ISU buli di sekolah bukanlah perkara baharu, namun kebelakangan ini ia semakin mendapat perhatian serius selepas beberapa insiden tular yang menggoncang emosi masyarakat.
Menjelang 31 Ogos, tragedi buli yang didakwa meragut nyawa Zara Qairina menjadi peringatan bahawa kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi juga merdeka daripada budaya negatif yang mengekang jati diri generasi muda dan bebas daripada ketakutan dan kezaliman sesama sendiri.
Buli adalah belenggu moden yang mengekang potensi anak bangsa daripada berkembang sebagai insan merdeka, berani dan berharga.
Peristiwa ini bukan sekadar meragut masa depan seorang anak, malah meninggalkan luka emosi mendalam kepada keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.
Lebih menyedihkan, ia berlaku ketika rakyat Malaysia sedang membuat persiapan meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-68 iaitu detik yang seharusnya dipenuhi rasa kebanggaan, keharmonian dan keamanan.
Peristiwa ini bukan sekadar kes terpencil, tetapi cerminan luka dalam budaya pendidikan yang harus dirawat segera.
Apalah ertinya kemerdekaan jika anak-anak kita masih terpenjara dalam ketakutan di sekolah, dan dibelenggu dalam penderitaan dan kezaliman sesama rakan sebaya?
Buli bukan sekadar perbuatan nakal tetapi mampu meragut maruah, melemahkan keyakinan diri, dan meninggalkan trauma seumur hidup.
Malah, apabila budaya sekolah gagal menegakkan disiplin atau membiarkan tingkah laku agresif tanpa tindakan tegas, maka budaya ini terus merebak.
Budaya ini melahirkan generasi yang tidak berdaya saing dan penuh ketakutan.
Selagi budaya buli dibiarkan, selagi itulah roh merdeka tidak benar-benar meresap ke dalam jiwa bangsa.
Kemerdekaan sepatutnya melahirkan generasi berani, berempati dan bersatu padu.
Peranan ibu bapa dan keluarga
Oleh yang demikian peranan ibu bapa sangat penting kerana mereka adalah pendidik utama dan benteng pertama melawan buli dalam membentuk sahsiah anak dan mendidik anak-anak sebelum mereka melangkah ke sekolah atau ke asrama.
Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan oleh ibu bapa dan ahli keluarga adalah:
Peka dengan tanda awal
Ibu bapa perlu cakna dan melihat perubahan pada diri anak. Sebagai contoh, jika anak tiba-tiba enggan ke sekolah atau sering sakit tanpa sebab mungkin mereka menjadi mangsa buli. Ibu bapa perlu bertanya anak dengan lembut untuk mereka bercerita dan bukan memaksa atau marah.
Bina komunikasi terbuka
Amalkan rutin bertanya anak selepas pulang dari sekolah atau sebelum tidur, “Hari ini macam mana di sekolah?”. Soalan mudah begini akan membuka ruang anak berkongsi rasa.
Tanam nilai empati melalui teladan
Anak belajar melalui pemerhatian. Jika ibu bapa menyelesaikan konflik dengan tenang, anak akan meniru cara yang sama. Jika ibu bapa bertelagah, elakkan bergaduh di hadapan anak-anak. Ibu bapa perlu menunjukkan sikap hormat-menghormati, sopan dan penyayang dalam rumah tangga supaya anak mencontohi amalan baik ini.
Kerjasama dengan guru dan pihak sekolah
Jika berlaku kes buli, jangan hanya mempertahankan anak. Mangsa perlu dibela, pembuli juga perlu dibimbing. Ibu bapa perlu segera berhubung dengan pihak sekolah atau kaunselor jika ada tanda buli. Berbincanglah dengan pihak sekolah dan cari penyelesaian terbaik.
Disiplin sejak kecil
Didik anak bahawa kemarahan bukan alasan untuk menyakiti orang lain.
Sokongan emosi
Yakinkan anak bahawa mereka sentiasa dilindungi dan tidak keseorangan menghadapi masalah. Pelukan dan kata semangat daripada ibu bapa membantu anak yang dibuli pulih lebih cepat.
Tanamkan dalam diri rasa ittaqullah
Pupuk rasa takut kepada Allah dan merasa bahawa Allah sentiasa melihat kita dan setiap amalan kita akan dihisab.
Selain keluarga, komuniti juga berperanan penting dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat. Antaranya:
Komuniti sekolah
Program buddy system di sekolah iaitu pelajar senior membimbing pelajar junior yang terbukti mampu mengurangkan kes buli. Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) boleh mengambil pendekatan dengan melibatkan pelajar di dalam kem kepimpinan, program kesukarelawan dan e-sukan bagi mengelakkan kes buli.
Peranan NGO dan pihak berkuasa
Polis, pertubuhan belia, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu mewujudkan saluran aduan mesra remaja dan mereka yang dibuli. Selain menganjurkan program kesedaran atau anti buli di peringkat sekolah, kampung, atau masjid, program pemulihan seperti kelas pengurusan emosi atau aktiviti kesukarelawan juga dapat membimbing pembuli kembali ke jalan positif dan memberi sokongan moral.
Pemantauan bersama jiran dan komuniti setempat
Wujudkan kumpulan sokongan komuniti yang prihatin terhadap kesihatan mental remaja. Sekiranya jiran dan komuniti setempat terlihat kes buli atau petanda yang mencurigakan, mereka boleh melaporkan kepada pihak sekolah atau menegur dengan berhikmah kerana satu teguran boleh menyelamatkan nyawa.
Peranan masyarakat
Dengan kemudahan media sosial yang ada, platform digital boleh dijadikan sebagai medan kempen kesedaran, dan bukan ruang buli siber.
Oleh hal yang demikian, Hari Kemerdekaan bukan hanya perarakan dan laungan “Merdeka!”. Ia seharusnya menjadi cerminan kepada kebebasan jiwa anak bangsa iaitu kebebasan ketawa, kebebasan bersuara dan bebas berkawan tanpa rasa takut.
Merdeka tanpa buli bermakna membebaskan jiwa anak bangsa daripada ketakutan, penindasan dan kezaliman serta membina generasi berani dan bermaruah.
Cabaran kita hari ini adalah untuk membuktikan keberanian moral menentang budaya buli yang merosakkan jati diri anak bangsa.
Jika pejuang negara dahulu berkorban demi membebaskan tanah air, kini kita perlu berkorban masa, tenaga dan komitmen demi memastikan generasi merdeka lahir sebagai warganegara yang berakhlak, berjiwa besar dan berperikemanusiaan.
Sebagai sebuah bangsa merdeka, kita seharusnya menolak sebarang bentuk penindasan.
Jati diri bangsa hanya dapat dipupuk dalam suasana pendidikan yang selamat, harmonis dan berteraskan nilai hormat serta kasih sayang.
Menangani isu buli menuntut kebersamaan seluruh ekosistem pendidikan iaitu ibu bapa yang mendidik dengan kasih sayang, guru yang membimbing dengan hikmah, pentadbir yang tegas berprinsip, serta masyarakat yang peka dan prihatin.
Jika semua pihak berganding bahu, sekolah akan menjadi ruang yang bukan sahaja selamat, tetapi juga subur untuk menumbuhkan generasi merdeka yang berjiwa besar.
Justeru, kita harus sentiasa selangkah di hadapan, berganding bahu memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat untuk semua, kerana mencegah itu jauh lebih baik daripada menghukum. – UTUSAN
DR. Norshahniza Sahari ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat dan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Paya Jakas, Jementah, Segamat, Johor.










