PUTRAJAYA: Pembahagian tugas antara agensi penguatkuasaan diperkemas bagi meningkatkan keberkesanan operasi membanteras penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, di bawah penyelarasan baharu itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguruskan penguatkuasaan di bahagian darat, manakala Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bertanggungjawab di kawasan perairan serta sungai.
Manakala, katanya, kawasan sempadan pula sedang diperincikan dengan cadangan untuk diselia oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
“Mesyuarat Jemaah Menteri juga telah diberi sedikit maklum balas mengenai mesyuarat yang diadakan oleh jawatankuasa penguatkuasaan, terutama dalam usaha menangani masalah penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak.
“Antara yang telah diberi penegasan adalah mekanisme Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang mungkin perlu diteliti dengan lebih rapi, sama ada diteruskan dengan mekanisme sedia ada ataupun dirangka satu mekanisme yang berbeza,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini semalam.
Beliau berkata, antara isu yang turut dibangkitkan termasuklah penyalahgunaan, penyelewengan serta penjualan diesel yang mungkin berlaku dengan isu tersebut sedang ditangani oleh jawatankuasa berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta semua menteri untuk lebih proaktif dalam mengadakan sesi libat urus susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
“Ia seperti dilakukan Menteri Pengangkutan yang mengadakan perbincangan dengan sektor penerbangan yang mana kesan daripada apa yang sedang berlaku di Asia Barat telah memberi impak terhadap sektor tersebut.
“Apa yang akan dibuat selepas ini adalah mengumpulkan semua dapatan dan hasil daripada keseluruhan dapatan itu, secara keseluruhan (akan) memberi satu hala tuju untuk usaha dan inisiatif serta bantuan daripada kerajaan untuk sektor-sektor tertentu sekiranya itu dilihat perlu,” katanya.-UTUSAN










