Belanjawan 2026 pembangkang realistik atau sekadar retorik?

Belanjawan 2026 pembangkang realistik atau sekadar retorik?

PEMBANGKANG cuba memperlihatkan usaha untuk memposisikan Perikatan Nasional sebagai pembangkang yang konstruktif dan prihatin terhadap nasib rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UCAPAN perbahasan Belanjawan 2026 oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang bertemakan “Membetulkan Kerangka, Menyemarakkan Ekonomi dan Melegakan Rakyat (Repair, Reignite & Relief)” menampakkan kekurangan serius dari segi kerangka konseptual, strategi pelaksanaan dan justifikasi fiskal. Di sebalik gembar-gembur kononnya ia merupakan Belanjawan Alternatif Perikatan Nasional (PN), ia gagal menawarkan pelan tindakan ekonomi yang konkrit, holistik dan berasaskan data.

Kerangka Ekonomi
Ucapan Hamzah berulang kali menegaskan keperluan untuk “membetulkan kerangka asas ekonomi negara”, namun tidak pernah dijelaskan apakah yang dimaksudkan dengan kerangka tersebut.

Tidak terdapat analisis empirikal mengenai punca sebenar ketidakseimbangan ekonomi, sama ada berpunca daripada kebergantungan hasil negara kepada komoditi, kelemahan produktiviti sektor perkilangan, ketirisan fiskal ataupun kecekapan pelaburan awam yang rendah. Tanpa huraian struktur asal yang ingin diperbetulkan, tema besar Repair, Reignite & Relief tidak mempunyai asas konseptual yang kukuh.

Dalam konteks ekonomi makro, kerangka seharusnya merujuk kepada rangka dasar hasil dan perbelanjaan, dasar monetari serta strategi pertumbuhan sektor strategik. Namun, ucapan tersebut gagal menunjukkan sebarang model reformasi fiskal atau ekonomi yang ingin dilaksanakan.

Ketiadaan pelan makro ini menyebabkan ucapan ini berupa kritikan reaktif terhadap Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan bukannya penawaran alternatif ekonomi yang komprehensif.

Sistem Cukai Baharu
Salah satu segmen yang ditekankan dalam ucapan tersebut ialah kenyataan bahawa “PN berpendapat kita perlu mengkaji semula keseluruhan rejim percukaian nasional… memperkenalkan sistem cukai baharu yang komprehensif, adil, telus dan menggalakkan pematuhan sukarela.”

Meskipun kenyataan ini kelihatan progresif pada zahirnya, ia gagal menampilkan sebarang butiran mengenai bentuk sistem cukai baharu yang dimaksudkan. Tiada penjelasan sama ada PN mencadangkan pengembalian semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), memperkenalkan cukai karbon, cukai kekayaan (wealth tax) atau reformasi cukai digital.

Tiada juga keterangan mengenai implikasi fiskal, keberkesanan kutipan hasil, atau impak terhadap kos sara hidup rakyat. Justeru, cadangan ini tidak dapat dikategorikan sebagai dasar baharu, tetapi hanya retorik fiskal yang mengelak daripada komitmen kepada model percukaian tertentu.

Dalam konteks perbahasan bajet, sebarang seruan kepada “sistem cukai baharu” tanpa reka bentuk dasar, mekanisme pelaksanaan dan unjuran impak hanya memperlihatkan kekosongan konseptual dalam perancangan ekonomi pembangkang.

Kek Ekonomi
Ucapan Hamzah turut menekankan bahawa “Kita mesti membesarkan kek ekonomi, mencipta peluang dan menambah hasil supaya setiap rakyat mendapat bahagiannya dengan adil.” Namun, pernyataan tersebut tidak diiringi sebarang strategi konkrit untuk merealisasikan matlamat tersebut.

Tidak dijelaskan bagaimana kek ekonomi itu akan ‘dibesarkan’, sama ada melalui pemerkasaan pelaburan langsung asing (FDI), peningkatan produktiviti industri kecil dan sederhana, reformasi pasaran buruh atau transformasi industri berasaskan teknologi tinggi.

Tiada sasaran pertumbuhan yang dinyatakan, tiada sektor keutamaan dikenal pasti dan tiada unjuran fiskal dikemukakan. Justeru, konsep “membesarkan kek ekonomi” hanyalah satu metafora politik tanpa dimensi ekonomi yang operasional.

Dari perspektif dasar pembangunan, kenyataan seperti ini sepatutnya disertai indikator makro contohnya sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), eksport bersih atau pekerjaan berkemahiran tinggi serta pelan pelaksanaan sektorial. Ketiadaan semua ini menjadikan gagasan tersebut lebih bersifat retorik daripada substantif.

Dasar
Banyak cadangan yang dikemukakan dalam ucapan tersebut bersifat simbolik dan tidak disertai dengan butiran fiskal. Misalnya, cadangan untuk memperkenalkan semula Bantuan Prihatin Nasional (BPN) RM6,000 setahun kepada isi rumah tidak disokong dengan sebarang penerangan mengenai sumber kewangan yang akan menampung perbelanjaan sosial berskala besar itu. Tanpa pelan hasil tambahan atau pengurusan defisit yang realistik, cadangan sebegini berpotensi menambah beban hutang negara.

Begitu juga dengan inisiatif Dana Pemangkin Perniagaan Berimpak Tinggi yang sekadar dijelaskan sebagai “perkongsian risiko antara kerajaan dan syarikat,” tanpa penjelasan mengenai struktur pentadbiran, mekanisme penilaian risiko atau jaminan pulangan.

Cadangan-cadangan seperti ini menampakkan bahawa PN belum memiliki dasar fiskal yang mampu diuji dari segi kebolehlaksanaan dan keberlanjutan (fiscal sustainability).

Pendidikan dan Kesihatan
Dalam sektor pendidikan dan kesihatan, ucapan Hamzah lebih menonjolkan semangat moral dan aspirasi sosial berbanding cadangan dasar. Walaupun isu seperti digitalisasi pendidikan, pengangguran graduan dan kesesakan hospital awam diangkat, tiada strategi struktur yang diketengahkan bagi mengatasi masalah tersebut.

Contohnya, walaupun PN menegaskan kepentingan TVET dan menyebut peruntukan RM7.9 bilion, tiada cadangan konkrit mengenai model kerjasama industri, sistem pemantauan keberkesanan latihan atau pembaharuan kurikulum digital.

Dalam sektor kesihatan pula, janji untuk memberikan “peruntukan secukupnya” tidak disertai angka, sumber kewangan atau strategi pengembangan kapasiti. Ini menunjukkan kelemahan dari segi keutamaan fiskal dan reka bentuk dasar sosial yang mampan.

Konsensus Nasional
Ucapan Hamzah diakhiri dengan gagasan besar bernama ‘Konsensus Nasional Baharu’, kononnya sebagai doktrin politik dan ekonomi baharu bagi Malaysia. Namun, konsep ini juga tidak dijelaskan secara substantif. Tidak diketahui sama ada ia merujuk kepada perpaduan politik dwipartisan, kesepakatan ekonomi nasional atau rangka kerja pembaharuan institusi.

Tiada dokumen dasar, pelan pelaksanaan atau reformasi institusi yang dikemukakan untuk menyokong gagasan ini. Oleh itu, “Konsensus Nasional Baharu” hanya berfungsi sebagai slogan politik yang bertujuan mencipta citra moral PN sebagai “penyelamat negara” tanpa sebarang isi kandungan dasar yang konkrit.

Secara keseluruhannya, ucapan Hamzah memperlihatkan usaha untuk memposisikan PN sebagai pembangkang yang konstruktif dan prihatin terhadap nasib rakyat. Namun, ia gagal memenuhi ciri-ciri ucapan dasar fiskal yang berwibawa. Ia tidak mempunyai kerangka ekonomi makro yang jelas, tidak menyediakan strategi pelaksanaan dasar yang terperinci dan tidak menyertakan justifikasi fiskal yang munasabah.

Cadangan-cadangan seperti sistem cukai baharu dan membesarkan kek ekonomi hanyalah retorik tanpa model pelaksanaan yang konkrit. Gagasan Repair, Reignite & Relief kekal slogan kosong yang tidak dapat diterjemahkan kepada tindakan dasar sebenar. Ucapan ini juga memperlihatkan bahawa PN tidak memiliki pelan ekonomi alternatif yang berasaskan data, disokong oleh kerangka fiskal yang realistik dan mampu diuji secara empirik.

Dalam konteks wacana ekonomi negara, ucapan Hamzah ini akhirnya lebih menyerlah sebagai pidato politik moralistik daripada blueprint ekonomi nasional. Ia menzahirkan retorik tentang keadilan dan keprihatinan rakyat, tetapi gagal menyediakan peta jalan (roadmap) yang meyakinkan tentang bagaimana ekonomi Malaysia harus digerakkan ke hadapan dalam era ketidaktentuan global dan cabaran fiskal pasca-pandemik. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Rusdi Omar adalah Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN