Asia Tenggara wajib jadi zon bebas senjata nuklear

Asia Tenggara wajib jadi zon bebas senjata nuklear

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Asia Tenggara telah lama membina identitinya sebagai sebuah rantau yang damai, stabil dan bebas daripada campur tangan kuasa besar serta konflik bersenjata berskala besar. 

Dalam dunia hari ini yang semakin terdedah kepada persaingan kuasa nuklear dan ketidaktentuan keselamatan global, komitmen ASEAN untuk kekal sebagai Zon Bebas Senjata Nuklear merupakan kewajipan moral, strategik dan kemanusiaan.

Malaysia sebagai pengerusi ASEAN telah menegaskan komitmennya untuk memastikan Asia Tenggara kekal sebagai zon bebas senjata nuklear selaras dengan Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ). 

Justeru, penegasan oleh Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, Menteri Luar Negeri, semasa mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya SEANWFZ semalam adalah amat tepat pada waktunya dan selari dengan realiti geopolitik semasa. 

Dalam ucapan pembukaannya yang padat, Mohamad Hasan mengimbau sejarah 30 tahun lalu apabila ASEAN dengan penuh tekad telah melakar garis sempadan yang jelas bahawa Asia Tenggara tidak boleh dan tidak akan menjadi pentas bagi konflik nuklear. 

Lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Malaysia, ASEAN akan terus memainkan peranan sebagai platform diplomatik utama untuk menggalakkan penyertaan kuasa besar dalam rejim senjata nuklear yang lebih selamat dan terkawal dan komited terhadap prinsip ketidakcambahan senjata nuklear.

Ucapan beliau mencerminkan ketegasan diplomasi Malaysia, kebijaksanaan kepimpinan serantau dan keprihatinan mendalam terhadap kelangsungan hidup umat manusia sejagat.

Ancaman nuklear masa kini: Lebih kompleks, lebih bahaya

Meskipun era Perang Dingin telah berlalu, Mohamad Hasan menegaskan bahawa senjata nuklear kini menjadi lebih berbahaya berbanding sebelum ini. Kemerosotan kepercayaan antara kuasa-kuasa nuklear, digabungkan dengan pemodenan arsenal senjata masing-masing, telah mencetuskan kebimbangan terhadap kembalinya perlumbaan senjata yang lebih canggih dan sukar diramal.

Seperti dijelaskan oleh Mohamad Hasan, teknologi baharu seperti peperangan siber, pengkomputeran kuantum dan kecerdasan buatan telah menambahkan dimensi ancaman yang lebih kompleks. Integrasi teknologi ini dalam sistem ketenteraan strategik bukan sahaja meningkatkan kerentanan keselamatan, malah boleh menyebabkan konflik tercetus secara tidak sengaja, dengan kesan kemusnahan yang tidak terbayangkan.

Menurut beliau, kita kini memasuki era paling tidak menentu dalam sejarah moden — gabungan antara Zaman Nuklear dan Zaman Informasi. Walau apapun gelarannya, sama ada Era Pascainformasi, Revolusi Industri Keempat atau Zaman Kecerdasan Buatan (AI), satu hakikat tetap kekal, iaitu senjata nuklear kini lebih berbahaya daripada sebelumnya.

Di samping itu, kerangka pelucutan senjata nuklear yang sedia ada pula gagal memberikan hasil yang diharapkan. Konflik berterusan di Ukraine dan Timur Tengah menambah beban kepada sistem keselamatan global yang sedia rapuh. 

Serangan Israel terhadap Iran, yang dikecam oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), adalah satu pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menambah lagi kerisauan terhadap potensi penggunaan senjata nuklear secara melulu.

SEANWFZ: Tiang seri keselamatan serantau

Perjanjian SEANWFZ yang kini berusia 30 tahun kekal sebagai tonggak utama kepada kerangka keselamatan ASEAN dan merupakan sumbangan penting rantau ini terhadap usaha pelucutan senjata secara global. 

Meskipun Protokol SEANWFZ masih belum ditandatangani oleh lima kuasa nuklear utama dunia, ASEAN telah mencatat pencapaian besar dalam menggalakkan penggunaan teknologi nuklear untuk tujuan aman melalui kerjasama dengan IAEA dalam bidang seperti pertanian, diagnostik perubatan dan keselamatan makanan.

Penyertaan Timor-Leste yang dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pula bakal memperluaskan skop geografi perjanjian ini dan mengukuhkan posisi strategik Asia Tenggara di peringkat global.

Namun begitu, kebimbangan utama kini ialah Asia Tenggara masih merupakan satu-satunya Zon Bebas Senjata Nuklear yang belum mendapat pengiktirafan rasmi daripada kelima-lima kuasa nuklear utama, iaitu China, Rusia, Perancis, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Dalam hal ini, kesediaan China dan Rusia untuk menandatangani Protokol SEANWFZ adalah suatu perkembangan positif yang patut diraikan. Walaupun Amerika Syarikat masih dalam proses penilaian, pendekatan diplomatik ASEAN yang konsisten pula diyakini mampu mendorong Washington untuk menyertai komitmen ini dalam masa terdekat.

Justeru, rundingan yang sedang berlangsung diharap dapat membuka jalan kepada penyertaan tanpa menjejaskan nilai asas perjanjian. Dalam konteks ini, penegasan Mohamad Hasan bahawa ASEAN mesti bekerja secara kolektif untuk mewujudkan keadaan yang kondusif agar kuasa-kuasa nuklear dapat mengambil langkah penting ini, termasuk menyelesaikan isu-isu yang tertangguh secara pragmatik, ini adalah langkah tepat.

Ini kerana hanya melalui kesatuan politik dan diplomatik kita akan dapat memastikan bahawa Perjanjian SEANWFZ bukan sahaja kekal sebagai dokumen undang-undang, tetapi menjadi komitmen hidup yang terus berkembang, menyumbang secara bermakna kepada agenda keamanan dan pelucutan senjata antarabangsa.

Lebih penting lagi, seperti yang ditekankan oleh beliau, senjata nuklear adalah ancaman wujud (existential threat) kepada seluruh umat manusia. Maka, menjadi tanggungjawab generasi kini untuk memastikan bahawa Asia Tenggara benar-benar bebas daripada bahaya ini demi masa depan anak-anak kita, dan demi kelangsungan kemanusiaan sejagat.

Ringkasnya, Asia Tenggara wajib menjadi zon bebas senjata nuklear. Ia bukan hanya simbol keamanan serantau, tetapi merupakan manifestasi komitmen ASEAN terhadap dunia yang lebih aman, stabil dan berperikemanusiaan. 

Dengan kepimpinan berani, berpandangan jauh dan berprinsip seperti yang ditunjukkan oleh Malaysia, serta kesepaduan seluruh ASEAN, impian untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai model kepada dunia bebas nuklear adalah satu visi yang sedang meniti ke arah satu realiti.

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF adalah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN