Minggu lalu penulis berkesempatan meninjau pandangan ibu bapa tentang isu buli di sekolah. Nampaknya masih ramai ibu bapa menyatakan rasa bimbang tentang tahap keselamatan anak- anak mereka khususnya di sekolah berasrama.
Nampaknya isu buli dalam kalangan murid sekolah masih membelenggu pemikiran ibu bapa. Mereka tidak begitu pasti apakah usaha yang sedang diambil oleh pihak berkuasa pendidikan untuk membanteras isu buli di sekolah benar-benar akan berjaya.
Data rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang 2024 mengesahkan terdapat sebanyak 7,681 kes buli dilaporkan berlaku dalam kalangan murid sekolah. Jumlah ini meningkat berbanding 6,528 kes yang dilaporkan pada 2023.
Lebih membimbangkan kes buli pada 2024 bukan hanya berlaku di sekolah menengah yang berjumlah 5,689 kes tetapi juga di sekolah rendah dengan 1,992 kes. Bagaimana pula dengan kes buli yang tidak dilaporkan?
Isu buli di sekolah bukanlah sesuatu yang baharu, namun kebelakangan ini buli semakin mendapat perhatian serius dalam kalangan masyarakat. Kes-kes buli yang tular di media sosial sama ada melibatkan pelajar sekolah rendah mahupun menengah menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan murid di institusi pendidikan.
Buli bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal terhadap mangsa, tetapi juga memberi implikasi psikologi yang mendalam seperti trauma, rendah diri, kemurungan, dan dalam kes ekstrem, kecenderungan membunuh diri.
Justeru, isu buli perlu ditangani secara menyeluruh dengan pendekatan berasaskan amalan pendidikan, penguatkuasaan disiplin yang mengikut garis panduan, dan melaksanakan program dan aktiviti pembinaan sahsiah murid yang berterusan.
Seorang yang pakar dalam kajian buli, Profesor Dan Olweus di dalam bukunya yang bertajuk Bullying at School: What We Know and What We Can Do? telah takrifkan buli sebagai tingkah laku agresif yang dilakukan secara berulang-ulang oleh individu atau kumpulan terhadap seseorang yang tidak berupaya mempertahankan diri.
Dalam konteks sekolah, buli boleh berbentuk fizikal, lisan, sosial, atau siber. Buli fizikal melibatkan perbuatan memukul, menampar, menendang, menolak, atau mencederakan mangsa secara langsung. Buli lisan pula mencakupi ejekan, makian, hinaan, atau panggilan nama yang menjatuhkan maruah seseorang.
Buli sosial termasuklah perbuatan mengasingkan seseorang daripada kumpulan, pemulauan, menyebar fitnah atau mengaibkan mangsa secara emosi di hadapan orang lain. Buli siber pula satu bentuk buli memalui media sosial dan semakin meningkat dengan melibatkan perbuatan melakukan penyebaran gambar mangsa, video, atau mesej-mesej yang menghina mangsa.
Masalah buli berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkait antara personaliti pelajar, keluarga, persekitaran sekolah, dan pengaruh sosial yang lebih luas. Faktor personaliti lazimnya melibatkan individu yang mempunyai sifat agresif, kurang empati, dan mempunyai keinginan tinggi untuk mengawal orang lain.
Ada juga antara mereka yang berasal daripada latar belakang emosi tidak stabil atau pernah menjadi mangsa buli sebelum ini manakala faktor keluarga ditentukan keupayaan ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
Kajian psikologi sosial mendapati bahawa pelajar yang dibesarkan dalam suasana keluarga yang keras, autoritarian atau tidak berfungsi (contohnya kerap berlaku pertengkaran atau penderaan) lebih cenderung untuk meniru tingkah laku agresif.
Faktor persekitaran sekolah yang gagal menegakkan disiplin atau tidak mempunyai sistem pemantauan yang berkesan juga sering menjadi lokasi subur untuk berlakunya buli.
Misalnya, kelemahan pemantauan ketika waktu rehat, kekurangan pengawasan di asrama, serta budaya ‘tidak ambil peduli’ dalam kalangan murid itu sendiri menyumbang kepada peningkatan kes buli di sekolah dan asrama manakala faktor negatif rakan sebaya dan media sosial menjadi faktor pendorong kepada kes buli semakin meningkat.
Ada pelajar membuli semata-mata untuk diterima oleh kumpulan tertentu atau menunjukkan kuasa kelompok mereka. Di samping itu, pengaruh media sosial juga menambah ruang untuk berlakunya fenomena buli siber.
Akhirnya untuk melengkapkan gejala negatif ini, faktor sosiobudaya dan nilai masyarakat yang menormalisasikan keganasan, jenaka menghina, gurauan keterlaluan atau stereotaip gender dan kaum turut menyumbang kepada pengukuhan budaya buli.
Masalah buli tidak boleh diselesaikan hanya melalui hukuman fizikal seperti rotan semata-mata tetapi memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan pelbagai pihak. Penting untuk setiap kepimpinan sekolah meningkatkan kesedaran warga sekolah bahawa sekolah perlu menjadi tempat yang selamat untuk semua murid.
Pentadbir dan guru mesti menguatkuasakan dasar ‘Sifar Buli’. Program pencegahan seperti kempen anti-buli, kaunseling pelajar, bimbingan sahsiah, dan aktiviti empati sosial perlu dijalankan secara berterusan diberikan keutamaan. Pada masa sama, ibu bapa juga perlu memainkan peranan aktif memantau tingkah laku anak.
Didikan berasaskan kasih sayang, komunikasi terbuka, dan disiplin positif membantu membina keperibadian yang seimbang. Pelajar perlu dididik dengan kemahiran sosial dan nilai empati sejak awal. Mereka harus diajar untuk menolak budaya membuli dan berani melaporkan kejadian kepada guru atau pihak berkuasa sekolah.
Selain itu, pihak kerajaan melalui KPM boleh menggubal Dasar Sekolah Selamat yang lebih ketat dengan prosedur siasatan, perlindungan mangsa, dan intervensi kaunseling wajib kepada pelaku dan mangsa buli.
Buli di sekolah bukan sekadar masalah disiplin, tetapi satu krisis nilai kemanusiaan yang perlu ditangani dengan penuh hikmah sejak awal.
Sistem pendidikan yang menekankan pembentukan sahsiah pelajar yang berasaskan empati, hormat-menghormati dan tanggungjawab sosial adalah teras kepada penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu buli di sekolah.
Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM)