Belanjawan 2026 meneruskan pendekatan kapitalis yang tidak menguntungkan rakyat biasa. Secara keseluruhannya, belanjawan ini tidak begitu berbeza daripada belanjawan-belanjawan sebelum ini.
Berikut adalah analisis ringkas Parti Sosialis Malaysia terhadap Belanjawan ini:
- Pengendalian Ekonomi Madani Berpaksikan Pelabur Swasta dan Multinasional
Program pembangunan dirancang dalam Belanjawan ini serta pelaburan yang dipelopori GLC dan GLIC kesemuanya lebih menguntungkan syarikat-syarikat besar. Sebagai contoh, RM180 juta diperuntukkan dalam Dana Pembangunan Industri NIMP bagi membiayai program pembangunan industri di bawah sektor berimpak tinggi seperti farmaseutikal, semikonduktor, AI, digital dan kelestarian. Selain itu, Khazanah dan KWAP akan melabur RM550 juta dalam ekosistem semikonduktor dalam usaha meningkatkan usaha sama firma tempatan dan syarikat multinasional.
Suatu persoalan adalah jika Malaysia mempunyai kelebihan dalam harta intelek di industri-industri ini. Dengan ekosistem sedia ada, Malaysia hanya dapat menjadi pelengkap industri ini dengan menjadi pembekal komponen nilai rendah kepada rantaian nilai global. Pembekal sebegini seringkali terpaksa mengurangkan harga komponen dengan mengurangkan gaji kepada pekerja mereka supaya mendapat kontrak penghasil besar yang mengaut keuntungan besar.
Langkah-langkah ini tidak lain daripada kerajaan-kerajaan sebelum ini yang membangunkan ekosistem industri tempatan supaya pelabur swasta dapat mengaut keuntungan yang tinggi. Kebergantungan kepada pelabur sebegini difikirkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan untuk pekerja Malaysia serta mengembangkan ekonomi. Akan tetapi, mereka hanya inginkan tenaga kerja dan rantaian bekalan murah untuk menjana keuntungan tinggi yang disalurkan kepada para pemegang saham kapitalis, bukannya rakyat jelata.
Adalah lebih baik jika kerajaan membina rantaian bekalan menyeluruh untuk sesuatu industri yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan supaya keuntungannya dapat disalurkan kepada rakyat secara terus. Daripada bergantung kepada sektor swasta, kerajaan dapat menggunakan rantaian bekalan ini untuk mewujudkan pekerjaan untuk rakyat bergaji bermaruah. Ini dapat mengurangkan kadar pengangguran dan ketidakpadanan pekerjaan terutamanya dalam kalangan anak muda.
Tiada juga apa-apa peningkatan cukai korporat yang kian menurun daripada tahun 1970-an. Syarikat-syarikat besar menjana keuntungan untuk golongan kaya (T1) tanpa membayar cukai setimpal. Ini disebabkan oleh kebergantungan kepada sektor swasta juga yang perlu dikurangkan.
Malah sebagai pengerusi ASEAN, kerajaan ini gagal mendepankan isu penurunan cukai korporat ini dalam wilayah ASEAN. Sepatutnya, setiap negara ahli meningkatkan cukai korporat negara sendiri mengikut suatu kadar yang sama supaya lebih banyak hasil cukai dapat dikumpul dan tiada persaingan berlaku antara kita.
- Sistem Kesihatan Awam Masih Dianaktirikan
Walaupun peruntukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia ditingkatkan kepada RM46.5 bilion, jika dibanding dengan KDNK, jumlahnya menurun daripada 2.24 peratus kepada 2.19 peratus, jauh lebih rendah daripada lima peratus yang diperlukan mengikut sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Adakah usaha Dr Dzul mempopularkan Rakan KKM menjadi insentif kepada Kementerian Kewangan menurunkan peruntukan KKM?
PSM meraikan tumpuan penambahbaikan prasarana seperti Pusat Kanser Wilayah Utara di Kedah, blok tambahan baharu di beberapa hospital serta pembinaan 13 buah Klinik Kesihatan baharu. Walaupun begitu, pendekatan menyeluruh terhadap sistem kesihatan negara akan menidakkan apa-apa kesan positif yang mungkin timbul.
Masalah besar sistem kesihatan kita adalah kewujudan lebih banyak hospital swasta. Hospital-hospital ini menyebabkan lebih ramai doktor pakar keluar daripada hospital awam untuk menyertainya. Dianggarkan bahawa 70 peratus doktor pakar sekarang bersama hospital swasta tetapi 70 peratus pesakit di Malaysia memerlukan hospital awam. Sebab inilah PSM mengesyorkan suatu moratorium pembinaan hospital swasta supaya doktor pakar dapat kekal di hospital awam untuk memenuhi keperluan kebanyakan rakyat.
Tumpuan besar diberi kepada pengembangan caruman insurans kesihatan. RM60 juta dana bersama kerajaan dan industri disediakan untuk memperkenalkan produk insurans asas mampu milik dan melaksanakan Diagnosis Related Group (DRG). Pencarum KWSP juga boleh menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera untuk melanggan pelan asas insurans atau takaful perubatan dan kesihatan (MHIT).
Ini menunjukkan kerajaan Madani masih belum memandang kesihatan sebagai suatu hak asasi setiap manusia. Sepatutnya, tumpuan kerajaan patut mengembangkan fasiliti kesihatan awam serta memperkasakannya. Ini selari dengan impian memastikan semua lapisan masyarakat mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti dan berpatutan.
Akan tetapi, insurans kesihatan pula mengkomersialkan sistem kesihatan dengan memaksa rakyat biasa membayar lebih untuk mendapat penjagaan kesihatan yang diperlukan. Lama-kelamaan, dikhuatiri keseluruhan sistem kesihatan awam akan bergantung kepada pesakit yang mempunyai insurans kesihatan, menyebabkan pesakit lain kehilangan akses kepada penjagaan kesihatan.
Model ini seakan-akan sistem kesihatan di Amerika Syarikat yang selalunya menyebabkan para pesakit mendapat rawatan mengikuti apa yang syarikat insurans mereka bersetuju untuk membayar. Insurans kesihatan bukannya sesuatu yang diwujudkan untuk kebajikan orang ramai tetapi adalah suatu model menjana keuntungan.
Dalam pelbagai kes, syarikat insurans tidak bersetuju membayar kos rawatan tertentu, sekali gus menyebabkan pesakit itu membayarnya sendiri. Kos rawatan juga ditingkatkan pihak hospital untuk mengaut lebih banyak keuntungan daripada syarikat insurans. Daripada mewujudkan ekosistem insurans, lebih baik kerajaan menggunakan dana untuk memperkasakan sistem kesihatan awam.
- Kebajikan Rakyat Bergantung Kepada Bantuan Kerajaan Bukan Kemajuan Sistem
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rakyat (SARA) berkembang di dalam Belanjawan 2026. Sembilan juta penerima STR akan mendapat bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan, satu juta penerima STR di bawah e-Kasih menerima SARA sehingga 200 ringgit sebulan dan bujang menerima RM600 iaitu RM50 sebulan melalui SARA.
Walaupun membantu sedikit, jumlah yang diperuntukkan ini tidak memadai untuk kebanyakan rakyat yang memerlukannya. Jika dikaitkan dengan sistem ekonomi sedia ada yang bergantung kepada gaji rendah dan cukai korporat rendah untuk menarik pelabur swasta, kebajikan rakyat biasa hanya dapat ditingkatkan dengan perubahan sistem ekonomi secara menyeluruh.
Malah langkah paling efektif untuk meningkatkan pendapatan rakyat adalah meningkatkan gaji minimum yang tidak dinyatakan dalam belanjawan ini langsung. Dari segi kebajikan warga emas pula, PSM mengesyorkan skim Pencen Warga Emas berjumlah RM500 sebulan untuk setiap individu berusia 65 tahun ke atas yang tidak menerima mana-mana pencen lain. Ini lebih efektif daripada sistem STR dan SARA yang hanya lanjutan kepada skim BR1M daripada kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak.
- Sistem Pendidikan Berpaksi Kebolehpasaran Semata-Mata
Peruntukan untuk pendidikan sekali lagi tertinggi dalam Belanjawan 2026. Akan tetapi, falsafahnya dilihat tertumpu kepada melatih para pelajar dalam sektor-sektor tertentu. Disebabkan sektor-sektor ini, seperti AI, semikonduktor dan digital, kebanyakannya seakan-akan menyokong pelabur swasta sahaja, dilihat seperti wang rakyat digunakan utnuk menyediakan pekerja supaya pihak swasta dapat menjana keuntungan lebih.
Walaupun kerajaan menambah 1500 unjuran tempat bagi Ijazah Sarjana Muda dalam 10 bidang pengajian di lima universiti penyelidikan, berapa daripadanya akan diambil oleh pelajar membayar penuh? PSM berpandangan bahawa perlunya lebih banyak peruntukan tempat bagi pelajar lulusan STPM daripada pelajar membayar penuh. Kekurangan pendapatan universiti dapat ditampung dengan inisiatif dalam Belanjawan ini juga iaitu meningkatkan pengkomersialan hasil R&D universiti awam.
PSM juga telah memperjuangkan pendidikan percuma untuk semua pelajar dari prasekolah hingga ijazah pertama. Dalam Belanjawan ini, 5800 pelajar dari keluarga daif bakal diberi pendidikan tertiari percuma daripada pihak PTPTN. Ini adalah syor Pemuda Sosialis pada zaman Covid-19. Kami akan memantau perlaksanaan langkah ini supaya ianya dikembangkan pada tahun-tahun akan datang untuk semua pelajar.
- Pemerkasaan Tatakelola Tidak Mencukupi
Beberapa langkah yang diambil dalam Belanjawan ini dalam tekad meluhur tatakelola terbaik dilihat positif tetapi berpotensi bermasalah juga. Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya memang diperlukan, tetapi jikalau kedua-duanya dipilih oleh Perdana Menteri tiada gunanya. Perluasan MyDigital ID kepada 15 juta pengguna kemungkinan dapat menyelaraskan perkhidmatan kerajaan dalam talian, tetapi kepelbagaian aplikasi untuk perkhidmatan sebegini masih menjadi suatu isu serta prestasi kerajaan memastikan sekuriti maklumat yang dimuatnaik terjamin tidak memuaskan.
Lebih daripada ini, ketirisan tidak begitu ditumpu dalam belanjawan ini. Mengikut laporan Ketua Audit Negara, dianggarkan 10% jumlah belanjawan dibazirkan melalui kontrak yang terlalu mahal, ketidakcekapan dan sumber pembaziran lain. PSM mengesyorkan pemantapan Jabatan Audit Negara dengan perkembangan bidang kuasa Ketua Audit Negara menyiasat jabatan dan badan lain di mana ketirisan dijumpai. Selain ini, pendekatan terhadap definisi rasuah perlu mengambil kira aspek pengauditan juga, di mana setiap individu, khususnya ahli politik, yang mempunyai aset melebihi jumlah pendapatan mereka perlu disiasat akan sumber aset tersebut.
Tuntasnya, Belanjawan 2026 adalah hanya melanjutkan kemerosotan keadaan rakyat biasa diakibatkan sistem kapitalisme. Kerajaan Madani mahupun mana-mana parti politik arus perdana lain tidak akan dapat menjana idea baharu yang sememangnya diperlukan rakyat. Rakyat biasa perlu lebih cakna akan idea-idea ini untuk memperjuangkannya supaya diambil sebagai arus perdana
Arveent Kathirtchelvan, Penyelaras Biro Kajian Dasar dan Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia