Universiti Al-Quran di Pahang: Titik peralihan pendidikan Islam global

Universiti Al-Quran di Pahang: Titik peralihan pendidikan Islam global

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Persembahan Taklimat Penubuhan Universiti Al-Quran di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnipSAS) di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 8 September 2025, sejarah pendidikan Islam di Malaysia mencatat satu detik penting apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli ke Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) untuk mendengar taklimat berhubung penubuhan Universiti Al-Quran.

Peristiwa tersebut bukan sahaja menandakan sokongan institusi diraja terhadap pendidikan berteraskan wahyu tetapi juga memperkukuh aspirasi Pahang untuk menjadi pelopor dalam pendidikan al-Quran bertaraf dunia.

Penubuhan Universiti Al-Quran menjadi satu lagi mercu tanda baharu dalam sejarah negeri Pahang. Di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pahang sekali lagi membuktikan pembangunan negeri ini bukan sahaja tertumpu kepada ekonomi dan infrastruktur tetapi juga keutamaan kepada syiar Islam dan pembinaan tamadun ilmu.

Naib Canselor UniPSAS, Profesor Datuk Dr. Mohd. Zawavi Zainal Abidin memaklumkan, penubuhan Universiti Al-Quran sudah pun mendapat sokongan menyeluruh daripada istana, kerajaan negeri, warga universiti dan masyarakat umum.

Menurutnya, UniPSAS dijangka bertukar secara rasmi menjadi Universiti Al-Quran pada 1 Januari 2026, menjadikan Pahang sebagai negeri pertama di Malaysia dan mungkin di Asia serta dunia, yang memiliki institusi pengajian tinggi khusus berteraskan al-Quran.

Transformasi ini bukan sekadar penjenamaan semula tetapi satu lonjakan paradigma dalam pendidikan tinggi Islam. Fakulti Al-Quran dan Sunnah yang sedia ada akan diperkasakan dan pembangunan infrastruktur baharu dirancang bagi memartabatkan institusi ini sebagai pusat ilmu yang mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli.

Penubuhan Universiti Al-Quran melibatkan proses pelbagai peringkat, termasuk kelulusan daripada Jabatan Pengajian Tinggi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Namun dari sudut negeri, tiada halangan besar kerana ia sudah pun mendapat perkenan Sultan Pahang dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

Sokongan institusi diraja dalam hal ini amat signifikan. Ia bukan sahaja mempercepatkan proses kelulusan tetapi juga memberikan legitimasi moral dan simbolik kepada projek ini. Dalam konteks Malaysia, peranan institusi diraja dalam hal ehwal agama dan pendidikan Islam sering menjadi pemangkin kepada perubahan dasar yang berimpak tinggi.

IMPAK GLOBAL DAN ASPIRASI MASA HADAPAN

Penubuhan Universiti Al-Quran di Pahang berpotensi menjadi pencetus kepada gelombang baharu pendidikan Islam global. Dengan pendekatan holistik yang merangkumi kurikulum qiraat, tafsir, dakwah digital, kaunseling Islam, sains sosial dan teknologi maklumat, universiti ini dijangka melahirkan graduan profesional Muslim yang menjadikan al-Quran sebagai asas pemikiran, akhlak dan amal.

Lebih daripada itu, ia membuka ruang kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang integrasi ilmu naqli dan aqli, yang selama ini menjadi cabaran utama dalam pendidikan Islam kontemporari. Jika dilaksanakan dengan teliti, Universiti Al-Quran ini boleh menjadi pusat rujukan antarabangsa dalam bidang pendidikan berteraskan wahyu.

Walaupun kampus UniPSAS sedia ada akan menjadi tapak awal Universiti Al-Quran, pembangunan infrastruktur baharu amat diperlukan. Bangunan-bangunan yang bersesuaian perlu dibina untuk menampung keperluan akademik, penyelidikan dan kehidupan pelajar. Ini memerlukan peruntukan pembangunan yang signifikan, sama ada daripada kerajaan negeri, kerajaan persekutuan atau dana wakaf dan zakat.

Dalam hal ini, pendekatan bersepadu antara sektor awam dan swasta boleh dipertimbangkan, termasuk kerjasama dengan institusi kewangan Islam dan badan-badan dakwah yang mempunyai kepentingan dalam pembangunan pendidikan Islam.

CABARAN DAN STRATEGI PELAKSANAAN

Antara cabaran utama ialah memastikan kurikulum yang dirancang benar-benar relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan. Ini termasuk memastikan pensyarah yang dilantik mempunyai kepakaran dalam bidang integrasi ilmu, serta membina ekosistem pembelajaran yang menyokong pemikiran kritis dan inovasi berasaskan al-Quran.

Strategi pelaksanaan juga perlu mengambil kira aspek tadbir urus universiti, termasuk autonomi akademik, pengurusan kewangan dan hubungan antarabangsa. Dalam era globalisasi, Universiti Al-Quran perlu bersaing dengan institusi lain dari Timur Tengah, Asia Selatan dan Eropah dalam menarik pelajar dan penyelidik.

 

AL-QURAN ASAS PEMBANGUNAN UMMAH

Penubuhan Universiti Al-Quran ini bukan sekadar projek akademik tetapi juga manifestasi kecintaan terhadap al-Quran sebagai asas pembangunan ummah. Ia menyentuh dimensi spiritual, sosial dan budaya masyarakat Islam di Malaysia dan rantau ini. Dalam konteks Pahang, ia menjadi lambang komitmen negeri terhadap nilai-nilai Islam yang progresif dan inklusif.

Lebih penting, ia memberi harapan kepada generasi muda yang pendidikan Islam bukanlah sesuatu yang terpinggir tetapi boleh menjadi teras kepada pembangunan negara dan dunia.

Penubuhan Universiti Al-Quran ini sekali gus menolak dakwaan pihak tidak bertanggungjawab dan mempunyai agenda politik yang mendakwa pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang yang tidak Islamik.

Perkembangan Syiar Islam dalam pendidikan berteraskan al-Quran akan mengukuhkan penerapan nilai Islam dalam pentadbiran negeri selain memperkasakan modal insan yang menitikberatkan ilmu berteraskan Islam dan sahsiah diri.

Melalui institusi berteraskan al-Quran, pelbagai program akademik dan penyelidikan dijalankan untuk melahirkan modal insan yang berakhlak mulia, berilmu tinggi, dan berdaya saing. Dengan terbinanya Universiti Al-Quran ini juga akan menekankan integriti, keadilan serta ihsan jelas mencerminkan penerapan nilai-nilai Islam dalam tadbir urus kerajaan negeri.

Usaha ini memperlihatkan bahawa pembangunan material dan rohani boleh bergerak seiring, sekali gus mengangkat martabat negeri sebagai contoh pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Wan Rosdy berteraskan Islam yang inklusif, progresif dan berpandangan jauh.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN