SUASANA politik Sabah kembali hangat dengan desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini bukan sekadar bualan di warung kopi dan kedai kopitiam di Menggatal serta pekan Tuaran, tetapi turut menjadi tumpuan pentadbiran pusat di Putrajaya.
Spekulasi mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mencerminkan ketidaktentuan dinamik politik semasa, sekali gus memperlihatkan kekecewaan rakyat terhadap janji-janji yang gagal ditunaikan sepenuhnya.
Sabah merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia dengan kepelbagaian etnik dan budaya yang kaya, sering terjerat dalam naratif politik bersifat bersiri seperti drama bersiri yang tidak tahu bila kesudahannya.
Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara mengejut sering kali berpunca daripada kejadian lompat parti yang berlaku secara konsisten, sekali gus menyebabkan perubahan mendadak dalam gabungan kerajaan negeri.
10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar parti asal sejak PRN Sabah ke-16 pada 2020 menandakan krisis kepercayaan rakyat yang semakin menebal. Perkara yang paling membimbangkan bukanlah bilangan parti yang bergabung tetapi rakyat yang masih huru-hara dengan keperluan asas seperti bekalan air tidak cukup, jalan raya, bekalan elektrik selalu terpadam dan pendidikan.
Antara daerah seperti Pitas, Telupid atau Nabawan, sebahagian besar penduduk masih hidup dalam keadaan infrastruktur yang tidak setanding dengan status Sabah sebagai negeri pengeluaran minyak dan gas utama negara.
Laporan Kementerian Ekonomi pada tahun 2023 menunjukkan penyusutan sebanyak 40 peratus, khususnya di kawasan luar bandar yang masih belum mencapai tahap kecekapan optimum, antaranya disebabkan bekalan air yang tidak stabil.
Pelajar sekolah pedalaman perlu meredah lumpur dan sungai demi mendapatkan pendidikan asas. Ini berlaku di kawasan pedalaman seperti Tongod, Pensiangan, Kuamut dan Paitan.
RAKYAT BERSUARA
Sabah dijadikan sebagai ‘bahan makmal politik’ sejak sekian lama. Kejadian lompat parti atau lompat katak menjadi bahan resepi utama dalam membentuk kerajaan. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, tiga kerajaan dibentuk tanpa satu pun yang berjaya menamatkan penggal dengan stabil.
Keadaan ini menjadikan rakyat Sabah semakin sinis terhadap proses demokrasi.
Pengundi muda di Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dilihat mahukan perubahan kepimpinan, dengan harapan pemimpin baharu yang dipilih mampu melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berintegriti dan berkesan.
Secara realitinya, bukan hanya pengundi pasif yang semakin menyuarakan tuntutan, tetapi golongan muda Sabah kini mendesak pemimpin yang benar-benar memahami isu akar umbi. Ia termasuk dalam hal-hal memelihara tanah adat, pembangunan berasaskan komuniti, hingga ke tuntutan Perjanjian
Malaysia 1963 (MA63) yang masih belum dipenuhi sepenuhnya.
MA63, yang menjadi asas penyertaan Sabah dalam pembentukan Persekutuan Malaysia, sering diangkat sebagai tema utama dalam kempen politik. Namun, pelaksanaannya masih samar, terutama berkaitan peratus royalti minyak, pengurusan pendidikan dan hak tanah adat yang masih belum jelas statusnya. Oleh itu, harapan rakyat Sabah tertumpu kepada pemimpin yang berani menuntut hak negeri secara konsisten dan bermaruah.
Sebagai kesimpulannya, PRN bakal menjadi penentu sama ada Sabah akan terus berada lingkaran tidak produktif atau bangkit sebagai negeri contoh.
Rakyat Sabah mahu pemimpin yang berani menolak parti politik sogokan, menamatkan budaya politik dua muka dan mengangkat suara orang muda, petani, nelayan serta komuniti asal sebagai sebahagian dasar pembangunan.
Harapan rakyat Sabah sangat jelas bukan kepada janji kosong tetapi kepada tindakan yang mampu menyelesaikan.
Sabah tidak meminta bulan dan bintang. Cukuplah dengan pemimpin yang mampu menyediakan bahan asas seperti air bersih yang cukup, sekolah selamat dan jalan raya yang tidak memakan tayar setiap minggu.
Politik baharu mesti kelahiran yang ikhlas dan bukan kuasa kultus. – UTUSAN
DR. Yusry Sulaiman ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian, Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).










