DALAM ruangan ini pada 16 November lalu, saya menceritakan tentang cadangan mewawancara beberapa penduduk di Lorong B, Aulong Lama, Taiping, Perak iaitu tempat tinggal saya sehingga berumur 19 tahun.
Walaupun bukan pembikin filem yang berpengalaman menghasilkan dokumentari secara profesional, niat saya adalah mendokumentasi sejarah lisan kisah serta pengalaman penduduk yang tinggal di situ sejak 1970-an.
Hasil kerjasama beberapa individu yang masih tinggal di sana atau sudah berpindah ke tempat lain, saya berjaya menghasilkan dokumentari sepanjang 35 minit dengan judul Kenangan di Lorong B.
Tentulah kualiti dan aspek teknikal dalam dokumentari amatur ini amat terbatas serta tidak wajar dibandingkan dengan hasil kerja seorang pengarah profesional.
Namun begitu, sebagaimana diakui pengasas Festival Filem Raintown, Jacky Yeap, keistimewaan dokumentari saya terletak pada usaha mendokumentasi cerita dan pengalaman golongan minoriti yang sering diabaikan.
Sesungguhnya, sebagai seorang penulis, saya sentiasa berusaha mendokumentasi kisah dan pengalaman masyarakat menerusi rencana dan fiksyen.
Hal sama juga saya lakukan melalui ruangan Bicara Budaya sejak Julai 2020. Bagi penduduk di Lorong B, Aulong Lama pula, saya memutuskan untuk memastikan suara mereka dapat diketengahkan secara langsung kepada khalayak.
Hal ini berbeza dengan usaha menulis semula kisah mereka dalam bentuk rencana dan cerita pendek (cerpen).
Atas dasar itulah saya memutuskan untuk membuat rakaman video wawancara beberapa penduduk. Tepat pada masanya, Jacky mengundang saya menghadiri Festival Filem Raintown yang julung kali diadakan di Taiping pada September 2024.
Selain daripada menikmati filem, filem pendek dan dokumentari yang dihasilkan beberapa pakar bidang, saya turut menimba ilmu menerusi satu sesi perkongsian dikendalikan oleh Kent Tan.
Dalam sesi Sesiapa Sahaja Boleh Menjadi Pengarah, Kent turut mengutarakan dua perkara yang amat mengujakan bagi saya. Pertama, topik atau cerita bagi sebuah filem pendek atau dokumentari tidak semestinya perkara besar. Sebaliknya, perkara kecil juga mungkin ada kepentingan dan keunikan tersendiri.
Kedua, kita tidak semestinya memiliki peralatan canggih seperti kamera dan segala peralatan perfileman untuk menghasilkan sebuah filem pendek atau dokumentari. Kandungan, kisah atau cerita lebih penting berbanding aspek teknikal.
Pada masa sama, perbualan bersama Jacky menaikkan lagi semangat dan keyakinan. Memandangkan pemuda itu lahir dan membesar di Aulong (bersempadan dengan Aulong Lama), maka kami sama-sama memiliki sentimen khas terhadap kampung kelahiran kami.
Apabila saya bertanya Jacky tentang landasan kereta api pertama Taiping-Port Weld yang merentas sempadan Aulong dan Aulong Lama, pemuda itu mengaku tidak tahu.
Tambahan pula, landasan itu sudah ditanggalkan pada sekitar 1985, menjelang sambutan ulang tahun ke-100 Keretapi Tanah Melayu.
Hasil motivasi selepas menyertai Festival Filem Raintown pada September 2024, saya memutuskan untuk membuat sebuah dokumentari amatur untuk mendokumentasi kisah, kenangan, budaya dan pengalaman penduduk di Lorong B.
Saya sentiasa percaya, daripada menunggu orang lain datang dan melakukan sesuatu kerja yang dimahukan, lebih baik kita melakukannya sendiri. Sekiranya terus menunggu kedatangan orang lain, nescaya kerja itu terbengkalai.
Begitulah juga tentang impian mendokumentasi sejarah lisan, kenangan, pengalaman, budaya dan kisah penduduk di Lorong B. Majoriti penduduk asal yang memulakan penempatan ini pada lewat 1960-an dan awal 1970-an, termasuk ibu bapa saya, sudah meninggal dunia.
Sekiranya terus menunggu dan berharap akan ada pihak luar datang membuat dokumentari tentang Lorong B, Aulong Lama, maka ia mungkin umpama menunggu bulan jatuh ke riba.
Dalam situasi ini, saya bertuah kerana beberapa penduduk yang merupakan bekas jiran menyatakan kesediaan untuk diwawancara. Mereka mengenali saya sebagai seorang penulis dan mungkin yakin saya boleh juga menghasilkan sebuah dokumentari.
Dipendekkan cerita, saya berjaya membuat rakaman wawancara dan melakukan kerja-kerja penyuntingan sehingga terhasil sebuah dokumentari amatur yang memenuhi impian mendokumentasi kenangan penduduk di Lorong B.
Bagai pucuk diundang, ulam mendatang, Jacky yang menonton dokumentari Kenangan di Lorong B, memilihnya untuk ditayangkan pada Festival Filem Raintown akan datang.
Festival kali kedua ini akan berlangsung di Pawagam Paragon, Taiping Mall dari 12 hingga 14 September ini. Sebaik tempahan tiket percuma secara dalam talian dibuka pada 31 Julai lalu, saya terus mempromosi menerusi media sosial dan meminta rakan-rakan yang berminat hadir memberi sokongan.
Festival Filem Raintown meneruskan tradisi mempromosikan Taiping dan segala keunikannya melalui tayangan filem dan dokumentari, sesi perkongsian pembikin filem serta lawatan ke tempat-tempat bersejarah.
Saya sudah membuat tempahan tiket bagi empat filem yang bakal ditayangkan. Selain filem klasik Rock (2005) arahan Allahyarham Mamat Khalid, turut dijadualkan tayangan ialah The Gathering yang merakamkan keindahan pekan Taiping.
Filem The Game arahan Felix Tan juga agak unik kerana penggambaran dibuat sepenuhnya di Bukit Larut. Kisah Tan Lian Lay iaitu Raja Lanun Perak yang pasti tidak diketahui ramai disajikan menerusi The Pirate and Emperor Ship arahan Khoo Eng Yow.
Saya juga menantikan peluang menikmati tayangan 10 filem pendek yang dipilih daripada lebih seratus karya bertema ‘hujan’ yang menyertai Pertandingan Filem Pendek Raintown.
Tayangan dokumentari Kenangan di Lorong B dijadualkan pada 13 September, diikuti sesi perkongsian khas mengenai topik yang diketengahkan dalam dokumentari itu.
Sesungguhnya, saya amat gembira kerana selain merakam sejarah, kenangan, budaya dan kisah masyarakat menerusi rencana dan fiksyen, saya kini belajar untuk turut menyampaikannya menerusi media visual.
Orang ramai boleh mengunjungi Facebook Raintown Film Festival jika berminat menyertai saya untuk kita sama-sama menimba ilmu dan pengalaman.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










