Menuntut semula hak asasi manusia di ASEAN: Titik perubahan bagi AICHR

Menuntut semula hak asasi manusia di ASEAN: Titik perubahan bagi AICHR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perjumpaan Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) yang berlangsung pada 8 Julai lalu di Kuala Lumpur, telah menghidupkan semula komitmen serantau terhadap hak asasi manusia.

Dialog yang berlangsung serentak dengan Pengerusi ASEAN oleh Malaysia itu bukan sahaja menekankan perkembangan dalam kerangka hak asasi ASEAN tetapi turut cabaran-cabaran yang semakin meningkat dan sekian lama menjejaskan legitimasi serta keberkesanan AICHR.

Ia merupakan satu perhitungan tepat pada masanya mengenai masa depan hak asasi di Asia Tenggara.

Paradoks kemajuan: Dilema berterusan AICHR

Ditubuhkan pada tahun 2009, AICHR diilhamkan sebagai badan teras hak asasi manusia ASEAN. Namun, selepas 16 tahun, ia sering dikritik sebagai ‘tidak bertaring’ kerana tidak mampu menyiasat pelanggaran secara bebas atau menamakan dan memalukan negara pelaku.

Strukturnya yang berasaskan consensus dan berpaksikan prinsip tidak campur tangan ASEAN, sering menggagalkan usaha untuk campur tangan secara tegas dalam krisis, terutamanya dalam kekacauan berterusan di Myanmar.

Usaha menyeimbangkan antara menghormati kedaulatan negara dan mempromosikan hak asasi sejagat telah menyebabkan AICHR terperangkap dalam paradoks diplomatik.

Laporan tahunan AICHR untuk tahun ini yang dikemukakan semasa pertemuan tersebut, secara terbuka mengakui beberapa batasan sistemik ini. AICHR telah mencatat kemajuan bermakna dalam advokasi, dialog dan penglibatan programatik.

Namun, ketiadaan mekanisme penguatkuasaan serta ketidakmampuannya untuk bertindak terhadap aduan individu menimbulkan persoalan sah mengenai kredibiliti dan kepekaannya.

Di bawah tema “Inklusiviti dan Kelestarian,” Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan dalam ucapan pembukaan bahawa masa depan ASEAN mesti dibina atas kerangka yang inklusif, lestari dan berpandangan ke hadapan serta menjadi kerangka yang meletakkan rakyat sebagai terasnya.

Beliau mengulangi bahawa hak asasi manusia adalah asas penting dalam merealisasikan Wawasan ASEAN 2045 iaitu aspirasi untuk sebuah ASEAN yang berteraskan rakyat hanya akan bermakna jika kita terlebih dahulu memastikan hak dan maruah rakyat kita terpelihara.”

Pimpinan Malaysia dalam dua deklarasi penting

Kepimpinan Malaysia amat penting dalam mendorong dua deklarasi hak asasi yang sedang dibangunkan oleh AICHR iaitu Deklarasi ASEAN mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Lestari serta Deklarasi mengenai Pemerkasaan Hak kepada Pembangunan dan Keamanan.

Deklarasi alam sekitar yang dipelopori Malaysia ini merupakan respon langsung kepada krisis iklim yang semakin meruncing.

Seperti yang ditekankan oleh Wakil Malaysia ke AICHR, Edmund Bon Tai Soon iaitu perubahan iklim di rantau kita amat serius, ramai yang kehilangan tempat tinggal, ramai menjadi pelarian iklim.

Oleh itu, Endmund Bon menyatakan bahawa deklarasi itu akan memberi asas kepada rakyat ASEAN untuk menuntut hak alam sekitar mereka.”

Draf deklarasi ini mengandungi prinsip-prinsip utama seperti penyertaan awam dalam keputusan berkaitan alam sekitar, akses kepada keadilan bagi mangsa pencemaran, dan kebebasan maklumat—menggabungkan hak asasi dengan tadbir urus ekologi.

Peranan penting Malaysia dalam inisiatif ini sejajar dengan Perkara 28(f) dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD), satu langkah berani untuk memperkukuh hak alam sekitar dalam kerangka undang-undang serantau.

Deklarasi kedua, Deklarasi mengenai Pemerkasaan Hak kepada Pembangunan dan Keamanan, menekankan pembangunan yang inklusif dan berteraskan rakyat dan bukan sekadar pertumbuhan ekonomi.

Malah, Edmund Bon turut menjelaskan bahawa hak itu sudah termaktub dalam AHRD tetapi kini ia perlu dikembangkan menjadi satu deklarasi penuh. Ia melibatkan hak politik, ekonomi, sosial, dan budaya serta pembangunan yang benar-benar mengangkat semua pihak

Ini mencerminkan pendekatan ASEAN yang tersendiri, mengkontekstualkan hak melalui lensa pembangunan, bukan semata-mata meniru paradigma liberal Barat. ASEAN sedang merumuskan kerangka hak asasi yang hybrid dan berakar dari tradisi tempatan tetapi responsif terhadap tuntutan global.

Laporan tahunan dan panggilan untuk tindakan nyata

Pertemuan ini turut membincangkan Laporan Tahunan AICHR 2025, yang mendokumenkan 16 program dari Julai 2024 hingga Jun 2025 merangkumi isu seperti maklumat palsu digital, pemerdagangan manusia, pencegahan penyeksaan, dan pengurusan migrasi.

Namun jurang masih wujud. Menteri Luar Indonesia, Sugiono dalam ucapannya mengulangi seruan serantau agar AICHR mesti lebih responsif terhadap isu-isu hak asasi yang mendesak dan memastikan programnya memberi kesan langsung kepada kehidupan golongan rentan.

Sehubungan itu, cadangan penubuhan kerangka respons konflik ASEAN yang berstruktur dan yang diketuai Edmund Bon bagi memperkukuh keupayaan pengurusan krisis ASEAN yang kini bersifat ad hoc, terutamanya dalam konteks Myanmar.

Wawasan Malaysia: Pemilikan, bukan pemaksaan

Penegasan Mohamad Hasan bahawa inisiatif hak asasi ASEAN mesti kekal sebagai dipimpin dan dimiliki ASEAN turut menjadi respons terhadap tuduhan bersifat syarat daripada kuasa Barat.

Ini menekankan satu pemahaman penting: hak asasi di ASEAN mesti berkembang dalam satu kerangka hibrid—di mana nilai sejagat dan serantau dapat wujud bersama.

Dalam konteks inilah, deklarasi yang diperjuangkan oleh Malaysia menandakan usaha baharu untuk merapatkan jurang antara idealisme global dan realiti Asia Tenggara.

Pertemuan pada tahun ini mungkin akan dikenang sebagai titik perubahan, di mana AICHR sama ada berkembang menjadi mekanisme serantau yang bermakna atau terus terpinggir.

Dengan kepimpinan Malaysia, pembangunan dua deklarasi ini memberi gambaran tentang apa yang boleh dicapai melalui pendekatan pragmatis yang berprinsip dalam perjalanan hak asasi ASEAN.

Namun, deklarasi sahaja tidak mencukupi. Masa depan AICHR bergantung kepada kesanggupannya untuk melaksanakan reformasi institusi, memperluas mandatnya dan menerima keterlibatan telus dengan semua pihak berkepentingan.

Hanya dengan itu, ASEAN benar-benar dapat menunaikan janjinya iaitu menjadi sebuah komuniti yang adil, saksama dan berteraskan rakyat.

DR. NOR AZURA A. RAHMAN merupakan Felo Bersekutu di Institut Asia bagi Hal Ehwal dan Diplomasi Antarabangsa (AIIAD) dan Pensyarah Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN