Mengapa tidak dapat nombor satu? - Utusan Malaysia

Mengapa tidak dapat nombor satu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NOMBOR enam? Kenapa tidak dapat nombor satu? Negara mana yang ‘potong’ kita? Malaysia sekurang-kurangnya patut berada dalam top 3.

Itu antara komen sinikal paling banyak ditulis oleh warganet negara ini apabila mengulas laporan berita – Malaysia tersenarai pada tangga keenam di dunia sebagai negara paling banyak menggunakan kata-kata kesat menerusi komen dalam talian iaitu dengan kadar 0.019 peratus.

Dalam ruangan komen mengenai artikel itu, macam-macam kata-kata kesat yang dilemparkan oleh rakyat negara ini terhadap hasil kajian dari luar negara itu, sehinggakan saya pula terfikir, betulkah kita ‘layak’ berada dalam kedudukan ke-6 ini?

Kajian yang melibatkan 20 negara yang menggunakan bahasa Inggeris itu mendapati, rakyat Amerika Syarikat (AS) paling banyak menggunakan bahasa kasar secara dalam talian.

Hasil kajian dari Australia itu melaporkan 0.036 peratus daripada jumlah perkataan yang ditulis oleh rakyat AS mengandungi unsur lucah atau kasar, diikuti Britain (0.025 peratus), Australia (0.022 peratus), Singapura (0.021 peratus) dan New Zealand (0.02 peratus).

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Lingua itu mendapati setiap negara mempunyai kecenderungan unik terhadap jenis makian tertentu.

Ramai yang percaya kaji selidik itu dibuat berdasarkan penyertaan rakyat negara ini di media sosial dalam isu-isu antarabangsa.

Ini kerana agak mustahillah penyelidikan yang dilakukan oleh Universiti Queensland di Brisbane ini gigih meneliti komen-komen rakyat negara ini tentang isu cerai berai artis atau hal-hal politik negara ini.

Masihkah kita ingat jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang yang dibatalkan penyertaan pada pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024?

Impiannya untuk memburu pingat emas musnah apabila dihalang dan dihimpit dengan agresif oleh pelumba dari Perancis yang menyebabkan beliau hampir terjatuh.

Ekoran kejadian itu, netizen Malaysia telah menyerang akaun media sosial pelumba Perancis terbabit, Rayan Helal.

Begitu juga insiden perlanggaran membabitkan seorang lagi pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dengan pelumba Jepun, Shinji Nakano yang turut menaikkan kemarahan peminat sukan negara.

Ia selepas Nakano dilihat menjadi punca berlakunya perlanggaran itu hingga mengakibatkan Shah Firdaus gagal meraih pingat gangsa walhal sudah berada pada posisi terbaik untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Selepas itu, akaun Instagram Nakano turut menjadi ‘belasahan’ netizen Malaysia yang memaki hamun pelumba tersebut.

Bruno Mars juga pernah dikecam di media sosial kerana pro-Israel ketika mahu membuat konsert di negara ini manakala penyanyi Taiwan, Jay Chou juga diserang akaun media sosialnya oleh peminat bola sepak kerana mengadakan konsert di Stadium Bukit Jalil, menjelang Piala AFF 2022, perlawanan antara Harimau Malaya dan Thailand, disebabkan itu tiket tidak dapat dijual banyak kerana persediaan pentas konsert itu di stadium berkenaan.

Dan terbaru, seorang wartawan senior AS, Bill O’ Reilly dihentam teruk dalam media sosial kerana mengatakan rakyat negara ini tidak ada duit berbelanja untuk membeli barangan import berhubung lawatan Presiden China, Xi Jinping ke negara ini baru-baru ini.

Pada saya, kita tidak sepatutnya berbangga dengan hal-hal yang melibatkan ketiadaan adab. Tiada adab, ertinya biadab dan biadab sepatutnya menjadi satu kepantangan besar dalam masyarakat di negara ini. Biar siapapun kita, hidup biarlah beradab.

Memang kalau kita lihat apapun berita di media sosial di negara ini walaupun hal-hal yang kecil, dalam ruangan komen pasti ada yang mencetuskan kemarahan, kebencian dan rasa tidak puas hati, tidak tentu hala.

Berita pasal kemalangan jalan raya contohnya, yang tidak ada kena mengena dengan politik pun, mesti ada yang mengulas cuba menanamkan politik kebencian. Tak pasal-pasal pula disuruh diberikan borang PKR, UMNO atau Pas pada pemandu yang menjadi punca kemalangan tersebut. Dan tidak kurang juga yang menyatakan pemandu terbabit mesti penyokong ‘walaun’ atau ‘walanon’.

Apatah lagi apabila mengulas berita politik, kenyataan-kenyataan daripada pemimpin politik, komen-komen kesat dan kecaman orang ramai bagaikan sudah menjadi makanan harian.

Bukan setakat itu, ramai juga biadab menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Ada yang melakukannya dengan menggunakan akaun media sosial palsu. Macam sudah tiada kerja lain. Seronok dapat memaki jika sesuatu perkara itu tidak selaras dengan kepercayaan, kehendak dan kepentingan diri sendiri.

Kebanyakan kita tidak suka atau marah apabila melihat budak-budak atau anak muda tiada adab tetapi tidak mengapa kalau dia yang sudah berusia menggunakan kata-kata kesat dalam tulisan atau lisan.

Mengharapkan generasi muda saja bersopan santun dan beradab sedangkan yang tua boleh memaki hamun, tentulah ini sesuatu yang ‘tempang’.

Pemimpin parti politik juga contohnya, sepatutnya memberi teladan yang baik kepada rakyat apabila bercakap mengenai parti lawan atau jika tidak bersetuju dengan langkah-langkah kerajaan.

Saya rasa ramai yang bersetuju setinggi mana pun kita belajar dan sekaya mana pun seseorang itu, adab dan budi bahasa masih dipandang orang.

Kalau kaya, berpangkat tinggi, belajar pandai, tetapi biadab, bercakap kasar dan bongkak, personaliti seperti ini tidak akan mendapat hormat orang.

Ada yang berkata, biar mulut jahat tetapi hati baik, – sejak bila pula, hati yang baik diukur daripada mulut yang jahat?

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN