Doktrin luar ancam kedaulatan negara

Doktrin luar ancam kedaulatan negara

SUDAH tiba masanya rakyat Malaysia celik undang-undang, menuntut kedaulatan perundangan kita kekal milik kita dan bebas daripada pengaruh luar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JARANG-jarang satu keputusan mahkamah mampu mengubah landskap perlembagaan sesebuah negara, namun itulah yang berlaku di India pada 1973 ketika Mahkamah Agung India memutuskan kes Kesavananda Bharati lawan Kerajaan Kerala.

Dalam keputusan tersebut, mahkamah berpendapat bahawa Perkara 368 Perlembagaan India yang berkaitan dengan pindaan Perlembagaan, tidak memberi kuasa kepada Parlimen untuk mengubah struktur asas atau kerangka utama Perlembagaan.

Mahkamah juga telah menetapkan bahawa terdapat peruntukan tertentu dalam Perlembagaan India yang membentuk struktur asasnya.

Penentuan mengenai peruntukan mana yang termasuk dalam struktur asas dibuat berdasarkan pertimbangan dari satu kes ke satu kes.

Prinsip struktur asas ini kemudiannya digunakan oleh mahkamah sebagai asas untuk menyemak serta membatalkan pindaan-pindaan Perlembagaan yang dibuat oleh Parlimen sekiranya ia bertujuan mengubah struktur asas tersebut.

Dengan kata lain, kuasa Parlimen untuk meminda mana-mana bahagian Perlembagaan yang dianggap sebagai struktur asas boleh diketepikan oleh keputusan hakim atau panel hakim yang terlibat.

Sejak 1970-an, walaupun cubaan demi cubaan dibuat oleh para peguam di negara kita untuk mengimport doktrin struktur asas dari India ke dalam sistem kehakiman, tetapi mahkamah secara konsisten menolak penerimaan doktrin struktur asas, dengan menganggapnya sebagai suatu konsep asing yang tidak perlu diaplikasikan di Malaysia.

Namun, malangnya bermula pada 2017, dengan kes Semenyih Jaya Sdn. Bhd. lawan Pentadbir Tanah Hulu Langat, diikuti pada 2018, Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi Mutho lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak telah menerima masuk doktrin struktur asas dari India ke dalam kehakiman kita, sekaligus membatalkan perakuan pengislaman seorang anak mualaf.

Kemudian pada 2022, Mahkamah Persekutuan dalam kes SIS Forum (Malaysia) telah mengisytiharkan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor sebagai tidak sah dan terbatal dengan merujuk kepada duluan daripada kes Semenyih Jaya dan Indira Gandhi sebelum ini.

Pada 2023, pengislaman anak-anak Loh Siew Hong turut dibatalkan apabila Mahkamah Rayuan mengisytiharkan status keislaman mereka sebagai tidak sah, walaupun Mahkamah Tinggi sebelum ini telah mengesahkan syahadah dan keislaman mereka.

Alasan Mahkamah Rayuan membatalkan pengislaman kanak-kanak tersebut juga adalah berasaskan keputusan kes Indira Gandhi.

Perkara ini jelas menunjukkan bagaimana sistem precedent atau keputusan mahkamah yang lalu akan mengikat keputusan pada masa hadapan sekiranya ia tidak disemak atau diperbetulkan.

Kes-kes tersebut telah mengesahkan bahawa Malaysia telah menerima doktrin struktur asas sebagai sebahagian daripada undang-undang Malaysia.

Ada yang memuji keberanian hakim, tetapi tidak kurang juga yang gusar dengan implikasi jangka panjang terhadap kedaulatan Perlembagaan negara kita.

Bak kata pepatah, “bagai melepaskan pucuk enau dalam belukar”, dalam usaha mempertahankan kebebasan, kita mungkin membenarkan masuk unsur yang akhirnya merosakkan akar negara sendiri.

Kemasukan doktrin ini ibarat “menanam lalang di tengah bendang padi”. Perlembagaan kita tidak seperti Perlembagaan India.

Perlembagaan Malaysia mempunyai Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sebagai sebahagian daripada proses pindaan; manakala tiada peruntukan sedemikian di India kerana mereka hanya mempunyai Presiden, yang membenarkan pindaan tanpa melanggar struktur asas.

Perlembagaan Malaysia, khususnya, tidak memperuntukkan had substantif kepada kuasa pindaan Parlimen.

Maka, penghakiman yang menyatakan wujudnya doktrin struktur asas adalah satu bentuk judicial activism yang keterlaluan kerana ia membawa masuk prinsip luar tanpa landasan teks Perlembagaan sendiri.

Lebih membimbangkan, kuasa rakyat melalui wakil mereka di Parlimen kini seolah-olah boleh “diikat kaki dan tangan” oleh tafsiran kehakiman, iaitu satu badan yang tidak dipilih oleh rakyat.

Doktrin ini turut mencabuli kuasa legislatif dan prinsip demokrasi berparlimen.

Hakim-hakim telah meletakkan had kepada kuasa pindaan Parlimen atas alasan melindungi ‘struktur asas’, dan seolah-olah memberi kuasa supra-constitutional kepada badan kehakiman.

Ini bertentangan dengan prinsip pemisahan kuasa dan demokrasi berparlimen yang meletakkan mandat rakyat pada wakil rakyat, bukan hakim yang tidak dipilih.

Demikianlah bagaimana doktrin struktur asas berpotensi mengancam kedaulatan Perlembagaan negara. Pengimportan doktrin ini membuka ruang untuk nilai-nilai asing disuntik ke dalam tafsiran Perlembagaan, sekali gus menghakis semangat asal yang terkandung dalam rangka kerangka sosial kontrak, termasuk kedudukan Islam, institusi raja dan keistimewaan bumiputera.

Dalam banyak penulisan undang-undang, kita boleh melihat bahawa terdapat dua aliran pemikiran.

Bagi yang menyokong doktrin ini, mereka berpandangan bahawa struktur asas penting untuk mengelakkan penggubal undang-undang menyalahgunakan kuasa pindaan Perlembagaan hingga boleh menghapuskan ciri-ciri asas demokrasi dan hak asasi manusia.
Doktrin ini dianggap sebagai ‘jaminan terakhir’ terhadap autoritarianisme.

Aliran yang menolak pula berpendapat bahawa ia adalah bentuk penjajahan undang-undang dari sistem asing yang tidak sesuai dengan konteks sejarah, budaya dan kerangka sosial Malaysia.

Mereka menegaskan bahawa perlindungan struktur asas seharusnya dijamin melalui proses politik dan kehendak rakyat, bukan keputusan hakim semata-mata.

Sesetengah pihak yang menyokong doktrin ini atas alasan ia menjadi ‘pengawal terakhir’ kepada kebebasan asasi rakyat mungkin kurang semangat patriotismenya.

Pemakaian doktrin ini berupaya menjadi jalan belakang untuk memperkenalkan nilai-nilai asing yang mungkin bertentangan dengan jati diri negara.

“Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum.” Undang-undang kita mesti kekal dalam acuan kita, bukan sekadar meniru sistem luar yang tidak mengambil kira sejarah, adat dan sensitiviti kita.

Kebimbangan utama ialah, apakah selepas ini prinsip utama seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu dan hak istimewa bumiputera juga akan dilabel sebagai tidak selaras dengan “struktur asas” versi liberal antarabangsa?

Jika ini berlaku, maka penghakiman mahkamah boleh menjadi alat untuk menghakis kontrak sosial yang telah membentuk negara ini sejak 1957, tanpa restu rakyat, tanpa suara masyarakat.

Perlembagaan ialah nadi negara. Ia tidak boleh diubah dengan sewenang-wenangnya oleh tangan-tangan yang tidak mewakili mandat rakyat.

Apa gunanya demokrasi jika suara rakyat dipintas oleh keputusan-keputusan kehakiman yang tidak berpaksikan semangat asal undang-undang negara?

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia celik undang-undang dan menuntut kedaulatan perundangan kita kekal milik kita, bebas daripada pengaruh luar dan berpaksikan kepada jati diri Malaysia, bukannya disadur atau dicemari oleh unsur asing yang boleh merungkai asas negara. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Exco Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (UPR).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN