Kongres Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ke-27 telah berjaya diadakan pada 25-27 Julai 2025 di Kuala Kangsar, Perak. Kongres Nasional yang bersidang selama 3 hari ini, telah disertai oleh lebih kurang 150 orang perwakilan dan pemerhati.
Dalam kongres kali ini, dua sesi forum telah diadakan. Salah satunya memfokus pada peranan anak muda dalam membina kuasa ketiga di Malaysia, dengan membariskan ahli-ahli panel daripada Pemuda Sosialis PSM bersama-sama wakil daripada dua buah organisasi anak muda, iaitu Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI) dan University of Malaya Association of New Youth (UMANY).
Hasil perbincangan berkisar mengenai keperluan anak muda untuk membina kuasa ketiga, analisa kelas dan AUKU.
Sesi forum yang kedua pula berkisar pada strategi pilihan raya PSM, dengan Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM membincangkan topik itu bersama-sama dua orang ahli panel dari luar, iaitu Wong Chin Huat yang merupakan seorang penganalisis politik dan VKK Rajasekaran selaku Pengerusi MUDA Perak.
Perbincangan ini mempertengahkan peranan PSM untuk terus membina kuasa ketiga disamping memfokus kepada pengundi yang disifatkan sebagai PAMU (Parti Aku Malas Mengundi)
USUL DAN RESOLUSI
Sebanyak 19 usul telah dibawa oleh delegasi-delegasi ke Kongres Nasional dan didebat dengan hebat dan akhirnya hanya 7 usul berjaya diluluskan dan selainnya ditolak atau ditarik balik oleh pihak yang usulkan.
Pada hari ketiga (27 Julai 2025), Kongres Nasional PSM meluluskan resolusi yang mengandungi 21 perkara, sebagai tuntutan kepada Kerajaan MADANI. PSM menggesa Kerajaan MADANI untuk serius terhadap semua tuntutan yang dikemukakan dalam Resolusi Kongres Nasional PSM, dan mengaturkan Langkah-langkah sewajarnya.
Kongres Nasional PSM berakhir dengan laungan “Kuasa ketiga, kuasa kita!” yang merupakan tema tahun ini.
RFesolusi Kongres Nasional PSM Ke-27:
1. Kerajaan Madani harus melaksanakan Pencen Warga Emas RM500 sebulan bagi semua rakyat yang berumur 65 tahun dan ke atas.
2. Kerajaan harus mempertahankansSistem kesihatan awam dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam untuk semua rakyat dengan:
• Tingkatkan peruntukan kepada sektor kesihatan awam daripada hanya 3% Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada 5% KDNK seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
• Tidak menyumber luar perkhidmatan kesihatan awam kepada sektor swasta.
• Tidak membenarkan pengeluaran simpanan KWSP untuk membayar insurans kesihatan swasta.
3. Kerajaan harus membina rumah mampu milik dengan harga di bawah RM100,000 supaya golongan B40 dapat membeli rumah.
4. Kerajaan harus mengawal harga barangan asas dengan mengambil langkah yang berkesan untuk memastikan harga barangan keperluan harian berada dalam lingkungan yang mampu ditanggung oleh golongan B40. Ini termasuk tidak menghentikan subsidi petrol.
5. Kerajaan harus mempunyai dasar yang jelas dan tindakan yang tegas untuk melindungi keterjaminan makanan di Malaysia. Bagi mencapai matlamat ini, langkah-langkah di bawah harus diambil:
a) Hentikan pengusiran terhadap petani dan penternak yang mengeluarkan makanan dan kekalkan tanah pertanian yang sedia ada.
b) Beri bantuan kepada petani dan penternak kecil, untuk memastikan kelangsungan aktiviti pertanian mereka.
c) Beri subsidi makanan ternakan untuk menangani kenaikan kos makanan ternakan.
6. Kerajaan harus menghentikan penswastaan pendidikan dan menyediakan pendidikan percuma yang berkualiti untuk semua sehingga peringkat pendidikan tinggi. Kerajaan harus memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Reformasi terhadap sistem pendidikan harus dilakukan supaya ia mengutamakan pembelajaran tulen bukannya keputusan akademik. Selain itu, kerajaan perlu menawarkan kelas tambahan untuk pelajar-pelajar neurodivergen, seperti autisme dan gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) di sekolah kerajaan. Kerajaan juga perlu mewujudkan had harga untuk kadar bayaran di universiti swasta.
7. Kerajaan perlu mewujudkan peluang pekerjaan dalam pemeliharaan alam sekitar, jagaan, pertanian dan perladangan. Pada masa yang sama, Kerajaan juga harus mengurangkan kebergantungan kepada pengambilan pekerja migran dalam ekonomi negara.
8. Kerajaan harus menghapuskan sistem kontrak untuk pekerja-pekerja di premis kerajaan sebagai langkah menjamin pekerjaan dan selaras dengan undang-undang yang sedia ada.
9. Mansuhkan akta-akta zalim yang menyekat ruang demokrasi, seperti Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan sebagainya.
10. Kerajaan perlu melaksanakan beberapa reformasi institusi dengan kadar segera, seperti pelaksanaan pembahagian kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Perdana Menteri harus disekat daripada memegang jawatan lain dalam kabinet. dan memperbaiki keadaan di dalam penjara dan pusat tahanan.
11. Kerajaan harus menegakkan sistem percukaian progresif. Tingkatkan cukai korporat. Hapuskan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk barangan keperluan asas. Kutipan cukai dari pusat data harus disalurkan kepada dana PERKESO dan pemuliharaan alam sekitar.
12. Kerajaan harus membenarkan kesatuan pekerja untuk terlibat secara langsung dalam politik, termasuk menyumbangkan dana, menyatakan sokongan secara terbuka dan berkempen untuk calon pilihan raya.
13. Pertahankan hak semua pekerja. Kerajaan perlu memastikan semua pekerja, termasuk pekerja migran tidak berdokumen, mendapat ruang pengadilan untuk menuntut hak mereka sebagai pekerja. Hak seorang pekerja migran sebagai pekerja wajar diutamakan sebelum dia diadili dan dihukum atas sebab imigresen.
14. Kerajaan harus nengawal selia terhadap penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) di syarikat korposar besar, media massa, dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta menganjurkan lebih banyak kempen kesedaran tentang penipuan dalam talian (online scam) dan isu berkaitan etika AI, dengan bahan kempen dalam semua bahasa supaya dapat mencapai semua lapisan masyarakat.
15. Pusat data perlu dikawal selia dan pembinaannya perlu mendapatkan kelulusan laporan impak alam sekitar (EIA). Kerajaan harus memantau penggunaan tenaga dan air oleh pusat data supaya penggunaan itu berada dalam linkungan yang mampan dan lestari untuk masyarakat di sekeliling dan menggubal undang-undang khusus untuk mengawal selia pembinaan, pengendalian dan pengoperasian pusat data.
16. Kerajaan perlu meminda Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 untuk meliputi keganasan pasangan intim dan meningkatkan kesedaran awam tentang kebahayaan kandungan serta perkongsian media sosial yang bersifat kebencian dan misoginis yang berterusan.
17. Kerajaan harus mengiktiraf dan mewartakan wilayah tanah adat masyarakat Orang Asli.
18. Kerajaan harus memulihkan demokrasi tempatan dengan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan. Kerajaan harus menyemak semula program penyewaan gerai penjaja MyKiosk di bawah Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang tidak memanfaatkan rakyat marhaen, dan membangunkan alternatif melalui perbincangan dan penjaja-penjaja yang terlibat. Setiap majlis tempatan perlu membina pusat sukan dengan kos sewaan di bawah kadar pasaran.
19. Kerajaan harus meningkatkan pengangkutan awam dan keselamatan jalan raya dengan mengambil beberapa langkah seperti berikut:
a) Mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas dengan kadar segera terhadap syarikat pengangkutan yang melanggar peraturan keselamatan (seperti menggunakan lorong kanan di lebuh raya, muatan berlebihan, melepasi had kelajuan dan sebagainya).
b) Menggubal undang-undang yang mewajibkan setiap pengeluar, pengimport dan syarikat logistik untuk memasang peralatan had kelajuan di lori dan bas.
c) Reformasi terhadap Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) supaya ia lebih cekap dan berkesan.
d) Dalam usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan sistem pengangkutan awam, Kerajaan harus menjadikan pemeliharaan kebajikan pekerja seperti pemandu sebagai tunjang utama usaha penambahbaikan.
e) Memperbaiki proses perancangan pembinaan lebuh raya bagi melindungi hidupan liar daripada kematian akibat pelanggaran oleh kenderaan di lebuh raya.
f) Menjalankan lebih banyak kempen keselamatan jalan raya bagi meningkatkan kesedaran awam dan mengurangkan kemalangan jalan raya.
20. Kerajaan harus menyediakan parkir percuma kepada semua warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.
21. Kerajaan harus komited dalam bersuara untuk menghentikan genosid terhadap rakyat Palestin. Ini juga termasuk menolak kehadiran duta Amerika Syarikat di Malaysia sehingga genosid di Palestin dihentikan. Selain itu, Kerajaan Malaysia harus menerajui usaha mengadakan persidangan negara-negara Selatan Global seperti Persidangan Bandung untuk mewujudkan solidariti antarabangsa yang menentang imperalisme barat.
M. Sivaranjani
Setiausaha Agung
Parti Sosialis Malaysia