KENYATAAN kepimpinan masyarakat Cina bahawa perpaduan negara masih rapuh amat bertepatan. Ia dibuat susulan beberapa insiden mutakhir ini yang menunjukkan ketegangan yang ketara dalam hubungan etnik antara Melayu dan Cina.
Hakikatnya, hubungan etnik Melayu-Cina di Semenanjung, khususnya, tidak pernah benar-benar harmoni sejak awal lagi. Ketegangan ini dapat dikesan seawal kemasukan beramai-ramai kaum itu oleh penjajah British demi memenuhi kepentingan ekonominya.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Antaranya berkait rapat dengan etnik Cina itu sendiri, khususnya kelompok yang dibawa masuk secara beramai-ramai.
Berbeza dengan etnik Cina yang datang ke Tanah Melayu secara sukarela dalam kumpulan kecil sejak sebelum era penjajahan British. Kelompok yang datang secara beramai-ramai ini dilihat ‘liat’ untuk berintegrasi ke dalam struktur sosiobudaya Melayu sebagai masyarakat asal dan tuan tanah di negara ini.
Sementara kumpulan kecil etnik Cina pula bukan sahaja berintegrasi dengan baik, malah ikut berasimilasi ke dalam masyarakat Melayu. Antaranya terdapat di Melaka, Kelantan dan Terengganu.
Dalam hal ini, etnik Cina tersebut menjadikan budaya Melayu sebagai sebahagian daripada amalan hidup harian. Meskipun begitu, mereka tidak pernah berasa malu, apatah lagi terhina, dengan identiti sebagai etnik Cina yang turut diperkaya dengan warisan budaya Melayu.
Perkara seperti ini langsung tidak berlaku dalam kalangan etnik Cina yang dibawa masuk secara beramai-ramai. Sebaliknya, mereka cenderung menganggap tanah yang mereka diami seperti negara asal, iaitu China. Dengan kata lain, mereka berusaha untuk membentuk kehidupan di bumi Melayu-Islam ini agar menyerupai keadaan di tanah besar China.
Seiring dengan pemikiran tersebut, mereka menubuhkan sekolah-sekolah yang pada peringkat awalnya menggunakan bahan pendidikan yang diambil terus dari China, termasuk kurikulum, sukatan pelajaran dan buku teks.
Malah, seiring masa, pembaharuan sistem pendidikan di China terus mempengaruhi perkembangan pendidikan Cina di negara ini, sehingga menjadikan aliran tersebut tidak selari dengan aspirasi pendidikan nasional berteraskan acuan bumi Melayu-Islam.
Hal ini bertukar apabila penjajah Inggeris mendapati kemudaratan daripada pendidikan Cina ini perlu diatasi segera. Dengan ini, sekolah Cina mula dipantau dan buku teks baharu yang lebih sesuai dengan keperluan negara ini sahaja boleh diguna pakai. Ini kerana kandungan politik pada kurikulum sebelum campur tangan Inggeris didapati mudarat sekali.
Sehubungan ini, ia tidak mungkin boleh menjadikan etnik Cina setia kepada negara ini, khususnya semasa penjajahan Inggeris dan juga selepas negara ini mencapai kemerdekaan.
Bagi menanganinya, penjajah Inggeris berikhtiar untuk menghapuskan pendidikan vernakular bukan Melayu, termasuklah Tamil. Sebagai gantinya, hanya sistem persekolahan yang menggunakan bahasa Inggeris dan Melayu sahaja dibenarkan.
Hasrat penjajah Inggeris didapati kesampaian apabila Ordinan Pendidikan 1952 hanya mengiktirafkan sekolah kebangsaan aliran bahasa Inggeris dan Melayu sebagai normanya dalam sistem pendidikan negara. Manakala sekolah vernakular bukan Melayu tidak termasuk ke dalamnya.
Pun begitu, semua ini berubah dengan penggubalan Akta Pendidikan 1961. Ia mengiktiraf sekolah vernakular bukan Melayu pada tahap sekolah rendah sahaja. Dengan ini, sekolah aliran bahasa Cina mula berkembang pesat dan terus maju sehingga kini, dengan bilangan yang signifikan besar.
Kini sekitar lebih daripada 95 peratus anak Cina belajar di sekolah vernakular Cina sekali gus berpengetahuan bahasa Mandarin secara formal. Keadaan begini menjadikan etnik Cina bukan sahaja taasub dengan hanya bahasa Cina tetapi budaya Cina yang totok sahaja.
Dengan ini, mereka ini mengukur legitimasi kecinaan walaupun di bumi Melayu-Islam, dengan pengetahuan, malah penguasaan yang tinggi terhadap bahasa Cina sahaja.
Seterusnya, budaya Cina totok dijadikan sebagai kayu ukur untuk menentukan sama ada seseorang Cina Malaysia itu boleh dianggap sebagai benar-benar Cina, yakni yang tulen dan totok ataupun tidak.
Dengan cara begini, ia memberi gambaran etnik Cina Malaysia masih tidak mahu memutuskan hubungan dengan tanah asal. Hubungan ini bukan sahaja mahu terus dikekalkan seerat-eratnya, juga seutuh-utuhnya, sebagai diaspora Cina di luar China.
Inilah antara masalah daripada etnik Cina yang dimaksudkan itu. Ia tidak lain tidak bukan emosi kuat kepada bahasa dan budaya Cina walaupun sudah lama terpisah secara fizikalnya dari negara asal.
Sesungguhnya emosi kuat ini tidak dapat dinafikan banyak mempengaruhi cara kehidupan mereka yang tidak sepatutnya dilakukan di bumi Melayu-Islam ini. Ia didapati negatif sehingga boleh dianggap sebagai tidak nasional dan kekadang antinasional.
Hal ini demikian kerana, disebabkan oleh sikap negatif yang berpunca daripada emosi yang kuat, etnik Cina masih belum benar-benar tercantum, apatah lagi berakar umbi, dalam struktur sosiobudaya Melayu selaku tuan tanah negara ini.
Sepatutnya, setelah diterima sebagai warganegara sewaktu kemerdekaan dahulu dan setelah melalui beberapa generasi sehingga kini, etnik Cina sudah pun terintegrasi secara wajar ke dalam bahasa dan budaya Melayu.
Namun, ia jauh panggang daripada api, iaitu jauh daripada yang boleh diharapkan. Sebenarnya penerimaan bahasa dan budaya Melayu oleh etnik Cina merupakan penghormatan paling asas daripada mereka kepada etnik Melayu selaku tuan milik tempat ini. Malang sekali ia tidak mampu pun dilakukan setelah sudah sekian lama tinggal di bumi Melayu-Islam ini.
Ini antaranya adalah kerana keangkuhan, malah cauvinisme mereka yang sangat taasub kepada bahasa dan budaya Cina tanpa mengira di mana berada. Dengan sikap angkuh dan cauvinis begini, etnik Cina menuntut dan dengan keras pula pada satu ketika dahulu untuk bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi bersama di negara ini.
TIDAK MENGHORMATI KONTRAK SOSIAL
Kini dengan sikap sama, mereka menuntut pula agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf.
Walaupun belum lagi berani dinyatakan secara meluas, etnik Cina percaya bahasa dan budaya Cina adalah jauh lebih berkuasa, berprestij selain banyak glamornya daripada bahasa dan budaya Melayu.
Dengan ini, bagi mereka bahasa dan budaya Cina mempunyai lebih banyak impak dan nilai daripada bahasa dan budaya Melayu.
Amat tidak tepat penggunaan bahasa dan budaya Cina dianggap sebagai satu- satunya pengukur moraliti untuk etnik Cina Malaysia. Ini kerana kecinaan etnik Cina Malaysia setelah mereka sendiri bersetuju dalam Kontrak Sosial yang sebenarnya Perjanjian Etnik 1955, tidak boleh lagi sesekali bersifat sebegitu, iaitu totok dan cauvinis Cina.
Sebaliknya moraliti itu pertamanya wajib mengandungi unsur Melayu. Ini bukan sahaja tepat dengan filsafat peribahasa Melayu, ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’, iaitu keperluan mematuhi kelaziman tempat di mana kita berada. Juga ia menghormati Kontrak Sosial untuk menjadi sahabat kepada etnik Melayu sebagai tuan punya bumi Melayu-Islam ini.
Sesungguhnya menjadi kewajipan sivik etnik Cina untuk berbahasa Melayu dengan baik dan mempunyai pengetahuan sebegitu juga terhadap budaya Melayu. Ini kerana bukan sahaja mereka tinggal di Malaysia tetatpi juga harus berfungsi dengan baik semasa di bumi ini.
Demi perpaduan negara yang erat lagi utuh, ia tuntutan wajar untuk kesejahteraan semua di bumi Melayu-Islam yang bertuah ini.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










