada golongan ini dengan memberikan pendidikan percuma.

Selain itu, menerusi bajet kali ini, dua lagi perkara turut diberikan iaitu untuk graduan kelas pertama dari IPTA yang diberikan pengecualian bayaran balik yang mana mereka akan dapat dalam bentuk biasiswa.

Ketiga, PTPTN boleh mengenakan sekatan perjalanan kepada yang culas dan tidak membayar hutang pinjaman serta bekerja di luar negara.

Jadi, kita akan dapat balik dana-dana yang seharusnya dibayar balik kepada PTPTN, maka tindakan tegas dapat kami lakukan.

Bagaimana prosedur untuk bantuan kepada 5,800 pelajar golongan miskin itu?
Untuk pelajar-pelajar daripada keluarga miskin itu kita akan ambil nama mereka daripada data e-Kasih dan kita akan melihat latar belakang dan kemudian baru kita beri kelulusan penawaran secara biasiswa kepada mereka.

Namun oleh kerana pengumuman ini masih baharu, jadi daripada segi perincian prosedurnya kita masih dalam proses untuk mengenal pasti bagaimana langkah terbaik agar ia tidak menyusahkan pelajar, yang pentingnya mereka ini sudah terbela dan boleh melanjutkan pelajaran tanpa perlu bimbang masalah kewangan.

Memang menjadi hasrat PTPTN, kita tidak mahu ada pelajar yang tercicir disebabkan oleh masalah kewangan, maka kita dapat mencapai misi dan visi kita dengan adanya pendidikan percuma untuk pelajar B40 ini.

Boleh jelaskan lebih lanjut mengenai sekatan perjalanan ke luar negara seperti disebut dalam Belanjawan 2026?
Sekatan perjalanan seperti yang diumumkan dalam bajet itu terpakai kepada peminjam yang bekerja di luar negara dengan mempunyai hutang tertunggak dengan PTPTN, dan mereka mendapat pendapatan di luar negara. Bagi mereka ini, kita diberi kebenaran untuk membuat sekatan.

Namun kita juga masih dalam proses membincangkan kaedah yang perlu kita laksanakan supaga ia lebih sistematik dan teratur.

Lebih ramai bayar, lebih ramai pelajar dibantu
Adakah kadar kutipan bayaran balik pinjaman yang rendah memberi kesan kepada keupayaan dana PTPTN bagi memberi pinjaman kepada pelajar baharu?
Selain menyediakan dana untuk graduan melanjutkan pelajaran, setiap tahun kita memerlukan RM3 bilion untuk bantu pelajar sedia ada dan pelajar baharu, apabila kita tidak mendapat bayaran balik yang mencukupi, maka akan membantutkan proses untuk bantu pelajar baharu atau sedia ada.

PTPTN ada beberapa alternatif untuk kita pastikan kelangsungan dana itu dan mencukupi untuk 450,000 pelajar sedia ada dan 150,000 peminjam baharu setiap tahun.

Kita mula cari produk baharu, tahun lalu kita lancarkan myWaqafPTPTN, kerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia, kita membuat kutipan waqaf, kenalpasti pelajar yang kurang berkemampuan, yang perlukan bantuan kita beri menerusi dana myWaqafPTPTN secara biasasiswa.

Ini antara inisiatif PTPTN, sebab kita perlu pelbagaikan sumber dana kita. Kita bimbang jika bayaran balik peminjam tidak mencukupi atau pun lambat, ia mengganggu proses untuk membantu pelajar lain.

Kita juga ada produk Simpan SSPN, yang bukan sahaja menyokong dana pendidikan malah menggalakkan budaya menabung dalam kalangan masyarakat.
Sekiranya PTPTN mendapat bayaran balik pinjaman dengan lebih cekap, maka ramailah yang dapat dibantu.

Apa lagi dalam rangka cadangan PTPTN untuk bantu memudahkan pelajar mendapat pinjaman?
Perkara ini masih dalam perbincangan, yang mana PTPTN sedang mengkaji kursus-kursus mana yang memerlukan jumlah dana sebanyak mana, dan kursus-kursus mana yang mempunyai permintaan pekerjaan yang lebih tinggi dan keperluan tenaga kerja mendesak untuk negara.

Jadi, ini kajian PTPTN untuk masa depan, supaya kita dapat uar-uarkan kepada semua bakal pelajar yang mahu melanjutkan pengajian, apa kursus yang sesuai diambil dan bila bergraduasi, senang untuk mendapat pekerjaan dan boleh membayar balik pinjaman PTPTN.

Kajian perlu dibuat bagi memastikan kemampuan bayaran balik berasaskan pendapatan (income-contingent). Kita dalam perbincangan dengan LHDN, bagi mencari kaedah terbaik supaya tidak membebankan peminjam.

Adakah PTPTN mempertimbangkan perubahan kepada model pinjaman, misalnya hanya beri pinjaman kepada kursus tertentu yang menjamin pekerjaan?
Buat masa ini, PTPTN masih mengekalkan dasar terbuka di mana semua pelajar yang layak boleh memohon pinjaman bagi kursus pengajian yang diiktiraf di IPTA dan IPTS.

Namun, kami sentiasa meneliti model pembiayaan agar lebih berfokus dan selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa. Walaupun tumpuan masa depan mungkin lebih diberikan kepada bidang yang menjamin kebolehpasaran pekerjaan, prinsip asas PTPTN kekal memastikan akses kepada pendidikan tinggi terus terbuka kepada semua pelajar, tanpa mengira latar belakang.

Berapa ramai pelajar setakat ini sudah mendapat Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP)?
Setakat 31 Ogos, sebanyak 990,646 pelajar telah mendapat manfaat WPP yang diperkenalkan pada 1999, dengan peruntukan berjumlah RM1.46 bilion.

Selain itu, PTPTN sudah menawarkan WPP kepada 27,674 pelajar Ijazah Sarjana Muda yang memasuki Universiti Awam (UA) dan Politeknik bagi sesi Oktober ini, melibatkan peruntukan RM41.5 juta.

Bagaimana untuk pastikan kemampuan penyediaan dana PTPTN untuk tempoh lima hingga 10 tahun mendatang?
Ini visi saya, katakanlah kita dapat peminjam seramai mungkin membuat bayaran balik secara konsisten, pada masa sama kita menggalakkan penabungan anak kita daripada seawal usia menerusi SSPN, jadi jika menabung sehingga usia mereka 17 atau 18 tahun, bila nak sambung pelajaran mereka sudah ada tabungan, maka tidak perlu jumlah pinjaman tinggi untuk mereka.

Jika kutipan PTPTN baik, maka ketika itu lebih ramai rakyat yang boleh kita bantu, sekarang ini tumpuan lebih kepada golongan B40, dan M40 (yang ada anak ramai). Kita cuba galakkan penabungan, sikit-sikit setiap bulan supaya cukup pada masa hadapan.

Pada masa sama, kita merayu kepada mereka yang berhutang ini untuk bayar balik, bila ramai yang bayar dan kita ada lebihan dana, mungkin kita dapat beri bantuan kepada lebih ramai pelajar tanpa mengira kategori mereka.

Ini visi untuk lima hingga 10 tahun akan datang, kalau boleh kita hendak cuba bantu semua rakyat tanpa kira kategori, cuma buat masa sekarang kita belum mampu.

Bagaimana sambutan terhadap tabungan SSPN?
Sejak dua tahun kebelakangan ini kita mendapat tabungan melebihi RM3 bilion setiap tahun, jumlah ini meningkat hampir 90 peratus. Ini menunjukkan rakyat semakin ada kesedaran untuk menabung dan mereka ubah pemikiran menabung awal sangat penting kepada pendidikan anak-anak.

Peningkatan tabungan ini jika terus konsisten untuk tahun-tahun mendatang, kita akan mempunyai dana yang lebih daripada mencu­kupi untuk membantu pelajar di peringkat pendidikan tinggi dalam negara ini.

Sebab itu, menabung sangat penting, kita tidak boleh galakkan graduan bergantung kepada pinjaman sahaja, sebab tidak mahu apabila tamat pengajian mereka sudah terbelenggu dengan hutang. Jadi, untuk kurangkan graduan berhutang, kita galakkan penabungan, pada masa sama kita pelbagaikan dana supaya lebih ramai dapat menerima biasiswa.

Jika budaya penabungan ini dapat kita teruskan dan meningkat setiap tahun, untuk 10 tahun akan datang, mungkin PTPTN beri bantuan bukan dalam bentuk pinjaman, tapi biasiswa kepada semua pelajar yang akan melanjutkan pengajian.

Apakah persepsi awam terhadap PTPTN yang mahu diubah?
Bila cakap berkenaan PTPTN, orang akan kaitkan dengan hutang. Sebenarnya orang lupa bahawa PTPTN telah berjaya mengubah nasib ramai pelajar di negara ini.

Ada sesetengahnya yang sudah mencapai tahap tertinggi dalam pekerjaan seperti pengarah, KSU dan sebagainya. Memang menjadi misi dan visi kita untuk memastikan tiada pelajar yang merasa rendah diri disebabkan tidak boleh hendak sambung belajar kerana masalah kewangan, jadi di situ peranan PTPTN.

Kepada semua masyarakat, jangan rasa PTPTN ini mengutip hutang sahaja, ingatlah juga jasa kami dalam membantu mencapai impian masing-masing.

PTPTN juga ingin dilihat sebagai sebuah institusi kewangan untuk membantu pendidikan negara. Kalau kita pergi bank untuk buat pinjaman perumahan dan lain-lain, tapi jika melihat PTPTN, di situlah bantuan untuk pendidikan disediakan.

Kita juga harap suatu hari nanti dapat membantu semua pelajar di negara ini tanpa mengira kategori, mereka akan dapat bantuan daripada PTPTN untuk sambung pengajian.

1.2 juta peminjam culas
Berdasarkan data dan maklumat PTPTN hingga setakat hari ini, berapakah jumlah terkini tunggakan pinjaman PTPTN dan berapa ramai peminjam yang belum memulakan bayaran?
Sehingga 31 Ogos 2025, tunggakan bayaran balik pinjaman adalah berjumlah RM11.18 bilion melibatkan 1.2 juta peminjam culas.

Ini termasuk RM5.25 bilion daripada lebih 359,000 peminjam yang langsung tidak membuat sebarang pembayaran. Ada kalangan mereka ini yang berhutang dan sudah lama bekerja, ada bekerja sehingga usia 60 tahun, tapi masih gagal melunaskan hutang.

Jadi, sewajarnya yang mana yang kita tahu ada tahap kewangan yang mampu bayar balik hutang, kita perlu buat kutipan. Kita juga ada membuat padanan dengan beberapa agensi, yang mana kita dapati daripada jumlah yang culas ini, dalam 30 peratus, mereka ini mampu keluar negara untuk bercuti. Jadi, saya rasa kumpulan ini perlulah kita ambil tindakan tegas, kerana mereka mampu untuk membayar tapi tidak mengambil tanggungjawab membayar balik pinjaman.

Apa yang dimaksudkan dengan yang bekerja di luar negara itu, kita ambil contoh terdekat, ramai rakyat kita yang bekerja di Singapura, yang mana pendapatan mereka tiga kali ganda lebih (berdasarkan nilai matawang), jadi tidak wajar kalau pendapatan lebih RM6,000 hingga RM10,000 tetapi tidak mahu membayar hutang pinjaman.

Bayaran balik pun boleh mencecah serendah RM100 atau RM200, jadi saya rasa kes sebegini, kita wajar kenakan sekatan perjalanan kepada mereka kerana dengan kadar pendapatan diperoleh, mereka tidak sepatutnya tidak melunaskan bayaran pinjaman.

Malah jumlah tunggakan ini memberi kesan besar kepada kelangsungan dana PTPTN dan kemampuan untuk terus menyediakan peluang pendidikan kepada generasi akan datang.

Apa faktor ramai peminjam ini gagal melunaskan hutang mereka?
Ada yang kategori betul-betul tidak mampu, ada yang lepas tamat pengajian, sukar dapat pekerjaan jadi terpaksa bekerja yang bukan dalam bidangnya dan mendapat pendapatan rendah

Kita faham bila baru bekerja, baru hendak beli kereta, bina keluarga, beli rumah, adakalanya tidak mencukupi, jadi bukan dia tidak mahu bayar, tapi tidak mampu hendak bayar. Ada kategori yang dia mampu bayar, tapi tidak mahu ambil tanggungjawab, rasa tidak penting dan letak (hutang) PTPTN ini hal yang bukan keutamaan, paling akhir, jadi tidak mahu bayar, ini golongan yang tidak ada niat hendak bayar.

Kita juga ada kategori yang tidak dapat dikesan, ini kita bekerjasama dengan pihak tertentu untuk cuba kesan balik. Adalah penting bagi peminjam yang capai kejayaan dan sudah bekerja untuk membuat bayaran balik pinjaman, kerana kita hendak pastikan mempunyai dana yang cukup kepada pelajar baharu.

20 hingga 30 peratus peminjam gagal dikesan

Daripada 359,000 peminjam yang langsung tidak buat sebarang pembayaran, berapa ramai tidak dapat dikesan?

Antara 20 hingga 30 peratus daripada jumlah itu tidak dapat dikesan. Bila tamat pengajian, ada yang tukar nombor telefon, bertukar alamat dan kita tidak dapat kesan kerana bukan bekerja ‘makan gaji’, tapi berniaga sendiri, jadi agak susah untuk kita jejak peminjam ini. Namun kita tetap meneruskan usaha dengan bekerjasama dengan agensi lain termasuk KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan) untuk cuba kesan yang culas ini.

Adakah tindakan undang-undang jalan terakhir untuk dapatkan kembali pinjaman tidak dibayar?
Mulai tahun ini kita mulakan kempen Lestari Pendidikan, kita galakkan peminjam yang ada tunggakan tampil berjumpa PTPTN untuk menstrukturkan semula pinjaman sekiranya mereka tidak mampu. Selain itu inisiatif #PTPTNBolehBincang dan #PTPTNSediaBantu dan guna pendekatan empati supaya kita tidak mahu menekan peminjam yang tidak mampu itu.

Kita menggalakkan semua yang berhutang itu supaya tampil buat penstrukturan semula pembayaran supaya ia tidak membebankan mereka. Tapi bila kita buat kempen ini, mereka masih tidak tampil dan tidak mahu membuat pembayaran hutang, kita hantar notis tuntutan sehingga kepada proses kita mengambil tindakan mahkamah.

Pada masa sama, mereka ini juga akan dikenakan senarai hitam oleh CCRIS, dan yang terbaru seperti diumum dalam belanjawan, tindakan sekatan perjalanan kepada mereka yang bekerja di luar negara.

Apakah ada perincian bagi proses sekatan perjalanan itu?
Apabila mereka yang bekerja di luar negara ini pulang ke Malaysia, sekatan perjalanan akan dikenakan semasa mahu kembali ke negara bekerja. Cuma proses yang lebih terperinci itu kita belum muktamadkan, kerana perlu ada perbincangan lanjut dengan Jabatan Imigresen dan agensi lain.

Apabila sudah muktamadkan kaedah itu kita akan maklumkan, contohnya apabila mereka disekat untuk keluar negara, apa proses perlu mereka lakukan selanjutnya.

Untuk peminjam mempunyai tunggakan melebihi lima tahun dan berpendapatan lebih daripada RM6,000 sebulan, sekatan keluar negara juga akan dikenakan kepada mereka, dan kaedah pelaksanaannya juga akan diperincikan kemudian. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN