Meneguhkan centrality ASEAN dan penyelarasan polisi luar dan ekonomi
Di bawah kepengerusian Malaysia tahun ini, ASEAN bukan sekadar menjadi tuan rumah kepada siri mesyuarat serantau, malah diberi peluang membentuk semula naratif dan hala tuju geopolitik Asia Tenggara dalam dekad-dekad akan datang.
Sehubungan ini, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58) telah bermula hari ini di Kuala Lumpur dengan penyampaian ucapan pembukaan yang sarat dengan visi strategik oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan.
Dua tema utama yang mendasari sidang ini—“ASEAN Centrality Must Remain The Region’s North Star” dan “Closer Alignment of ASEAN Foreign and Economic Policies”—bukan sahaja mencerminkan tekad untuk mempertahankan prinsip asas ASEAN, malah menandakan keazaman Malaysia untuk menjadikan ASEAN lebih bersatu, strategik dan berkesan dalam mendepani cabaran global.
ASEAN centrality sebagai bintang Utara serantau
Konsep ASEAN Centrality merujuk kepada peranan utama ASEAN sebagai pusat rujukan, penentu arah dan penggerak dalam urusan serantau dan global, khususnya dalam mengatur wacana keselamatan, ekonomi dan diplomasi.
Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa Centrality bukanlah sekadar slogan, tetapi mesti diterjemahkan melalui pengukuhan institusi serantau seperti East Asia Summit (EAS), ASEAN Regional Forum (ARF) dan ASEAN Defence Ministers’ Meeting-Plus (ADMM-Plus). Dengan kata lain, ASEAN mesti menjadi pentas utama, bukan penonton dalam pembentukan sistem antarabangsa.
Untuk makluman, EAS atau Sidang Kemuncak Asia Timur dianggotai oleh 18 negara peserta, termasuk 10 negara anggota ASEAN, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, serta Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.
ARF atau Forum Serantau ASEAN pula merangkumi 27 ahli, iaitu 10 negara anggota ASEAN, 10 Rakan Dialog ASEAN (Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat) serta Bangladesh, Korea Utara, Mongolia, Pakistan, Sri Lanka, Papua New Guinea dan Timor-Leste.
Manakala ADMM-Plus atau Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus merangkumi 10 negara anggota ASEAN serta 8 negara “Plus”, iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.
Masa sama, kedua-dua pemimpin tertinggi Malaysia ini mengulangi penolakan terhadap konsep “spheres of influence” yang meminggirkan suara negara-negara kecil. ASEAN mesti menolak sebarang percubaan kuasa besar untuk memaksakan agenda mereka di rantau ini.
Seperti kata Anwar, “ASEAN will not be spoken for in absentia.” Maknanya, Asia Tenggara tidak boleh diputuskan nasibnya oleh kuasa luar tanpa penyertaan aktif anggotanya.
Mohamad Hasan turut menekankan bahawa dunia kini berada dalam fasa ketidaktentuan yang parah—perang Ukraine, krisis di Gaza dan Timur Tengah serta konflik berterusan di Myanmar. Dalam konteks ini, ASEAN harus menggandakan usaha mengekalkan perpaduan serantau, dan menjadi suara kewarasan (voice of reason) di tengah dunia yang semakin terpecah belah.
Justeru, Centrality ASEAN hanya akan bermakna sekiranya ASEAN terus bersatu dan berani menyatakan pendirian moralnya secara kolektif.
Penyelarasan polisi luar dan ekonomi
Anwar menegaskan bahawa dalam dunia pasca-pandemik dan pasca-globalisasi ini, kuasa dan ekonomi semakin tidak dapat dipisahkan. Alat-alat ekonomi seperti tarif dan sekatan perdagangan kini digunakan untuk kepentingan geopolitik. ASEAN mesti sedar bahawa perdagangan bukan lagi hanya soal pertumbuhan, tetapi menjadi medan perebutan kuasa.
Dalam hal ini, Malaysia mencadangkan agar wujud penyelarasan lebih rapat antara Menteri-Menteri Luar dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN. Ini penting supaya dasar luar menyokong integrasi ekonomi dan sebaliknya. Ketidaksepadanan antara polisi luar dan ekonomi hanya akan melemahkan kedudukan kolektif ASEAN di pentas global. Oleh itu, Malaysia menekankan bahawa penyelarasan antara dua bidang ini adalah selaras dengan aspirasi ASEAN Vision 2045.
Malaysia turut menyeru agar perdagangan intra-ASEAN diperkukuh, pelaburan sesama anggota digalakkan dan integrasi rantaian bekalan dipertingkatkan. Ini bukan hanya langkah ekonomi, tetapi juga strategi keselamatan jangka panjang untuk mengukuhkan daya tahan ASEAN terhadap tekanan luar.
Melalui ASEAN Vision 2045 yang telah diterima pakai, ASEAN telah menyatakan dengan tegas bahawa masa depan rantau ini tidak akan ditentukan oleh kuasa luar, tetapi oleh azam kolektif rakyat dan pemerintahnya. Seperti ditegaskan oleh Mohamad Hasan, adalah penting diamati kesinambungan antara Visi 2025 dan Visi 2045 serta tindakan awal oleh semua badan sektoral ASEAN ke arah pencapaian matlamat ini.
Malaysia juga menegaskan bahawa isu Myanmar masih menjadi luka terbuka yang menjejaskan kredibiliti ASEAN. Sokongan terhadap pendekatan “Myanmar-led, Myanmar-owned” perlu disertai dengan desakan terhadap kemajuan sebenar di lapangan.
Pada masa sama, penyertaan Timor-Leste sebagai ahli ke-11 yang dijangka akan berlangsung Oktober depan menunjukkan komitmen ASEAN terhadap keterangkuman dan perlu segera disusuli dengan integrasi menyeluruh ke dalam institusi serantau.
ASEAN bergerak bersama, bukan secara selari
Hala tuju ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia adalah jelas. ASEAN Centrality dan penyelarasan antara dasar luar serta ekonomi bukan sahaja menjadi matlamat ideal tetapi adalah keperluan praktikal dalam mendepani dunia yang semakin mencabar.
Seperti diungkapkan oleh Perdana Menteri, “From Sittwe to Merauke, from Da Nang to Dili, our region can become more peaceful and more prosperous, if we have the courage to see ASEAN not as nations moving in parallel, but as one community moving with purpose.”
Ini adalah seruan untuk menjadikan ASEAN sebuah komuniti berstrategi, bersatu dan berpandangan jauh sejajar dengan tanggungjawab Malaysia sebagai pengerusi tahun ini.
Oleh itu, di bawah kepimpinan Malaysia, ASEAN akan dikembalikan ke pusat geopolitik serantau dan global, keutuhan ekonomi serantau akan diperkukuhkan dan suara kolektif Asia Tenggara akan diangkat ke pentas dunia.
PROF. MADYA DR. SITI DARWINDA MOHAMED PERO adalah Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).