‘500,000 kes kemalangan, hanya sekitar 12% punca daripada jalan rosak’ - Utusan Malaysia

‘500,000 kes kemalangan, hanya sekitar 12% punca daripada jalan rosak’

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
TRAGEDI kemalangan bas sehingga meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu menjadi peringatan tegas kepada semua bahawa keselamatan jalan raya tidak boleh dipandang ringan.

Meskipun pemanduan laju dikenal pasti sebagai faktor utama apabila bas dipandu melebihi dua kali ganda had kelajuan, Kementerian Kerja Raya (KKR) tetap menambah baik sistem pemantauan dan keberkesanan penyelenggaraan jalan.

“Saya sendiri turun ke lokasi bersama pegawai, dan kami dapati tiada kerosakan atau lubang di jalan tersebut,” tegas Menterinya, DATUK SERI ALEXANDER NANTA LINGGI ketika wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan AQILAH MIOR KAMARULBAID serta jurugambar, SHIDDIEQIIN ZON di bangunan Parlimen, Khamis lalu.

Ahli Parlimen Kapit dan pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu turut berkongsi status semasa projek Lebuhraya Pan Borneo yang dinanti-nantikan selain menjawab persoalan yang sering membelenggu pengguna berkaitan isu jalan berlubang, kaedah pemantauan cerun berisiko tinggi, serta keperluan untuk merombak pendekatan penyelenggaraan jalan raya agar lebih berkesan dan proaktif.

MINGGUAN MALAYSIA: Apakah pandangan Datuk Seri terhadap pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)?
ALEXANDER NANTA LINGGI: RMK13 dibentangkan tepat pada waktunya dan sejajar dengan keperluan semasa negara. Ia penting bagi menetapkan hala tuju kerajaan pada masa hadapan, dengan mengambil kira isu geopolitik global, perubahan kepimpinan seperti Donald Trump, isu tarif dan sebagainya.

Kita juga perlu sedar masih terdapat kawasan pedalaman yang belum dilengkapi prasarana asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air terawat khusus di pedalaman Sabah dan Sarawak. RMK13 memberi perhatian kepada aspek ini.

Secara keseluruhan, saya melihat rancangan ini sangat seimbang, merangkumi dimensi pemikiran, kemanusiaan, ekonomi, dan pembangunan fizikal.

Sebagai Menteri Kerja Raya, saya amat menyambut baik pembentangan ini kerana ia menzahirkan dengan jelas peranan signifikan KKR dalam agenda pembangunan negara.

Apakah peranan utama KKR dalam konteks RMK13?
KKR memainkan peranan khusus dalam membangunkan infrastruktur negara, termasuk penyelenggaraan lebuh raya serta memacu industri pembinaan. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), sebagai agensi di bawah KKR, bertanggungjawab memastikan pembangunan industri pembinaan berjalan lancar.

Fokus kami termasuk menangani isu kekurangan tenaga buruh asing, mempertingkat kecekapan pelaksanaan projek, serta menyokong agenda kerajaan dalam penyediaan rumah mampu milik. Teknologi moden seperti Building Information Modeling (BIM) dan Industrialized Building System (IBS) semakin diterapkan.

Penggunaan teknologi ini menjimatkan dari segi masa, kos, dan material apabila dilaksanakan secara efisien.

CIDB berperanan penting sebagai badan berkanun yang mengawal selia kemajuan industri pembinaan secara menyeluruh.

INTEGRITI KONTRAKTOR
Bagaimana CIDB memastikan kualiti dan integriti dalam kalangan kontraktor pembinaan?
Semua syarikat yang ingin menjadi kontraktor mesti berdaftar dengan CIDB. Mereka juga tertakluk kepada pelbagai peraturan dan garis panduan untuk memastikan kontraktor bukan sahaja kemahiran teknikal, tetapi juga tahap integriti yang tinggi.

CIDB boleh mengenakan tindakan ke atas kontraktor yang melanggar peraturan, termasuk denda dan kawal selia. Ini penting kerana industri pembinaan negara kini semakin matang dan menuju ke arah piawaian antarabangsa, selaras dengan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

LEBUHRAYA PAN BORNEO IMPAK MOBILITI RAKYAT
Bagaimana perkembangan semasa Projek Lebuhraya Pan Borneo?
Di Sabah, Fasa 1A hampir siap, walaupun ada beberapa pakej masih belum diselesaikan. Fasa 1B pula baru bermula. Secara keseluruhan, terdapat 35 pakej di Sabah dan semuanya telah dimulakan.

Di Sarawak, hanya ada 11 pakej, menjadikan pengurusan lebih tersusun. Kebanyakan pembinaan sudah siap kecuali sedikit bahagian yang memerlukan pengubahsuaian reka bentuk. Pelaksanaan di Sarawak hampir lengkap.

Projek ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan jaringan jalan raya persekutuan, termasuk penaiktarafan PLUS (Juru–Sungai Dua di Pulau Pinang dan Senai–Macap di Johor), serta projek lebuh raya lain seperti LTU, West Coast Expressway, dan Trans-Borneo (Sarawak).

Projek-projek kesalinghubungan jalan raya ini memberi impak terhadap mobilitI rakyat dan pengaliran ekonomi setempat besar.

STRUKTUR JALAN ROSAK, ANTARA KETAHANAN DAN KEKANGAN KOS
Jalan rosak sering menjadi rungutan rakyat. Apakah pelan pemantauan kerajaan untuk pastikan jalan sentiasa dalam keadaan baik?
Kita bukan hanya berfokus membina jalan baharu, kerajaan sentiasa pantau jalan itu dalam keadaan terbaik. Tetapi kekangan utama adalah peruntukan. Kalau kita mahu perbaiki jalan raya mengikut piawaian jalan, kita perlukan RM4 bilion setahun untuk penyelenggaraan, tetapi hanya dapat sekitar satu perempat, iaitu lebih sedikit RM1 bilion.

Jalan kita kini ‘menua’, sama seperti manusia, memerlukan penjagaan rapi. Jadi, kita mohon agar peruntukan perbelanjaan untuk KKR dipertingkatkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan ini.

Adakah struktur jalan raya negara masih boleh bertahan?
Kalau mengikut piawaian dengan spesifikasi bahan dan reka bentuk sepatutnya setiap lima ke tujuh tahun dibina semula bukan lagi sekadar baik pulih. Tetapi ada juga jalan yang masih bertahan 20 tahun kerana reka bentuk dan bahan yang berkualiti.

KKR juga ada CREaTE (unit R&D JKR) sentiasa memastikan bahan binaan adalah kukuh dan sesuai, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti laluan kenderaan berat.

Jalan di Malaysia yang perlu ditukar ganti tinggi peratusnya, seperti Jalan Gerik sejak 1970, selama ini kita hanya baik pulih mengikut tahap, sepatutnya ia perlu dibina semula tapi belum dibuat kerana peruntukan tidak mencukupi dan ia perlu digunakan mengikut keutamaan dan keperluan segera.

2,000 CERUN BERISIKO, PENCEGAHAN MASIH TERHAD
Berapa banyak kawasan cerun dikategorikan berisiko tinggi?
Kita sudah kenal pasti hampir 2,000 lokasi cerun berisiko tinggi dan berbahaya di seluruh negara. Disebabkan kekurangan dana, langkah pencegahan proaktif belum dapat dilaksanakan sepenuhnya. Sebab itu, kita tunggu. Kalau runtuh, barulah kita buat kerja pembaikan.

Maksudnya tiada sistem amaran awal?
Ada. Tahun lepas, KKR terima RM30 juta untuk sistem amaran termasuk pembelian peralatan dan peranti. Tapi itu belum mencukupi. Kini, kita mula beralih kepada teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan dron untuk memantau cerun-cerun berisiko. Ia sudah digunakan dan terbukti berkesan, cuma kita kekurangan kapasiti kerana kekangan kewangan.

BUKAN SEMUA JALAN MILIK KKR
Isu jalan berlubang sentiasa membelenggu rakyat, bagaimana keberkesanan aplikasi MyJalan dalam menambah baik penyelenggaraan jalan?
Aplikasi MyJalan dilancarkan pada Ogos 2023 mulanya sebagai satu kempen kesedaran. Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja termasuk aktivis nak membantu menyalurkan aduan kerana kita mengamalkan dasar pintu terbuka.

Melalui MyJalan, pengguna boleh mengambil gambar dan lokasi dan memuat turun dalam aplikasi ini. Setakat ini lebih 37,000 aduan diterima. Namun hanya 30 peratus berkaitan jalan di bawah seliaan KKR atau JKR. Selebihnya adalah di bawah Kerajaan Negeri (jalan negeri) atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ramai pengguna tidak tahu jalan itu di bawah siapa, mereka hanya tahu ia rosak. Jadi, bila mereka lapor, kami akan salurkan kepada agensi yang betul. Untuk jalan bawah KKR, tindakan awal dibuat dalam 24 jam, dan pembaikan biasanya antara satu hingga tiga hari bergantung kepada tahap kerosakan.

Adakah aplikasi ini berkesan dari segi tindakan dan perancangan?
Sangat berkesan. Ia bukan sekadar aplikasi aduan, tapi menjadi sistem pemantauan. Sehingga 30 Jun lalu, 89.74 peratus aduan berjaya diselesaikan dalam 15 hari bekerja.

Masih ada 2,797 kes kerosakan dalam tindakan (sekitar 19.16 peratus). Kami telah selesaikan 11,798 lokasi yang dilaporkan mengalami kerosakan. Ini menunjukkan komitmen kita dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Ada juga kes jalan telah dibaiki, tetapi cepat rosak semula selepas itu.
Kami tidak menafikan perkara itu berlaku. Namun, kebanyakan bahan yang digunakan memang ditetapkan spesifikasinya, bahan yang sepatutnya tahan lebih lama.

Bagaimanapun ada kemungkinan faktor cuaca seperti hujan yang berlaku selepas kerja ditampal menyebabkan bonding bahan tidak sempurna, lalu cepat rosak. Kadang-kadang, selepas jalan siap ditampal, tiba-tiba dilalui oleh kenderaan berat, dan itu juga boleh menyebabkan kerosakan semula.

Jadi, adakah spesifikasi bahan-bahan binaan ini akan dikaji semula?
Ya. Sebab itu, kita ada unit khas yang menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) terhadap bahan-bahan yang digunakan. Tujuannya untuk mengurangkan ketidakpuasan hati pengguna, terutama apabila melihat jalan sering rosak atau kelihatan seperti tidak diselenggara dengan baik.

AUDIT LUAR NILAI SYARIKAT KONSESI LEBUH RAYA
Difahamkan tempoh konsesi lebuh raya akan tamat tidak lama lagi. Boleh jelaskan?
Ya, betul. Sebahagian besar syarikat konsesi akan tamat tempoh perjanjian mereka pada awal tahun 2026. Ada yang sudah beroperasi 5, 10, malah 15 tahun. Oleh itu, kita sudah mula mendapatkan kelulusan Kabinet untuk mencari syarikat konsesi baharu sama ada konsesi lama akan menyertai semula tender atau kita buka kepada syarikat lain.

Adakah akan ada penambahbaikan dalam perjanjian baharu nanti?
Ya. Salah satu skop yang akan ditambah dalam perjanjian baharu adalah pelaksanaan audit luar. Ini sangat penting.

Kenapa audit luar dianggap penting? Mengapa tidak dilakukan oleh JKR atau kementerian sendiri?
Audit luar ini bersifat bebas dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan kementerian atau syarikat konsesi. Mereka akan melakukan penilaian sendiri tanpa sebarang konflik kepentingan. Kalau audit dalaman dilakukan, nanti ada yang mendakwa ia tidak telus atau berlaku semak dan imbang dalam kalangan sendiri.

TRAGEDI UPSI: SIKAP PEMANDU BUKAN STRUKTUR JALAN
Baru-baru ini berlaku tragedi kemalangan melibatkan bas UPSI. Adakah kejadian itu mengubah pendekatan kementerian dalam mengenal pasti kawasan jalan berisiko tinggi?
Sebenarnya, walaupun sebelum tragedi itu berlaku, kita memang sudah berbincang untuk menambah baik sistem pemantauan dan keberkesanan penyelenggaraan jalan. Namun, saya ingin perbetulkan sedikit persepsi umum terhadap insiden tersebut.

Pada mulanya, ramai menganggap kemalangan itu berpunca daripada jalan berlubang atau tidak diselenggara dengan baik. Tetapi laporan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak ada menyatakan keadaan jalan sebagai punca kemalangan.

Jelas jalan itu tidak rosak. Saya turun ke lokasi dan kami dapati tiada kerosakan atau lubang di jalan tersebut. Memang jalan di situ ada sedikit lereng dan selekoh. Papan tanda amaran ada dengan pantulan cahaya baik. Penghadang jalan juga ada. Jadi, tidak ada sebab struktur jalan itu sebagai punca kemalangan.

Jadi, apa sebenarnya punca kemalangan menurut laporan rasmi?
Menurut laporan MOT dan rakaman papan pemuka (dashcam) yang tular, kemalangan berlaku kerana faktor kelajuan. Had laju di kawasan itu ialah 60 km/j, tetapi bas tersebut dipandu pada kelajuan 117 km/j, hampir dua kali ganda.

Tambahan pula, lokasi itu adalah selekoh, walaupun papan tanda amaran dan lampu reflektif jelas tersedia. Ini bukan isu jalan, tetapi sikap pemandu.

Saya tidak menafikan di sepanjang lebih 20,000 km jalan Persekutuan kita rosak, memang ada dan ada juga menyebabkan kemalangan.

Berdasarkan statistik MIROS, adakah kerosakan jalan penyumbang utama kepada kemalangan?
Berdasarkan dapatan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), daripada lebih 500,000 kes kemalangan, 12,000 kes parah dan 6,000 kematian, 4,000 daripadanya penunggang motosikal. Hanya sekitar 12 ke 13 peratus berpunca daripada faktor jalan, termasuk kerosakan dan cuaca. Sebaliknya, lebih 80 peratus adalah daripada sikap pemandu.

Malangnya, ramai masih cenderung menyalahkan pihak lain dan tidak mengaku kesilapan sendiri. Tapi inilah hakikat perlu kita akui. Oleh itu, kena ada lebih banyak advokasi kepada pemandu supaya memastikan keselamatan semasa pemanduan termasuk tidak menggunakan telefon.

KADAR TOL NAIK TAHUN DEPAN?
Datuk Seri juga ada menyentuh tentang isu penangguhan kenaikan tol yang diumumkan semalam. Adakah ini bermakna kadar tol akan naik tahun depan?
Bukan begitu maksudnya. Kita ada 33 lebuh raya bertol. Daripada jumlah itu, 10 daripadanya yang dikatakan tidak naik atau ditangguhkan, tetapi selebihnya seperti dalam perjanjian mereka tiba masanya untuk semakan semula dan selalunya kadar tol akan dinaikkan.

Ia bergantung kepada perjanjian konsesi di mana semakan akan dibuat mengikut tempoh yang ditetapkan.

Apa yang berlaku sekarang adalah kita menangguhkan kenaikan itu. Sebenarnya kerajaan sudah tangguh tahun ini, jadi tahun depan mereka (konsesi) sepatutnya boleh naikkan kadar itu seperti dalam perjanjian. Tapi semuanya perlu dilihat secara menyeluruh.

Boleh Datuk Seri jelaskan mengapa penangguhan ini penting, dan apa yang rakyat perlu faham?

Dalam jawapan saya di Parlimen baru-baru ini, saya nyatakan dengan jelas penangguhan kenaikan tol ini bukan perkara kecil. Kerajaan membelanjakan lebih RM500 juta dalam bentuk pampasan kepada syarikat konsesi, bagi pihak pengguna.

Jadi, walaupun pengguna tidak terasa sangat kerana tol tidak dinaikkan, kerajaan sebenarnya menanggung kos besar. Sebab itu, penting untuk orang ramai faham, kerajaan buat keputusan ini demi rakyat.

HUBUNGAN GPS – KERAJAAN PERPADUAN

Selepas perhimpunan ‘Turun Anwar’ pada Sabtu lepas, suhu politik negara dilihat agak hangat. Sebagai menteri dalam Kerajaan Perpaduan mewakili GPS, bagaimana Datuk Seri melihat keadaan ini?
Bagi kami di GPS, kami mahukan kerajaan ini stabil. Kami juga sebahagian daripada Kabinet dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan. Sebagai rakyat Sarawak, kami mahukan kestabilan politik demi memberi ruang kepada kerajaan untuk fokus kepada perkara lebih penting seperti pengurusan ekonomi dan kebajikan rakyat.

Negara kita kini berdepan cabaran geopolitik global yang sangat mencabar. Kalau kita huru-hara kerana isu kecil yang dipolitikkan, kita semua yang rugi. Saya merayu supaya diberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk terus menerajui negara dengan tenang.

Beri ruang untuk beliau melaksanakan tugas sebaik mungkin. Kalau ada kelemahan, kita bantu, bukan jatuhkan. Mahu turunkan Anwar buat apa, siapa hendak ganti beliau?

Adakah Datuk Seri berpendapat Sarawak kini mendapat layanan yang lebih adil daripada Kerajaan Pusat berbanding sebelum ini?
Dahulu, semasa saya Backbenchers Parlimen selama tiga penggal, saya menyuarakan bahawa Sarawak tidak mendapat layanan adil. Tetapi hasil suara-suara itulah, sekarang perhatian terhadap Sarawak semakin jelas.

Dari zaman Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, kami mula menerima lebih banyak peruntukan, khususnya pembangunan luar bandar, jalan raya dan bantuan perumahan.

Semasa saya menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah selama lima tahun, banyak projek dilaksanakan. Selepas itu, walaupun kita berdepan Covid-19, perhatian tetap diberikan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri.

Kini di bawah pimpinan Anwar, saya lihat tumpuan terhadap Sarawak terus dipertingkat. Contohnya, isu antara Petros dan Petronas. Perdana Menteri mengendalikannya dengan sangat baik, supaya ia jadi satu situasi ‘menang-menang’. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN