BUDI95: Antara perlindungan awam dan penjimatan fiskal - Utusan Malaysia

BUDI95: Antara perlindungan awam dan penjimatan fiskal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU subsidi petrol merupakan topik kompleks dan sering menjadi perdebatan utama dalam kalangan penggubal polisi, ahli ekonomi, dan masyarakat awam di Malaysia dan negara ASEAN.

Pengurusan isu ini tidak hanya memerlukan pemahaman mendasar tentang mekanisme subsidi, tetapi juga penilaian kritikal terhadap impaknya dari pelbagai perspektif, termasuk ekonomi, sosial, dan alam sekitar, serta sintesis penyelesaian inovatif yang dapat menangani cabaran-cabaran yang wujud.

Malaysia secara tradisional telah mengekalkan subsidi petrol yang tinggi sebagai satu mekanisme untuk mengekalkan kos sara hidup yang rendah dan memberikan bantuan kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Namun, subsidi ini telah membebankan kewangan kerajaan, dengan peruntukan belanja besar yang boleh dialihkan kepada bidang lain seperti pendidikan, kesihatan, dan infrastruktur. Berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, Malaysia mempunyai struktur subsidi lebih kukuh tetapi juga lebih sukar untuk dirombak akibat persepsi rakyat yang sudah sebati. Di Indonesia, sebagai perbandingan, telah melaksanakan reformasi subsidi yang agak berjaya.

Kerajaan Indonesia secara beransur-ansur mengurangkan subsidi bahan api dan pada masa sama melancarkan program bantuan sosial seperti Bantuan Langsung Tunai (BLT) untuk meringankan beban golongan miskin.

Langkah ini memerlukan keberanian politik yang tinggi tetapi akhirnya berjaya mengurangkan tekanan terhadap belanjawan negara dan menggalakkan peralihan kepada tenaga yang lebih cekap.

Namun, dari sudut struktur sosio ekonomi, kesenjangan kaya miskin semakin melebar dan akhirnya tercetuslah konflik baru-baru ini. Berlainan pula di Thailand yang menggunakan pendekatan lebih liberal dalam harga petrol, dengan turun naik harga yang lebih mencerminkan pasaran global.

Walaupun ini menyebabkan harga petrol lebih tinggi berbanding Malaysia, kerajaan Thailand memberikan subsidi secara lebih tertumpu kepada kumpulan sasaran seperti pengguna pengangkutan awam dan petani. Thailand juga mewujudkan Oil Fuel Fund yang diuruskan oleh jawatankuasa kerajaan. Dana ini berfungsi sebagai mekanisme penstabilan, bukan subsidi penuh. Negara itu juga mewujudkan jaringan keselamatan yang kukuh dan disasarkan kepada kumpulan yang paling terjejas oleh kenaikan harga.

Dari sudut ekonomi, subsidi petrol sering dianggap tidak cekap. Subsidi ini menggalakkan penggunaan berlebihan, menyumbang kepada kesesakan lalu lintas, pencemaran alam sekitar, dan mengurangkan insentif untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu, subsidi cenderung menguntungkan golongan berpendapatan tinggi yang memiliki lebih banyak kenderaan dan menggunakan lebih banyak petrol, sedangkan golongan miskin mungkin tidak memiliki kenderaan langsung atau menggunakan pengangkutan awam.

Namun, dari perspektif sosial, penghapusan subsidi secara mendadak boleh menimbulkan kenaikan kos sara hidup yang ketara, menyebabkan inflasi, dan mencetuskan bantahan awam, seperti yang pernah berlaku di beberapa negara. Maka, penting untuk menilai kesan sosial terhadap golongan rentan, termasuk kesediaan sistem bantuan sosial sedia ada untuk menampung peralihan ini. Kerajaan perlu menilai siapakah golongan paling terjejas dan bantuan sosial perlu diberikan secara terus.

Langkah menetapkan harga pada RON 95 pada RM1.99 dan 300 liter untuk warganegara ini secara rasionalnya bertujuan mengimbangi antara perlindungan awam dan penjimatan fiskal.

Dengan mengekalkan harga pada tahap yang rendah, kerajaan melindungi majoriti rakyat, khususnya golongan B40 dan M40, daripada terkesan dengan kenaikan harga minyak global selain membantu mengekalkan kos sara hidup dan mengawal inflasi kerana pengangkutan dan logistik sangat bergantung kepada harga minyak.

Had 300 liter pula boleh mencegah penyalahgunaan dan pembaziran, terutamanya oleh pemilik kenderaan mewah atau mereka yang sering memandu jarak jauh tanpa keperluan mendesak.

Namun, had 300 liter dianggap tidak realistik bagi sesetengah pengguna, seperti yang tinggal di luar bandar dengan pengangkutan awam terhad, atau pesara yang sering bergerak melawat keluarga.

Bagi yang bekerja di bandar-bandar satelit, had ini pasti membebankan golongan pekerja. Mereka terpaksa bergerak jauh kerana kos perumahan yang tinggi misalnya yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi menetap di kawasan Nilai dan Seremban.

Begitu juga yang bekerja di Negeri Sembilan tetapi menetap di Melaka. Perpindahan kawasan perumahan bukanlah mudah kerana faktor tempat persekolahan anak, pejabat pasangan dan tanggungjawab menjaga ibu bapa.

Lumrahnya, golongan ini akan amat terkesan apabila had 300 liter habis mereka perlu membayar pada harga pasaran yang dijangkakan pada kadar RM 2.60 dan pastinya akan ada turun naik mengikut nilai pasaran global.

Langkah kerajaan menetapkan harga RON95 pada RM1.99 dengan had 300 liter adalah wajar untuk jangka pendek, tetapi tidak mencukupi untuk jangka panjang. Kerajaan perlu meningkatkan kecekapan pengangkutan awam dan menyediakan alternatif tenaga lestari bagi memastikan kestabilan harga minyak tanpa membebankan belanjawan negara. Kerajaan perlu mempromosikan bahan api alternatif bagi memberikan pilihan yang lebih murah kepada pengguna.

Promosi agresif dalam menggalakkan penggunaan biofuel, terutamanya gasohol (petrol dicampur dengan etanol) yang biasanya dijual pada harga lebih rendah daripada petrol tulen RON 95, memberikan pilihan lebih murah kepada pengguna dan mengurangkan permintaan terhadap petrol import.

Ini juga menyokong sektor pertanian tempatan seperti petani tebu dan ubi kayu yang menghasilkan etanol. Namun perlu bergerak seiring dengan Dasar Automatif Negara bagi memastikan alam sekitar terjamin keselamatannya.

Akhirnya, komunikasi kerajaan yang telus dan pendidikan awam mengenai harga minyak global amat penting untuk mengelakkan ketidakpuasan hati rakyat. Reformasi yang holistik harus menjamin kestabilan tanpa membebankan rakyat.

DR. MOHD. RAMLAN MOHD. ARSHAD ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seremban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN