Peranan Pengakap dalam Malaysia Merdeka

Peranan Pengakap dalam Malaysia Merdeka

PENGAKAP di negara ini menyambut usia 117 tahun sejak mula bergerak aktif pada 1908 di Pulau Pinang dan pada 1909 di Victoria Institution, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
HARI ini, pergerakan pengakap di negara ini menyambut usia 117 tahun sejak mula bergerak aktif pada 1908 di Pulau Pinang dan pada 1909 di Victoria Institution, Selangor.

Sejak itu, pengakap berkembang sebagai salah satu badan beruniform yang paling terkemuka dan berpengaruh di negara ini. Kini, pengakap mempunyai lebih 300,000 ahli berdaftar yang aktif di seluruh negara.

Ketua Pengakap Malaysia, MEJAR JENERAL (B) PROFESOR DATUK DR. MOHD. ZIN BIDIN menyifatkan, pergerakan pengakap bukan sekadar aktiviti kokurikulum di sekolah, malahan merupakan salah sebuah badan beruniform yang terbesar di dunia. Pengakap juga telah terbukti dapat melahirkan pemimpin-pemimpin besar yang banyak berjasa dan menyumbang kepada negara.

Ikuti wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN dan jurufoto SHIDDIQIEN ZON sempena Hari Pengakap Malaysia.

UTUSAN: Apa signifikan sambutan Hari Pengakap Malaysia?
MOHD. ZIN: Sambutan Hari Pengakap Malaysia adalah satu penghargaan kepada perjalanan panjang pergerakan pengakap di negara kita.

Sambutan ini mengingatkan kita betapa pentingnya pergerakan pengakap dalam membentuk generasi muda yang berketerampilan dan bertanggungjawab. Tarikh 1 September ini menandakan penyerahan kepimpinan pergerakan pengakap daripada British kepada negara kita.

Sejak itu, pergerakan ini terus aktif dan didaftarkan di bawah Akta Parlimen, dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai penaung utama dan Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri sebagai penaung negeri.

Bagaimana perkembangan pengakap di Malaysia ketika ini?
Setakat 2024, Pengakap Malaysia mempunyai lebih 300,000 ahli berdaftar di seluruh negara. Kini, pada usia 117 tahun, aspirasi kami jelas iaitu untuk membentuk generasi muda yang berdisiplin, berjiwa sukarela, berwawasan global dan mampu menjadi pelapis kepimimpin negara.

Sebagai sebahagian daripada pelan strategik kami, Pengakap Malaysia akan terus melaksanakan program menarik dan mencabar, memantapkan sistem latihan serta memperkukuh kerjasama global. Usia yang panjang ini bukan sekadar lipatan sejarah, tetapi bukti bahawa pengakap kekal relevan dan akan terus menjadi peneraju agenda pendidikan tidak formal serta pembangunan belia di Malaysia.

Selain itu, Pengakap Malaysia turut giat melaksanakan usaha penyegaran jenama antaranya melalui pengenalan logo dan pakaian seragam baharu bagi memastikan pergerakan ini kekal relevan serta berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.

Logo baharu tersebut mengekalkan elemen klasik kepengakapan dunia, namun diberi sentuhan moden dengan warna serta bentuk melambangkan dinamika generasi muda.

Dari sudut tadbir urus, kita mesti mengekalkan integriti dan ketelusan. Pengakap Malaysia juga akan menjadi organisasi yang cekap dengan pelaksanaan standard antarabangsa ISO dan Global Support Assessment Tool (GSAT).

Kita turut proaktif dalam memainkan peranan mempersiapkan generasi muda bagi mendepani cabaran hari ini yang semakin kompleks.

Kita menghadapi kesan perubahan iklim dan kemerosotan biodiversiti yang semakin ketara, manakala isu kesihatan mental serta ketagihan gajet dan media sosial terus membimbangkan. Semua ini menuntut kita untuk lebih cekap, tangkas dan berdaya saing dalam mendepani masa depan yang semakin mencabar.

Justeru, Pengakap Malaysia tidak boleh berpuas hati dengan sekadar menjadi sebuah pertubuhan yang baik. Kita mesti berani menetapkan sasaran yang lebih tinggi, iaitu bergerak dari tahap baik kepada tahap hebat. From good to great.

Bagaimana dengan aktiviti pengakap tahun ini?
Pengakap Malaysia sentiasa aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti pada peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa. Antara aktiviti besar yang telah diadakan termasuk Forum Kerjasama peringkat Rantau Asia Pasifik, Asia-Pacific Regional Big 5 Summit dan Jambori Kebangsaan 2024.

Pada tahun ini, pelbagai aktiviti kepengakapan telah dan akan dilaksanakan di seluruh negeri dan daerah.

Kita juga telah melancarkan lencana kepandaian biodiversiti, jambori di udara dan jambori di dalam talian (JOTA JOTI) selain program bertaraf serantau seperti Asia-Pacific Regional Social Impact and Advocacy Workshop 2025, South-East Asia Scout Associations Cooperation (SEASARC) Meeting 2025 serta kursus Safe from Harm.

Tahun ini juga, bakal diadakan 77th World Baden-Powell Fellowship Event yang akan dirasmikan oleh Raja Sweden, Carl XVI Gustaf.

Bagaimana pengakap memainkan peranan dalam menanam semangat patriotisme di negara ini?
Elemen patriotisme sememangnya tertanam dalam diri ahli pengakap, bermula dari Persetiaan Pengakap yang kita pegang teguh. Dalam Persetiaan Pengakap, kita dengan sepenuh hati berjanji dan bersetia:

“Bahawa dengan sesungguhnya saya berjanji dan bersetia yang saya dengan seberapa daya upaya saya akan taat kepada Tuhan, Raja dan negara, menolong orang pada setiap masa, menurut undang-undang pengakap.”

Selain itu, dalam Undang-undang Pengakap, terdapat banyak elemen patriotisme yang ditekankan untuk memupuk semangat patriotisme.

Contohnya, pada Undang-undang Kedua iaitu ketaatan kepada pemimpin manakala Undang-undang Ketujuh adalah menurut perintah. Undang-undang Keempat pula adalah bersaudara dengan semua ahli pengakap.

Adakah kedudukan ibu pejabat Pertubuhan Pengakap Sedunia (WOSM) yang berpusat di Kuala Lumpur satu pengiktirafan besar kepada negara?
Perjalanan Pengakap Malaysia dengan gerakan kepengakapan dunia amat erat. Sejak tahun 2014, Malaysia telah menjadi tuan rumah bagi Ibu Pejabat Dunia Persekutuan Pengakap Sedunia (WOSM), yang berpindah dari Geneva, Switzerland ke Kuala Lumpur.

Ini menjadikan Malaysia sebagai pusat pentadbiran bagi sebuah pergerakan belia terbesar di dunia yang menghimpunkan lebih 60 juta ahli pengakap dari 174 negara.

Malaysia kini menjadi tumpuan pergerakan pengakap pelbagai negara, dengan mesyuarat-mesyuarat antarabangsa dan bahan-bahan bacaan penting yang dikeluarkan dari ibu pejabat WOSM di Kuala Lumpur.

Visi WOSM adalah untuk menjadi pergerakan belia yang paling menginspirasi dan inklusif, memberikan pengalaman pembelajaran bermakna kepada setiap anak muda. Visi ini sejajar dengan aspirasi Malaysia dalam melahirkan belia yang berdaya saing, berdisiplin, bersemangat dan mampu memimpin di masa hadapan.

Pelan Pembangunan Dunia WOSM, World Triennial Plan 2024–2027, memberi penekanan kepada pendidikan yang inovatif, kepelbagaian, keselamatan, kebajikan, serta kelestarian alam sekitar, yang mana semua ini selari dengan agenda Malaysia dalam membina masyarakat yang inklusif, aman dan lestari.

Apakah yang perlu dilakukan untuk memantapkan lagi pergerakan pengakap di negara ini?
Pertama sekali, kami amat menghargai sokongan berterusan Kementerian Pendidikan. Namun untuk memperkukuh peranan pengakap, ada beberapa perkara yang kami usulkan:

Pengenalan pengakap untuk kanak-kanak prasekolah seawal usia lima tahun
Memperkenalkan program pengakap kepada kanak-kanak seawal usia lima tahun (Pengakap Lebah) akan memberi asas kukuh dalam pembentukan sahsiah, nilai positif dan kemahiran kepimpinan. Langkah ini selari degan pendekatan masa kini yang mengutamakan perkembangan pendidikan seawal mungkin.

Penyertaan murid Tahun Satu dalam pergerakan pengakap
Malaysia disarankan mempertimbangkan penyertaan murid seawal Tahun Satu dalam gerakan pengakap sebagai usaha awal memupuk nilai kepimpinan, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan generasi muda.

Penambahan masa aktiviti pengakap di sekolah
Dengan menambah tempoh masa aktiviti kokurikulum di sekolah, pelajar akan memperoleh lebih banyak peluang untuk menyertai program secara aktif, yang seterusnya dapat meningkatkan keterampilan diri, kepimpinan dan kesedaran sivik mereka. Ketika ini, masa yang diperuntukkan hanyalah dua jam seminggu. Perkara ini menghalang ahli-ahli pengakap mencapai kemajuan dan peningkatan lencana yang diperlukan.

Pemilihan pemimpin pengakap yang berkelayakan dan berkomitmen
Pada masa ini, pemilihan pemimpin pengakap dibuat secara rambang. Kami berharap pihak Kementerian dapat memastikan pemilihan pemimpin pengakap yang berkelayakan, komited dan bersemangat untuk membimbing golongan muda ke arah kejayaan. Pemimpin pengakap perlu menghadiri kursus yang berkaitan untuk menambah ilmu dan kemahiran dalam pengakap.

Hari Sabtu sebagai Hari Latihan Kokurikulum
Hari Sabtu perlu dijadikan hari khas untuk aktiviti kokurikulum seperti pengakap. Pendekatan ini, pernah dilaksanakan pada tahun 1970-an hingga tahun 2000 dan terbukti berkesan dalam menggalakkan penglibatan pelajar secara intensif dalam aktiviti kokurikulum.

Benarkan pelajar yang berminat untuk menyertai pengakap
Pada masa ini, terdapat kuota 30 pelajar setiap sekolah untuk menyertai pengakap. Justeru, adalah wajar jika kuota ini dapat dikaji semula. Langkah ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk menyertai aktiviti yang mereka minati, sambil mendukung perkembangan sahsiah dan kepimpinan diri mereka.

Integrasi markah dengan sistem kemajuan lencana pengakap
Sistem Kemajuan Lencana Pengakap dengan Program Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) perlu diintegrasikan dengan menjadikan aktiviti pengakap lebih tersusun dan berimpak tinggi, selari dengan program khas kepengakapan seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Pengakap Digital dan Alam Sekitar.

Harapan kepada 300,000 ahli pengakap di negara ini?
Harapan saya kepada lebih 300,000 ahli pengakap di seluruh negara adalah agar mereka terus berpegang pada prinsip asas kepengakapan, iaitu membentuk diri menjadi individu yang berdisiplin, berwawasan dan sentiasa memberi manfaat kepada masyarakat.

Ahli pengakap bukan hanya sekadar ahli dalam sebuah pergerakan beruniform, tetapi mereka adalah aset berharga negara yang akan membentuk kepimpinan masa depan.

Saya mahu setiap ahli menjadikan nilai kejujuran, tanggungjawab, kepedulian dan keberanian sebagai panduan hidup.

Dalam dunia yang semakin mencabar, generasi muda perlu lebih cekal dan bijak dalam memanfaatkan ilmu serta kemahiran untuk menghadapi cabaran zaman.

Sebagai Ketua Pengakap Negara, saya berharap ahli-ahli pengakap dapat menjadi benteng dalam mengurangkan gejala sosial, menjadi ejen perpaduan dalam masyarakat majmuk serta menyumbang kepada keharmonian dan kesejahteraan negara.

Akhir sekali, saya mahu melihat setiap ahli pengakap berbangga dengan identiti mereka, menjadikan kepengakapan sebagai gaya hidup yang membentuk sahsiah mulia dan menjadikan mereka pemimpin yang mampu membawa Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang di persada dunia.

Marilah bersama-sama memastikan organisasi Pengakap Malaysia bergerak dari tahap baik kepada tahap hebat.

Ini adalah matlamat kita, iaitu untuk terus berkembang, memperkasa diri, dan memberi impak yang lebih besar kepada negara dan dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN