RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 menentukan hala tuju pembangunan negara ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan, seimbang dan saksama. Dalam ketidaktentuan geopolitik, ketegangan perdagangan, perubahan iklim dan kemajuan teknologi yang disruptif, Malaysia tidak lagi boleh bergantung pada pendekatan sedia ada.
RMK13 dibina atas tiga teras utama iaitu memperkukuh tadbir urus dan tatakelola baik, meningkatkan penciptaan nilai ekonomi melalui inovasi dan pendigitalan, serta memastikan pembangunan yang terangkum dan responsif kepada keperluan rakyat.
RMK13 tidak hanya menekankan pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi turut menumpukan kepada kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar, pembangunan wilayah dan daya saing global.
Dalam tempoh RMK13, Malaysia menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, didorong oleh permintaan domestik dan pelaburan sektor swasta. Eksport kasar negara dijangka meningkat sebanyak 5.8 peratus setahun, manakala Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita disasarkan meningkat kepada RM77,200 menjelang 2030 sekaligus melepasi ambang negara berpendapatan tinggi.
Pasaran buruh dijangka bertambah baik, dengan kadar pampasan pekerja kepada KDNK mencecah 40 peratus, manakala kadar pengangguran menurun kepada tahap guna tenaga penuh. Inflasi pula dijangka kekal stabil dalam lingkungan dua hingga tiga peratus setahun.
Untuk menjayakan RMK13, sejumlah RM611 bilion pelaburan akan digerakkan. Daripada jumlah ini, RM430 bilion diperuntukkan oleh kerajaan, RM120 bilion daripada syarikat berkaitan kerajaan iaitu GLC dan GLIC, manakala RM61 bilion melalui model perkongsian awam-swasta (PPP).
Sebahagian besar iaitu RM227 bilion akan disalurkan ke sektor ekonomi, manakala RM133 bilion diperuntukkan untuk sektor sosial seperti pendidikan menerima RM67 bilion dan kesihatan menerima RM40 bilion. RM51 bilion pula diperuntukkan kepada sektor keselamatan dan RM17 bilion bagi pentadbiran kerajaan. Ini jelas mencerminkan strategi seimbang antara pertumbuhan ekonomi dan pembangunan rakyat.
Salah satu fokus utama RMK13 ialah pemerkasaan industri bernilai tinggi melalui pelaburan dalam teknologi dan inovasi. Malaysia kini merupakan pengeksport keenam terbesar dunia dalam industri semikonduktor, dengan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) bernilai lebih RM600 bilion pada 2024. RMK13 menyasarkan untuk meningkatkan nilai eksport ini kepada RM1 trilion menjelang 2030.
Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) akan menjadi pemacu utama kepada usaha ini, termasuk pembangunan reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju dan proses hadapan. RMK13 juga menekankan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan sebagai tunjang utama kepada penciptaan nilai ekonomi baharu. Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 akan memacu pembangunan bakat, pengkomersialan teknologi dan integrasi AI dalam sektor utama seperti pembuatan, kesihatan, pendidikan dan pertanian.
Jaringan 5G disasarkan meliputi 98 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2030 dan dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 5,000 usahawan digital. Selain itu, pendekatan digital dan keselamatan data melalui penubuhan Suruhanjaya Data dan pembangunan bank data nasional akan memastikan ekosistem digital yang selamat dan dipercayai.
Sektor tenaga boleh baharu turut diberi keutamaan dalam RMK13. Sasaran peningkatan kapasiti terpasang tenaga hijau daripada 29 peratus kepada 35 peratus menjelang 2030 dijangka menggalakkan pelaburan swasta dan menjadikan Malaysia sebagai hab tenaga bersih serantau.
Projek-projek seperti solar terapung hibrid di Kenyir, grid tenaga Sarawak ke Semenanjung, serta pembinaan terminal tenaga di Lumut merupakan antara langkah strategik. Tambahan pula, sektor karbon hijau akan dimajukan melalui Skim Perdagangan Pelepasan (ETS), pelaksanaan teknologi CCUS serta Dana Kemudahan Peralihan Tenaga Negara.
Industri kecil dan sederhana (PMKS) pula dijadikan pemacu utama pembangunan sosioekonomi negara. Kerajaan menyasarkan 50 peratus sumbangan PMKS kepada KDNK menjelang 2030. RMK13 memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Dana Pelaburan Strategik, program peningkatan kapasiti, pendigitalan serta penyediaan pembiayaan berasaskan ekuiti melalui dana pelaburan melebihi RM1 bilion oleh GLIC.
Kerjasama erat dengan GLC dalam pembangunan keupayaan PMKS dijangka mengurangkan ketergantungan kepada bantuan kerajaan serta meningkatkan daya saing PMKS di peringkat global.
Dari segi pembangunan modal insan, RMK13 menetapkan sasaran pewujudan 1.2 juta pekerjaan baharu iaitu 700,000 dalam sektor pembuatan dan 500,000 dalam ekonomi digital. Usaha ini disokong oleh pemerkasaan TVET, khususnya dalam bidang teknologi tinggi.
Skim Pembiayaan Perkasa TVET Madani dan Dana Latihan TVET diperkenalkan bagi meluaskan akses latihan teknikal kepada pelajar termasuk tahfiz, dalam usaha melahirkan huffaz teknokrat yang beretika dan mahir. Graduan TVET kini mencatatkan kadar kebolehpasaran 95.6 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan, menunjukkan keberkesanan pendekatan yang diambil.
RMK13 turut memberi perhatian kepada keseimbangan wilayah dan pembangunan luar bandar. Pelaburan besar akan disalurkan ke projek infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo, LRT Pulau Pinang, ECRL dan jaringan pengangkutan di Sabah dan Sarawak.
Sebanyak 2,800 kilometer jalan luar bandar akan dinaik taraf termasuk di Sarawak, Perak dan Pahang. Projek bekalan air, kemudahan klinik dan kuarters keselamatan turut diperluaskan bagi memastikan akses kemudahan asas yang lebih adil dan menyeluruh.
Dalam arena global, RMK13 menekankan kepimpinan Malaysia dalam integrasi ekonomi serantau. Projek seperti Grid Kuasa ASEAN, ASEAN Connectivity by Rail, dan Komuniti Pelepasan Karbon Sifar Asia memperkukuh hubungan dengan jiran serantau. Hab logistik rentas sempadan seperti RTS Link Johor-Singapura, Pelabuhan Darat Perlis dan penaiktarafan ICQS Rantau Panjang menunjukkan Malaysia bersedia memainkan peranan utama dalam perdagangan serantau.
MAHB pula memperuntukkan pelaburan bagi menaik taraf lapangan terbang seperti KLIA, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu sebagai hab penerbangan kompetitif. Pelaburan strategik oleh syarikat penerbangan tempatan akan ditingkatkan. Perolehan 178 pesawat baharu dan penambahan perkhidmatan penerbangan akan dilaksanakan.
RMK13 merupakan strategi holistik dan bersepadu yang bukan sahaja memperkukuh daya saing negara, malah membina ketahanan ekonomi, sosial dan teknologi bagi mendepani cabaran global yang semakin mencabar. RMK13 mampu angkat Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju yang sejahtera, inklusif dan mampan. Di tengah-tengah ketidaktentuan global, RMK13 memberi keyakinan bahawa Malaysia mampu bukan sahaja bertahan, tetapi melonjak dengan lebih cemerlang menjelang 2030. – UTUSAN
PROFESOR Madya Ts. Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.