Tingkat peranan pendidikan tinggi di peringkat ASEAN

Tingkat peranan pendidikan tinggi di peringkat ASEAN

PERANAN dasar pendidikan tinggi yang berpandangan jauh adalah penting dalam memanfaatkan momentum usaha bersama serantau dalam memperkasa daya tahan dan gabungan kekuatan ASEAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIDANG Kemuncak ASEAN ke-46 yang baharu berlangsung di Malaysia menjadi medan kritikal bagi pemerkasaan sinergi serantau dan rentas sempadan serta keterlibatan strategik berorientasikan masa depan dalam mewujudkan rencana baharu daya tahan menghadapi orientasi dinamik geopolitik yang kian tidak menentu.

Peranan pendidikan tinggi, impak akademik dan penyelidikan, serta usaha penyelesaian kepada cabaran serantau dan global ini, makin terserlah di sebalik keperluan mendesak dalam menuntut arus baharu penciptaan nilai dan impak daripada kualiti pendidikan dan akademik peringkat tertinggi, dan penghasilan modal insan generasi baharu.

Dalam usaha ASEAN untuk memperkukuh integrasi dalaman dan memacu pengaruh dan kuasa baharu, kekuatan semasa trend demografi dan pertumbuhan ekonomi menawarkan peluang unik serta tuntutan lebih besar untuk universiti serantau menyatukan peranan mereka bagi memastikan kejayaan visi ASEAN dalam pengumpulan bakat dan sumber kepakaran teknologi baharu.

Dalam konteks ini, Universiti Malaya (UM) berada pada kedudukan terbaik untuk terus menerajui kecemerlangan serantau dan memupuk kerjasama dalam pembangunan modal insan dan pembangunan teknologi serta kepakaran serantau, dengan membawa konteks sejarah dan global yang berketrampilan serta kekayaan gabungan semangat kemanusiaan, kesenian dan kekentalan skop akademik dalam menghadapi risiko dan ancaman baharu.

Kuasa ASEAN Baharu
Purata umur median di seluruh ASEAN berada pada tahap sekitar 30 tahun, mencerminkan populasi yang kebanyakannya muda yang akan membuahkan pulangan berangkai kepada usaha memacu sektor ekonomi berlandaskan modal insan dan pembangunan sistemik teknologi.

Kira-kira 30-35 peratus penduduk ASEAN berada dalam lingkungan usia 15 hingga 35 tahun, mewujudkan kumpulan potensi dan kekuatan bagi sektor sosioekonomi, pendidikan tinggi dan penyelidikan yang ketara bagi rantau ini jika digembleng dengan strategik.

Peranan dasar pendidikan tinggi yang berpandangan jauh adalah penting dalam memanfaatkan momentum usaha bersama serantau dalam memperkasa daya tahan dan gabungan kekuatan ASEAN, dan dengan menghasilkan generasi baharu modal insan berkemahiran tinggi yang akan membantu peralihan ekonomi rantau dan mengurangkan kebergantungan asing, ini akan menjadi pembekal kepada potensi penjanaan transformasi ekonomi berlunaskan kepakaran modal insan dan ekonomi yang dipacukan oleh ilmu.

Sistem pendidikan tinggi yang dibangunkan dengan inklusif dan holistik di seluruh rantau yang menangani jurang sistemik geografi, keterangkuman dan akses yang wujud pada peringkat intra-serantau dan intra-negara akan membantu mewujudkan rantau yang lebih mampan dan inklusif dalam usaha untuk lolos daripada perangkap pendapatan sederhana dan membantu kemajuan peralihan ekonomi.

Dengan melahirkan graduan dan penyelidik yang berkeupayaan serta berorientasikan masa depan dengan kepakaran dan kemahiran holistik berasaskan nilai dan dinamik serantau, ini akan menerajui peralihan progresif baharu untuk reformasi dan transformasi ekonomi, menyuntik mobiliti sosial menyeluruh, menangani ketidakseimbangan sosioekonomi dan kemiskinan sistemik, serta membetulkan perangkap ekonomi endemik yang berpunca daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang relatif rendah di ASEAN, serta alat ekonomi berkemahiran rendah dan berteknologi rendah.

Langkah konkrit harus diambil untuk memastikan kenaikan berterusan dalam penyamarataan kuasa beli (PPP) bagi ASEAN secara kolektif, reformasi dalam membangunkan generasi baharu kumpulan muda serantau yang berkemahiran dan berasaskan pengetahuan akan menyumbang kepada peningkatan kuasa beli dan perkembangan struktur kelas menengah.

Semua anggota ASEAN harus merancang kemajuan kualiti jangka panjang dalam penyertaan pendidikan tinggi, suatu ukuran yang telah berjaya dilaksanakan di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dengan rencana rangka strategik jangka panjang yang diperlukan dalam memanfaatkan dan memupuk infrastruktur serta kesiapsiagaan struktur, dan dalam menghasilkan modal insan yang dilengkapi kemahiran dan mentaliti berlandaskan nilai.

Model baharu pendidikan tinggi ini boleh diterjemahkan dalam konteks serantau ASEAN, di mana konsep yang diglobalisasikan namun berteras dan mengakar ke bumi, kepada persekitaran dan konteks budaya serta rantau sendiri ini menghasilkan pemacu pembinaan kapasiti yang menyeluruh dalam menuai manfaat kumpulan demografi baharu bagi setiap anggota ASEAN.

Walaupun integrasi dan perkongsian pendidikan tinggi serantau agak positif, ia memerlukan saluran baharu dinamika kreatif, dan memerlukan usaha kritikal dalam menangani kadar penyertaan pengajian tinggi di seluruh ASEAN yang puratanya 40.16 peratus, yang menjadi petanda jurang luas yang wujud di seluruh rantau ini.

Ruang Strategik Baharu bagi Sektor Masa Depan
Universiti di rantau ini mesti secara strategik memanfaatkan perkara ini dengan usaha berterusan dalam menambah baik dan mewujudkan hab inovasi serta inkubator baharu untuk menghubungkan pelajar dengan bimbingan keusahawanan, dan membangunkan pusat penyelidikan bersama yang tertumpu pada kecerdasan buatan (AI), rantaian blok, dan keselamatan siber bagi memenuhi permintaan industri.

Perkongsian pendidikan tinggi serantau sedia ada termasuk Rangkaian Universiti ASEAN (AUN) mempromosikan jaminan kualiti, pemindahan kredit dan program ijazah bersama dalam kalangan institusi ahli, di mana UM telah menjadi rakan aktif utama, tetapi ini tidak seharusnya menjadi usaha tunggal semata-mata.

Seperti mana pengaruh ASEAN melalui penunjuk utama tidak terhad kepada halangan geografi dan ideologi semata-mata, perkongsian pendidikan tinggi di rantau ini harus bergerak selari dengan nafas baharu ini.

Usaha kerjasama, termasuk pembangunan kurikulum, khususnya dalam bidang AI dan teknologi baharu, memastikan graduan di seluruh ASEAN dapat bersaing pada tahap tertinggi, memperkukuh jejak dan impak penyelidikan dan akademik ASEAN di pentas global.

Dengan memanfaatkan kira-kira 234 juta warga ASEAN berusia 15 ke 35 tahun, rantau ini berpeluang meraih dividen demografi, dan ini hanya dapat diselarikan dengan pendidikan berkualiti yang sejajar dengan matlamat pasaran dan industri masa depan.

Sektor seperti e-dagang, kewangan digital dan tenaga bersih dijangka mewujudkan lebih 10 juta pekerjaan baharu menjelang 2030, dan ini membuka ruang baharu untuk universiti di rantau ini bekerjasama lebih lanjut.

UM bersedia mengetuai usaha serantau dalam merangka penyelesaian dan kekuatan baharu kepada rantau dan rakyatnya, serta kepada kesejahteraan kemanusiaan global.

Apabila universiti di seluruh rantau mengumpulkan sumber dan kekuatan, baik intelektual mahupun infrastruktur, hasil akhirnya bukan sahaja terhad kepada rantau ini, ia membentuk masa depan generasi baharu untuk masa depan dunia. – UTUSAN

PROFESOR Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman ialah Naib Canselor Universiti Malaya (UM) dan Felo, Akademi Sains Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN