ASEAN 2025: Menuju komuniti ekonomi, geopolitik dan sosial serantau - Utusan Malaysia

ASEAN 2025: Menuju komuniti ekonomi, geopolitik dan sosial serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM landskap ekonomi global yang semakin rumit, ASEAN kini berada di persimpangan strategik antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan gabungan ekonomi baharu seperti BRICS.

Kenaikan tarif oleh AS terhadap barangan dari negara-negara membangun memberi kesan rantaian kepada negara ASEAN yang bergantung pada perdagangan terbuka.

Tindakan proteksionis ini menjejaskan eksport, terutama dalam sektor pembuatan dan teknologi. Namun, dalam ketidaktentuan ini, muncul peluang baharu.

BRICS, yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, sedang mengukuhkan kedudukan sebagai alternatif kepada dominasi ekonomi Barat.

Beberapa negara ASEAN menunjukkan minat untuk bekerjasama lebih erat dengan BRICS dalam aspek pelaburan, pembangunan infrastruktur dan mata wang alternatif.

Malaysia dan jiran serantaunya perlu bijak mengimbangi kepentingan antara dua blok ini. Dasar ekonomi yang terbuka tetapi berhati-hati perlu diguna pakai agar kedaulatan ekonomi kekal terpelihara.

ASEAN harus memperkukuh integrasi dalaman, memperluas perdagangan intra-rantau dan memperjuangkan dasar ekonomi yang inklusif serta lestari.

Hanya dengan pendekatan kolektif dan bijaksana, ASEAN mampu mengemudi cabaran tarif dan geopolitik global demi kesejahteraan jangka panjang rakyatnya.

Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) berpotensi menjadi blok ekonomi dinamik dengan memanfaatkan peluang pelaburan strategik di AS, BRICS, dan negara Teluk.

Dalam keadaan ketidaktentuan global, pelaburan asing langsung (FDI) tetap menjadi enjin pertumbuhan utama. AEC harus meningkatkan integrasi ekonomi dalaman bagi menarik pelabur global melalui kestabilan, tenaga kerja muda, dan lokasi strategik. AS kekal sebagai sumber teknologi dan modal yang penting.

Kerjasama dalam sektor digital, tenaga bersih dan rantaian bekalan mampu memperkukuh daya saing ASEAN. Dalam masa sama, BRICS menawarkan peluang baharu melalui projek infrastruktur, pembiayaan alternatif dan pasaran pengguna yang luas.

Negara seperti China dan India dalam BRICS membuka ruang perkongsian pembangunan yang saling menguntungkan. Negara Teluk pula, khususnya Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, giat mempelbagaikan ekonomi mereka menerusi pelaburan luar dalam sektor halal, pelancongan dan tenaga boleh baharu.

ASEAN perlu memanfaatkan hubungan budaya dan agama dengan negara Teluk untuk memperkukuh kerjasama ekonomi Islam.

Gabungan hubungan strategik ini akan meletakkan ASEAN sebagai pemain tengah ekonomi global.

Dengan dasar mesra pelabur, kestabilan politik dan pembangunan mampan, AEC mampu menjadi pusat pelaburan serantau yang berpengaruh dan progresif.

Oleh itu, kemasukan Timor Leste ke dalam ASEAN menandakan era baharu kerjasama serantau yang lebih inklusif dan progresif.

Sebagai negara muda yang bersemangat membangun, penyertaan ini memperkaya kepelbagaian budaya dan geopolitik ASEAN.

Ia membuka peluang untuk memperkukuh jaringan perdagangan, pendidikan, dan pembangunan kapasiti antara negara anggota.

ASEAN pula menjadi platform penting bagi Timor Leste untuk mempercepatkan integrasi ekonomi dan diplomasi serantau.

Dengan semangat solidariti, kemasukan ini bukan sekadar simbol perpaduan, tetapi langkah strategik memperkukuh ketahanan rantau menghadapi cabaran global.

Timor Leste bakal menambah warna dalam mozek Asia Tenggara yang dinamik. ASEAN juga medan sosial budaya yang kaya dengan nilai kemanusiaan. Kepelbagaian etnik, bahasa dan agama menjadikan ASEAN unik, namun tetap bersatu dalam suara solidariti.

Isu Palestin menjadi cerminan sejauh mana keprihatinan serantau terhadap keadilan sejagat.

Rakyat ASEAN, melalui seni, wacana dan pendidikan, mengangkat perjuangan Palestin sebagai sebahagian daripada nilai kemanusiaan sejagat.

Dari pentas budaya hingga forum antarabangsa, semangat simpati dan sokongan berakar dalam nurani bersama.

Perpaduan sosial budaya memberi kekuatan moral, menyuarakan keamanan dan hak asasi membuktikan bahawa rantau ini bukan sekadar pemerhati, tetapi pendukung keadilan global. ASEAN 2025 membuka peluang yang terbuka luas untuk melonjak ke tahap baharu.

Visi ini tidak terhenti di situ kerana Deklarasi Kuala Lumpur 2045 bakal menjadi mercu tanda harapan jangka panjang membentuk ASEAN sebagai komuniti yang inklusif, berdaya saing dan berorientasi rakyat. Ia menuntut keberanian membuat reformasi berani dan kerjasama erat rentas negara.

Dekad ini bukan noktah, tetapi gerbang kepada masa depan yang progresif. Semangat kebersamaan dan kemampanan ASEAN menulis naratif kejayaan yang menjangkau generasi dan meneguhkan kedudukan rantau di pentas dunia.

Dr. Mohd. Ramlan Mohd. Arshad ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN